NEWCASTLE: Sungguh menggembirakan menjadi penyokong Newcastle sekarang.
The Magpies mencatat rekod kelab dengan sembilan kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Ia mempunyai antara penyerang yang terbaik di dunia sekarang – Alexander Isak – dan kini berada di tempat empat teratas Liga Perdana England buat pertama kali sejak September.
Isak, yang sedang berada dalam rentak menjaringkan gol, merupakan pemain Newcastle pertama menjaringkan gol dalam lapan perlawanan EPL berturut-turut.
Beliau menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Wolves pada 16 Januari.
Di samping itu, beliau juga merintis jaringan Anthony Gordon – jaringan ketiga Newcastle dalam perlawanan tersebut.
Kemenangan terbaru mereka meletakkan pasukan bimbingan Eddie Howe tiga mata melebihi juara bertahan Manchester City dan sembilan mata di belakang Liverpool yang kini menduduki tempat teratas EPL.
Apabila ditanya jika Newcastle bakal bersaing untuk trofi EPL, bekas penyerang Newcastle dan England, Alan Shearer, berkata mereka mampu.
“Prestasi mereka, gaya mereka, barisan pertahanan mereka teguh... tiada ragu sistem mereka berkesan,” kata Shearer.
Ia seperti Manchester United yang berjaya mengatasi jurang 12 mata pada musim 1992-93 dan 1995-96.
Bagi musim 1995-96, jurang tersebut wujud selepas 23 perlawanan, tetapi mereka berjaya mengakhiri musim tersebut empat mata lebih daripada Newcastle.
The Red Devils juga mengatasi jurang sembilan mata sebanyak tiga kali.
Manchester City juga melakukan perkara yang sama kepada Liverpool pada musim 2018-19 dengan memenangi 18 daripada 19 perlawanan terakhir mereka.
Namun, perkara sebegini hanya akan berlaku musim ini jika Liverpool merosot secara mendadak.
Pakar data, Opta, meramalkan Newcastle hanya mempunyai 0.1 peratus peluang untuk memenangi EPL.
Selepas Howe membimbing Newcastle ke Liga Juara-Juara dalam musim penuh pertamanya, pasukannya mengakhiri musim lalu di tempat ketujuh EPL, dan terlepas kelayakan ke Eropah selepas Manchester United menewaskan mereka di peringkat akhir Piala FA musim lalu.
Ramai yang ragu tentang bekas pengurus Bournemouth itu pada awal Disember apabila Newcastle dikalahkan 4-2 oleh Brentford.
Keputusan tersebut meletakkan Newcastle di tempat ke-12 dengan hanya dua kemenangan daripada 11 perlawanan mereka.
Namun, sejak itu prestasi Newcastle sungguh menakjubkan.
Selain kemenangan ke atas Ipswich, Leicester dan Aston Villa, mereka berjaya memperoleh kemenangan hebat menentang Manchester United dan Tottenham, di samping kemenangan ke atas Arsenal di perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala Carabao.
Sandro Tonali, yang tidak dibenarkan bermain tahun lepas kerana melanggar peraturan pertaruhan, memainkan peranan penting dalam kebangkitan Newcastle – mengawal tempo perlawanan dari bahagian tengah, dan membenarkan pemain seperti Bruno Guimaraes mempengaruhi perlawanan di bahagian serangan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg