LONDON: Tempoh rehat sebulan yang terpaksa diambil oleh Formula Satu (F1) akibat perang di Timur Tengah memberi ruang buat mereka untuk merenung kembali isu yang dihadapi sukan tersebut.

Ini selepas penganjuran tiga perlumbaan awal yang dipenuhi kontroversi dan kemalangan tidak diingini, menyusuli pengenalan perubahan peraturan terbesar dalam sejarah sukan itu.

Malah, sebelum kereta lumba bertanding di litar buat kali pertama, perdebatan hangat telah timbul mengenai keberkesanan peraturan baru yang menyebabkan sukan itu berubah bentuk.

Perdebatan terus berlarutan sejak musim bermula.

Pertukaran enjin baru, yang membahagikan kuasa secara sama rata (50-50) antara pembakaran dalaman dengan kuasa elektrik serta dilengkapi dengan mod ‘boost’ (lonjakan kuasa) dan ‘overtake’ (memintas), telah mencetuskan kontroversi bahawa corak perlumbaan era baru ini kelihatan tidak semula jadi.

Selain itu, kemalangan ngeri melibatkan pemandu Haas, Oliver Bearman, pada kelajuan 307 kilometer sejam (kmj) dalam Grand Prix (GP) Jepun telah menarik perhatian terhadap kebimbangan mengenai aspek keselamatan yang telah lama disuarakan oleh pemandu. 

Berikut disenaraikan beberapa pengajaran yang diraih daripada bulan pertama musim ini, khususnya isu berkaitan corak perlumbaan di atas litar dan aspek keselamatan.

Kritikan, pujian mengenai corak perlumbaan baru

Cara peraturan casis disesuaikan demi memenuhi tuntutan enjin baru ini telah mengubah bentuk perlumbaan F1. 

Keperluan untuk sayap depan dan belakang dibuka bagi meningkatkan penjanaan tenaga elektrik bermakna sistem pengurangan seretan (DRS) yang telah digunakan sejak 2011 perlu diganti.

Hasilnya, mod yang dikenali sebagai memintas dan lonjakan kuasa diperkenalkan.

Mod memintas memberi pemandu keupayaan untuk menjana lebih banyak tenaga elektrik apabila berada dalam jarak satu saat di belakang kereta lawan. 

Tenaga tambahan itu kemudian dimanfaatkan melalui mod lonjakan kuasa untuk mendapatkan kuasa maksimum.

Sebelum pengenalan sistem baru ini, sebaik sahaja sebuah kereta berjaya memintas kereta lain, persaingan biasanya berakhir di situ. 

Namun dengan sistem baru, persaingan berlanjutan selama beberapa pusingan dengan kereta saling memintas antara satu sama lain apabila satu kereta mendapat kelebihan tenaga, manakala kereta lain dalam mod pemulihan.

Juara dunia empat kali, Max Verstappen, menggelar perkara ini sebagai “antipemanduan”, malah menyamakan F1 era baru ini dengan permainan video Mario Kart dan menyifatkannya sebagai satu “jenaka”.

Namun, ramai rakan pemandu lain menyifatkan persaingan di bawah peraturan baru ini sebagai sesuatu yang agak menyeronokkan.

Lewis Hamilton menyifatkan persaingannya dengan rakan sepasukan Ferrari, Charles Leclerc, semasa GP China sebagai “persaingan terbaik” yang pernah dilaluinya dalam tempoh lebih 10 tahun, dan “seperti yang sepatutnya dalam sesuatu perlumbaan”.

Terdapat juga pemandu lain yang mengakui daya tarikan luaran F1 era baru ini, namun pada masa yang sama berasa kurang selesa dengannya.

Juara dunia, Lando Norris berkata: “Ia nampak hebat di televisyen dan penonton nampaknya sukakan (format baru ini). Ramai orang kelihatan menyukainya. Sebahagian daripada diri saya rasa, ya, itu perkara yang bagus.

“Tetapi sebahagian daripada corak perlumbaan itu terjadi hanya kerana pemandu yang memintas terpaksa menghabiskan bateri, dan kemudian beliau langsung tidak mempunyai baki tenaga. Pada ketika itu, anda hanyalah ‘penumpang’ yang tidak mampu berbuat apa-apa.

“Justeru, anda tidak benar-benar berlumba apabila berada dalam situasi sebegitu berbanding sebelum ini. Ia bergantung kepada apa yang anda mahukan... bergantung kepada bagaimana anda melihatnya.”

