Topik diikuti
Pergi ke BHkuF1 mungkin kembali ke M’sia setelah hampir sedekad
F1 mungkin kembali ke M’sia setelah hampir sedekad
Litar Sepang jadi pertimbangan selepas ketidaktentuan Grand Prix di Timur Tengah
F1 mungkin kembali ke M’sia setelah hampir sedekad
BUDAPEST: Grand Prix Malaysia berkemungkinan kembali ke kalendar Formula Satu (F1) sebagai pengganti pada musim 2026, memandangkan harapan untuk berlumba di Bahrain semakin pudar akibat konflik di rantau tersebut, menurut beberapa sumber pada 23 Julai.
Grand Prix di Sakhir dan Arab Saudi (Jeddah) pada April telah dibatalkan akibat perang Iran, namun usaha untuk menjadualkan semula satu pusingan di Bahrain kelihatan menjanjikan, sehingga keadaan di sana kembali tegang.
Beberapa sumber di Grand Prix Hungary memberitahu Reuters bahawa terdapat beberapa pilihan pengganti sedang dipertimbangkan, tanpa sebarang keputusan muktamad lagi, tetapi litar Sepang Malaysia merupakan salah satu daripada senarai tersebut.
Slot yang berkemungkinan adalah antara Baku pada 26 September dengan Singapura pada 11 Oktober.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Grand Prix F1 ialah pada 2017 tetapi negara itu kekal dalam kalendar MotoGP dan memenuhi gred yang diperlukan oleh badan pengurusan, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Syarikat minyak negara, Petronas, turut merupakan rakan kongsi bagi peneraju semasa F1, Mercedes.
Satu lagi alternatif di rantau Asia ialah litar Suzuka, Jepun, tetapi seorang sumber berkata terdapat kurang minat daripada pasukan-pasukan untuk kembali ke sana buat kali kedua musim ini.
Timur Tengah dijadualkan menjadi tuan rumah dua perlawanan terakhir 2026 di Qatar dan Abu Dhabi pada akhir November dan awal Disember, dan walaupun kedua-duanya masih dijadualkan buat masa ini, ketidaktentuan masih berlarutan.
Atas sebab logistik, sebarang keputusan mengenai pengganti Bahrain perlu dibuat sebelum Ogos, yang menyusuli perlumbaan di Hungaroring di Mogyorod, Hungary pada 26 Julai.
Majlis Sukan Motor Dunia FIA dijadualkan mengundi hujung minggu ini mengenai pusingan Kejuaraan Daya Ketahanan Dunia (WEC) yang ditangguhkan, yang dijadualkan di Bahrain dan Qatar pada Oktober dan November, dengan jangkaan ia akan dipindahkan ke litar di Eropah.
F1 difahami sedang menunggu keputusan undian tersebut.
Litar Portimao, Portugal, yang dijadualkan kembali musim depan sebagai sebahagian daripada perjanjian dua tahun, turut disebut-sebut sebagai bakal tuan rumah tambahan sekiranya Qatar dan Abu Dhabi terpaksa menarik diri.
Barcelona juga berkemungkinan menjadi salah satu pilihan.
Memandangkan iklim yang lebih panas di rantau Algarve, Portugal, litar berhampiran Faro itu dilihat sebagai salah satu daripada litar di Eropah yang mampu menjadi tuan rumah F1 pada musim sejuk.
Musim F1 2026 pada asalnya dijadualkan sebagai kejohanan 24 perlumbaan, dan penambahan perlumbaan pengganti akan memenuhi perjanjian siaran serta boleh mengembalikan bilangan tersebut kepada 22 atau 23.
Pemandu Mercedes, George Russell, yang berada di kedudukan ketiga dalam kejohanan pemandu dan ketinggalan 50 mata daripada rakan sepasukannya, Kimi Antonelli, turut terbuka kepada penambahan lebih banyak perlumbaan ke dalam jadual bagi menggantikan Bahrain dan Arab Saudi yang dibatalkan.
“Saya amat suka mempunyai musim 24 perlumbaan dan mendapatkan seberapa banyak perlumbaan yang mungkin antara sekarang dengan penghujung musim.
“Itu tidak berubah sama ada saya berada di kedudukan pertama atau kedua atau ketiga atau keempat (dalam kedudukan carta),” kata Rusell, seperti dipetik oleh Sky Sports.
“Saya mahu berlumba, saya suka berlumba, saya suka pertarungan itu, dan saya berharap, jika kami tidak berlumba di Timur Tengah, ada dua penggantinya.” – Agensi berita.
“
“Saya amat suka mempunyai musim 24 perlumbaan dan mendapatkan seberapa banyak perlumbaan yang mungkin antara sekarang dengan penghujung musim. Itu tidak berubah sama ada saya berada di kedudukan pertama atau kedua atau ketiga atau keempat (dalam kedudukan carta). Saya mahu berlumba, saya suka berlumba, saya suka pertarungan itu, dan saya berharap, jika kami tidak berlumba di Timur Tengah, ada dua penggantinya.”