LONDON: Lando Norris, pemandu pasukan McLaren, menamatkan separuh pertama musim Formula Satu (F1) dengan menjuarai Grand Prix (GP) Hungary, yang disifatkannya sebagai antara persembahan terbaiknya.

Ini selepas permulaan musim yang sukar buat juara dunia bertahan itu dan pasukan McLaren.

Sedang Ferrari, pasukan pilihan sebelum perlumbaan, bergelut dan melakukan terlalu banyak kesilapan, Norris dan pasukan McLaren pula tampil hampir sempurna.

Walaupun mengambil kira permulaan musim cemerlang Kimi Antonelli bersama Mercedes, ini antara kemenangan paling mengagumkan dan meyakinkan musim ini.

Satu-satunya kesilapan Norris berlaku pada pusingan pertama.

Di selekoh pertama, beliau mendahului perlumbaan.

Namun pada selekoh kedua, Norris melakukan satu kesilapan sebelum terbabas dan kehilangan kedudukan kepada rakan sepasukannya, Oscar Piastri.

Kesilapan itu hampir memusnahkan peluang Norris untuk menang di litar, tetapi beliau kekal tenang.

“Ia bukan selekoh kedua terbaik saya, tetapi saya lebih pantas serta lebih baik mengurus kemerosotan tayar, jadi saya yakin masih mampu menang,” katanya.

Terkandas di belakang Piastri, Norris meminta strategi berbeza untuk menang, sebelum keadaan akhirnya memihak kepadanya.

Di pertengahan perlumbaan, pasukan McLaren memanggil Piastri masuk ke hentian pit bagi menutup ancaman Lewis Hamilton yang baru menukar tayar, memberi Norris peluang mencatat masa terpantas.

Piastri mungkin dapat mengekalkan kedudukan pendahulu sekiranya tidak berlanggar dengan pemandu Williams dari Sepanyol, Carlos Sainz, ketika cuba memintasnya.

Beliau kemudian berang apabila Norris keluar dari lorong pit di hadapannya, tetapi menyalahkan Sainz atas insiden tersebut.

Norris berkata beliau yakin akan menang tanpa mengira strategi pit, kerana mempunyai kelebihan kelajuan yang ketara, hasil kerja keras bersama juruteranya dalam memahami ciri-ciri kereta McLaren.

“Mengapa? Hanya kerja keras bersama jurutera saya untuk membaiki diri dan cara pemanduan saya.

“Itulah jawapannya,” kata Norris.

Beliau percaya prestasinya kini mengatasi separuh pertama musim kejuaraannya pada 2025, selepas menyesuaikan diri dengan generasi baharu kereta F1.

Pada 2025, beliau bergelut menyesuaikan diri dengan kereta McLaren. 

Seperti pencabar lain, beliau kurang menggemari generasi baharu kereta F1, terutama enjinnya, tuntutan pengurusan tenaga yang berlebihan dan kesannya terhadap pengalaman memandu. 

Namun, beliau kini sudah benar-benar serasi dengannya, sedangkan Piastri, yang cemerlang pada separuh pertama musim lalu, kini bergelut.

Ketua pasukan McLaren, Andrea Stella, berkata Norris kini lebih yakin dan memahami kekuatannya sebagai pemandu dan mampu mengawal emosi. 

“Norris jauh lebih yakin. Dia lebih memahami kelebihannya sebagai pemandu dan cara memanfaatkannya, selain lebih mampu mengawal emosinya,” kata Stella.

Menurutnya, kesabaran Norris ketika berada di belakang Piastri membolehkannya menggunakan kelebihan rentaknya pada waktu yang tepat untuk meraih kemenangan.

Prestasi itu hadir selepas pasukan McLaren memperkenalkan penambahbaikan besar pada keretanya, dengan satu lagi akan diperkenalkan pada GP Belanda selepas rehat musim panas F1 selama empat minggu.

Kemenangan itu merapatkan jurang Norris kepada 91 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Kimi Antonelli.