Isu Keselamatan

Namun, kemalangan ngeri Bearman di Suzuka, telah membangkitkan semula kebimbangan lama pemandu – iaitu risiko bahaya akibat perbezaan kelajuan ketara yang berpunca daripada enjin baru ini. 

Sebagai antara litar paling mencabar, GP Jepun telah menjadi medan ujian cukup getir buat peraturan baru tersebut.

Masalah utamanya terletak pada cara kuasa enjin disalurkan: oleh kerana bateri hanya mampu bertahan selama 11 saat pada pecutan penuh, ia memerlukan pengecasan secara kerap.

Ini mewujudkan jurang kuasa sangat besar; jika seorang pemandu masih menggunakan lonjakan elektrik sementara kereta di depan sedang memperlahankan kenderaan untuk mengecas semula, perbezaan kuasa enjin antara keduanya menjadi sangat ketara.

Jurang kelajuan ketara ini yang menyebabkan Bearman hilang kawalan sehingga merempuh dinding penghadang dengan kuat. 

Beliau sedang memecut pada kelajuan maksimum apabila terpaksa mengelak kereta Alpine milik Franco Colapinto yang bergerak 50kmj lebih perlahan ketika menghampiri selekoh laju ‘Spoon Curve’.

Selepas perlumbaan tersebut, pemandu nyata tidak berpuas hati kerana menganggap pihak atasan kurang memberi perhatian terhadap isu ini. 

Mereka telah menyuarakan kebimbangan tersebut melalui kesatuan mereka – Persatuan Pemandu Grand Prix (GPDA) – sejak perincian mengenai peraturan baru ini didedahkan.

Mengulas perkara ini, salah seorang pengarah GPDA serta pemandu Williams, Carlos Sainz, berkata:

“Sebagai GPDA, kami telah memberi amaran kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bahawa situasi sebegini akan kerap berlaku di bawah set peraturan ini, dan kita perlu mengubah sesuatu dengan segera jika tidak mahu ia berulang.”

“Saya berharap ini menjadi pengajaran… kepada pasukan dan individu yang mengatakan bahawa bentuk perlumbaan sekarang adalah baik, kerana hakikatnya, ia tidak baik.”

Tiada penyelesaian mudah?

Beberapa siri mesyuarat melibatkan pihak atasan F1 telah dijadualkan sebelum perlumbaan seterusnya di Miami. 

Mereka berhasrat untuk mencari penyelesaian jangka pendek yang boleh dilaksanakan segera, serta pelan jangka panjang yang mungkin dikuatkuasakan pada 2027.

Namun isu tersebut tidak mempunyai jalan keluar yang mudah.

Ini seperti yang ditegaskan oleh ketua pasukan McLaren, Andrea Stella: “Saya rasa tiada penyelesaian mudah bagi isu ini.”

Antara cadangan yang diusulkan termasuk menghapuskan sekatan pada ‘mod jalan lurus’ – iaitu apabila sayap kenderaan dibuka – dan menjadikannya bebas untuk digunakan di mana-mana bahagian litar yang dirasakan sesuai oleh pemandu.

Langkah ini akan banyak membantu dalam proses pemulihan tenaga. 

Namun, ia juga boleh mengundang isu keselamatan; terdapat kemungkinan besar pemandu akan cuba melepasi selekoh laju dengan sayap terbuka semasa sesi kelayakan, hanya untuk menyedari bahawa perkara tersebut mustahil dilakukan, lalu mengakibatkan kemalangan ngeri.

Kemudian, terdapat pula penyelesaian jangka panjang.

Isu utama tetap kembali kepada pembahagian kuasa 50-50 yang dilihat tidak dapat berfungsi sebaiknya dengan seni bina enjin dan saiz bateri sedia ada.

Satu penyelesaian yang dilihat munasabah adalah dengan mengubah pembahagian kuasa tersebut dengan meningkatkan nisbah enjin pembakaran dalaman menerusi pertambahan kadar aliran bahan api.

Namun, langkah itu pasti akan mencetuskan masalah lain. 

Mercedes, sebagai contoh, dijangka membantah keras memandangkan pembahagian kuasa 50-50 tersebut sangat penting bagi hala tuju teknologi mereka.

Apa yang pasti, isu ini amat rumit untuk dirungkaikan dan masih banyak perkara perlu diperincikan dalam beberapa minggu mendatang. – Agensi berita.