MERSEYSIDE (England): Everton merupakan kelab krisis terbaru untuk mendapat ‘penawar’ daripada ‘Dr Tottenham’ (gelaran diberikan kepada Tottenham Hotspur) dan pengurus mereka, Ange Postecoglou.
Pengurus baru Everton, David Moyes, adalah ‘penerima’ terbesar apabila Everton memperoleh kemenangan pertama mereka sejak beliau kembali sebagai pengurus dengan kemenangan 3-2.
Spurs pula dijangka berada di bawah lebih tekanan selepas mengalami kekalahan ketujuh dalam 10 perlawanan Liga Perdana England (EPL) mereka.
‘Dr Tottenham’, menurut BBC Sports, merupakan sindiran sinis tajam terbaru yang ditujukan ke arah Spurs.
Teorinya adalah jika anda merupakan pasukan atau pengurus yang terdesak memerlukan ‘penawar’ kerana dalam kedudukan yang berbahaya dalam EPL, maka pasukan utara London itu adalah ‘penawar’-nya.
Antara ‘pesakit’ yang mendapat manfaat daripada ‘Dr Tottenham’ musim ini ialah Crystal Palace dan Ipswich Town – kededuanya memperoleh kemenangan liga pertama yang amat diperlukan semasa menentang pasukan pimpinan Postecoglou.
Everton mungkin mempunyai pengurus baru, namun mereka mempunyai senarai ‘penyakit’ yang panjang, lebih-lebih lagi selepas perlawanan pertama pengurus Scotland berusia 61 tahun itu berakhir dengan kekalahan menentang Aston Villa.
Spurs juga dalam keadaan terdesak akibat kecederaan – meletakkan pasukan lawan dalam kedudukan yang lebih baik.
Everton gagal menjaringkan gol dalam sembilan daripada 11 perlawanan terakhir EPL mereka. Mereka sekadar menyumbatkan 15 gol dalam 20 perlawanan liga musim ini, mencatat hanya 66 percubaan ke sasaran daripada 226 peluang yang diperolehi.
Antara sebab itu ialah ketandusan gol penyerang utama pasukan, Dominic Calvert-Lewin, yang tidak menjaringkan gol dalam liga sejak kekalahan 3-2 di Aston Villa pada 14 September.
Namun, segala-galanya berubah bagi Calvert-Lewin semasa menentang Spurs. Golnya itu juga adalah yang pertamanya dalam 1,288 minit.
Spurs bagaimanapun perlu menyalahkan diri sendiri dan memberikan ruang bagi Everton menamatkan perlawanan dengan kemenangan.
Everton menguasai sebahagian besar babak pertama permainan untuk mendahului 3-0 pada masa rehat.
Dua gol lewat Spurs – hasil sentuhan Dejan Kulusevski dan Richarlison – merapatkan jurang gol di akhir permainan tetapi gagal memberi gambaran penguasaan Everton sepanjang pertemuan itu.
Kata-kata mengecam Postecoglou kedengaran di akhir pertarungan dengan Spurs terperuk di tangga ke-15 liga – hanya empat mata di atas Everton yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Sebarang analisis mesti mengambil kira masalah kecederaan yang dihadapi Postecoglou, kehilangan penyerang Dominic Solanke kerana kecederaan lutut, Brennan Johnson dengan masalah betis dan Yves Bissouma akibat kecederaan selepas derby pertengahan minggu di Arsenal.
Walau bagaimanapun, tidak ada alasan untuk keputusan dan persembahan yang begitu terdesak, dengan separuh masa pertama di sini memalukan Spurs dan menjadi punca kemarahan penyokong. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg