Topic followed successfully
Go to BHkuEstevao Willian antara permata baru Brazil
Estevao Willian antara permata baru Brazil
Chelsea atasi saingan Bayern Munich, PSG dan Manchester City untuk dapatkan khidmat bintang Palmeiras dengan kontrak £52 juta
Estevao Willian antara permata baru Brazil
SAU PAULO (Brazil): Abel Ferreira teragak-agak seketika, menegaskan yang beliau tidak akan menyatakan apa yang ada dalam fikirannya, tetapi kemudian beliau mendedahkan nama seorang bakat muda – sesuatu yang jarang beliau lakukan.
“Pemain ini berbeza daripada semua yang pernah saya lihat,” kata jurulatih kelab terkemuka, Palmeiras, yang bersaing dalam Liga Brazil semasa sidang akhbar pada awal Mei, selepas pasukannya mengecapi kemenangan 2-1 ke atas Botafogo-SP dalam Piala Brazil.
Jurulatih dan juara Piala Libertadores dua kali itu tidak begitu dikenali, apatah lagi menunjuk-nunjuk dan berbangga terutamanya di hadapan kamera.
Bagaimanapun dalam satu wawancara baru-baru ini, beliau berkongsi pandangan tentang salah seorang pemain mudanya yang berbakat besar.
Baru berusia 17 tahun, Estevao Willian, telah mempamerkan kehebatan menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir dan sekali lagi menonjolkan permainan berbisa.
Kehebatan yang Willian, pemain sayap kaki kiri itu tonjolkan pada musim ini sungguh mengujakan pihak luar sehingga Ferreira tidak berhasil untuk meyakinkan lembaga kelab supaya tidak menjual anak buahnya itu.
Sayangnya ia agak terlambat.
Chelsea telah mengatasi persaingan daripada Bayern Munich, Paris St-Germain dan Manchester City untuk mendapatkan khidmat pemain muda Palmeiras dengan menawarkan kontrak bernilai £52 juta ($89 juta).
Ini bermakna pemain muda itu akan tiba di Stamford Bridge selepas Piala Dunia Kelab Fifa, pada Julai 2025.
Remaja Brazil lain seperti Vinicius Jr dan Rodrygo Silva de Goes, berlepas ke Eropah pada usia yang sama dengan bayaran yang cukup lumayan.
Mereka berdua telah membuktikan keupayaan mereka berada di pentas besar sejak itu.
Menariknya, tiada seorang pun daripada mereka yang digembar-gemburkan sehebat Estevao ketika mereka mula-mula berpindah ke luar negara.
Terdapat tanggapan di Brazil bahawa remaja berkaki emas yang berasal dari kawasan luar bandar Sao Paulo itu adalah seorang pemain bola sepak yang luar biasa, dan nampaknya ditakdirkan untuk mengecapi kejayaan di luar negara.
“Estevao adalah pemain terbaik yang bermula daripada bola sepak Brazil.
“Anda menontonnya dan anda pasti akan jatuh cinta,” kata ketua akademi Palmeiras, Joao Paulo Sampaio, kepada media.
“Beliau memang mengagumkan dengan tekniknya. Tetapi seperti Neymar, yang memulakan kerjaya bola sepak luar negara pada masa yang sama, Willian juga masih belum matang dari segi jasmani dan tidak sekuat Endrick.
“Bakat Willian bagaimanapun masih boleh berkembang.
“Itulah yang membuat ramai peminat kagum dengannya dan membuatkan mereka berfikir bahawa Willian akan mampu mencapai tahap lebih tinggi.”
Chelsea mungkin dianggap bernasib baik dengan pembelian baru pemain itu.
Estevao merupakan golongan pemain yang juga terdiri daripada generasi pemain seperti Endrick yang akan ke Real Madrid pada musim kali ini, dan bintang muda West Ham, Luis Guilherme.
Ketiga-tiga mereka telah mempamerkan keupayaan dalam bola sepak sejak kecil.
Estevao sendiri baru berusia 10 tahun semasa kali pertama Palmeiras cuba menariknya ke akademi mereka tetapi dilaporkan gagal menyaingi tawaran yang dilaporkan 10 kali lebih tinggi yang ditawarkan kelab pesaing, Cruzeiro Esporte Clube.
Estevao kemudian menjadi pemain bola sepak Brazil termuda yang menandatangani kontrak dengan syarikat Nike pada usia 10 tahun, mengatasi Neymar (13 tahun); dan Rodrygo (11 tahun), dan digelar ‘Messinho’ (Lionel Messi kecil) kerana keupayaannya mengubah arah dan menggelecek lawan sambil berlari bersama bola, dengan amat pantas.
Sememangnya ramai yang tidak terkejut dengan laporan akhbar Sepanyol, AS, yang menyatakan semasa Piala Dunia Bawah 17 tahun pada 2023 bahawa “Brazil mempunyai seorang pemain berbakat hebat yang baru”.
Di sebalik persamaan Willian yang dikaitkan dengan Messi, Estevao telah menyatakan yang beliau tidak mahu digelar ‘Messinho’ lagi.
Bukan sahaja kaki kirinya yang membuatkan orang lain kagum, malah mentaliti yang dimilikinya.
Sampaio mengimbas kembali detik yang menggambarkan apa yang beliau maksudkan.
“Apabila kami memenangi Kejuaraan Brazil Bawah 17 tahun pada 2022, Estevao mengalami kecederaan patah jari kakinya semasa perlawanan penting,” katanya.
“Walaupun begitu, dia masih tidak mahu digantikan, jadi dia datang kepada saya pada separuh masa dan berkata, ‘Saya akan kembali untuk separuh masa kedua’.
“Saya pun mencabarnya: ‘Baik, anda kembali’.
Dia kemudian diberi suntikan penahan sakit pada jari kakinya dan memberitahu saya, ‘Saya akan kembali bermain, menjaringkan gol dan mencari anda di tempat duduk.’ Itulah kekuatan mentalnya.” – Agensi berita.