Namun, beliau mengingatkan agar tidak terlalu mengharapkan kebangkitan seperti yang dicapai Max Verstappen dan Red Bull ketika mengejar McLaren pada 2025.

“Saya hanya gembira dengan prestasi saya hari ini.

“Memandu laju di sini tidak bermakna kami akan pantas di semua litar.

“Saya belajar supaya tidak meletakkan jangkaan, sebaliknya terus bekerja membaiki diri dan pasukan.

“Saya yakin kami mampu memenangi lebih banyak perlumbaan, tetapi persaingan sengit, dan masih ada perlumbaan yang saya kurang yakin kerana kereta ini belum cukup baik dalam beberapa aspek,” kata Norris.

Sementara itu, Piastri berkata kemarahannya ditujukan kepada Sainz, bukannya McLaren.

“Masa saya masuk pit memang tepat untuk menutup ancaman Hamilton.

“Jika saya tidak dilanggar, saya masih di hadapan Lando,” kata Piastri.

“Saya benar-benar marah kepada Carlos.

“Apabila Lando keluar di hadapan saya, saya tahu peluang saya untuk menang sudah berakhir.”

Mengenai pelanggaran itu, Piastri berkata Sainz langsung tidak menyedari beliau sedang dipintas satu pusingan dan menyifatkan kekurangan kesedaran itu sebagai tidak boleh diterima.

Beliau turut mendakwa Sainz sering mengkritik pemandu lain walaupun pernah dikritik kerana menyusahkan di litar.

Piastri juga tidak menganggap masalah sistem GPS yang memaparkan kedudukan semua kereta sebagai alasan.

Sainz pula berkata beliau tidak sedar sedang dipintas satu pusingan, tidak menjangka Piastri berada di situ dan pelanggaran itu mustahil dielakkan.

Ferrari mensia-siakan peluang di Hungary walaupun memiliki kereta terpantas.

Hamilton, yang memulakan perlumbaan di petak kedua, diturunkan ke petak kelima akibat penalti kerana menghalang Piastri, manakala Charles Leclerc gagal mencabar Norris selepas dipintas Piastri, Verstappen dan Hamilton.

Hamilton memintas Verstappen selepas hentian pit pertama sebelum dipintas semula pada pusingan berikutnya. 

Penalti memandu melebihi had laju di lorong pit menyebabkannya kehilangan lima saat lagi dan menamatkan perlumbaan di tempat kelima di belakang Leclerc.

Hamilton, yang kini kedua dalam kedudukan kejuaraan dan 50 mata di belakang Antonelli, mengakui kesilapan seperti itu tidak boleh dilakukan jika mahu mencabar kejuaraan.

Ketua pasukan Ferrari, Frederic Vasseur, berkata Ferrari melakukan terlalu banyak kesilapan, termasuk mendapat penalti, dipintas Verstappen dan kehilangan kedudukan ketika hentian pit, menyebabkan mereka menghabiskan perlumbaan di belakang pelumba lain.

Norris menjuarai perlumbaan di hadapan Verstappen dan Antonelli, yang masing-masing layak berada di podium.

Rakan sepasukan Antonelli di Mercedes, George Russell, bangkit daripada masalah enjin di awal perlumbaan untuk menamatkan saingan di tempat ketujuh, tetapi kehilangan lebih banyak mata kepada Antonelli dan kini ketinggalan 59 mata.

Russell berkata beliau sudah “melepasi tahap rasa kecewa” selepas satu lagi masalah teknikal menjejaskan perlumbaannya, walaupun mengakui Mercedes memiliki rentak yang baik.

Beliau berharap nasibnya berubah selepas musim yang disifatkannya paling malang dalam kerjaya F1nya.

Antonelli memasuki rehat musim panas dengan kedudukan kukuh di puncak kejuaraan, namun mengingatkan tiada apa yang pasti sambil mengakui Norris masih memiliki kelebihan hujung minggu ini.

Beliau berkata Mercedes mempunyai kereta yang sangat baik dan bertekad terus menggunakan setiap peluang serta meningkatkan prestasi pada separuh kedua musim. – Agensi berita.