Faiz Basha sasar tiga lagi Olimpik Musim Sejuk; azam kukuh kedudukan di Asia
Faiz Basha sasar tiga lagi Olimpik Musim Sejuk; azam kukuh kedudukan di Asia
Atlet ski ‘Alpine’ pertama S’pura berazam kukuhkan kedudukan di Asia, turut rancang berehat seketika
Sekitar sebulan lalu, Faiz Basha, pemain ski ‘Alpine’ pertama Singapura, memukau dengan aksi cemerlang menuruni laluan slalom dan cerun berais pada kelajuan melebihi 100 kilometer sejam dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 pada Februari.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas sesi bertemu peminat anjuran Outside SG dan RAB Equipment di Wheelock Place pada 18 Mac, Faiz mendedahkan sasaran untuk beraksi dalam tiga lagi edisi Sukan Olimpik Musim Sejuk.
Walaupun atlet berusia 24 tahun itu masih dahagakan kejayaan dan berazam untuk mengukuhkan kedudukannya di pentas antarabangsa, beliau juga merancang untuk ‘reset’ atau berehat seketika selepas hampir tiga tahun bekerja mati-matian demi mencapai tahap Olimpik.
“Perjalanan ke Olimpik amat mencabar. Saya terpaksa mengutamakan sukan ski hampir tiga tahun, hingga banyak aspek kehidupan, termasuk pelajaran, ditunda buat sementara,” kongsi Faiz, yang merupakan mahasiswa bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Strathclyde di Glasgow, Scotland.
Beliau menambah:
“Baru-baru ini, saya dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran, sambil merenung langkah seterusnya.
“Saya bertekad untuk beraksi dalam dua atau tiga lagi edisi Olimpik Musim Sejuk, dan seterusnya memperkukuhkan nama saya di rantau Asia.”
Pada 14 Februari, Faiz tidak menamatkan larian (DNF) pertama acara slalom gergasi di Pusat Ski Stelvio di Bormio, Italy.
Beliau tertanggal ski kanannya ketika cuba melepasi pagar di bahagian ketiga dalam laluan empat sektor, menghalangnya daripada melengkapkan larian pertama dalam acara tersebut.
Beberapa hari kemudian, beliau mencatatkan masa 2 minit 20.45 saat dalam dua larian untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-35.
Ia merupakan satu pencapaian yang mengagumkan bagi perintis sukan ski di Singapura itu, memandangkan lebih separuh daripada 96 peserta mencatatkan DNF disebabkan oleh keadaan yang sukar.
Bagi Faiz, penampilan sulungnya membantunya menyesuaikan dirinya dengan tahap persaingan dan tekanan di pentas Olimpik.
“Kami harus kekal tenang untuk beraksi mengikuti latihan kami, dalam persekitaran yang mampu berubah dengan pantas,” katanya semasa sesi pertemuan itu.
Selain pengajaran teknikal, Faiz menjadi lebih cekal dan terkawal.
“Saya hanya dapat beraksi di laluan seperti ini sehingga enam kali dalam kehidupan saya… Kesedaran itu membantu saya bangkit semula dengan lebih cepat daripada percubaan yang gagal,” katanya.
Berbekal pengalaman itu, Faiz kini lebih yakin dan komited untuk bersiap sedia bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk Perancis pada 2030.
“Saya lebih teruja kerana saya mempelajari cara berski di Perancis,” tambahnya.
Beliau juga akan menguji bakatnya di Sukan Universiti Dunia terakhirnya pada 2027 di Chungcheong, Korea Selatan, serta Kejohanan Ski Dunia Alpine 2027 di Switzerland.
Namun, “matlamat besar” Faiz sebelum Olimpik ialah memperkukuhkan kedudukannya sebagai jaguh ski di Asia menjelang Sukan Musim Sejuk Asia 2029.
Dalam Sukan Asia Musim Sejuk di Harbin, China pada 2025, beliau menduduki tempat ke-12 dalam acara slalom.
Bagi edisi 2029, Faiz menyasarkan antara tempat ketujuh dan ketiga pula.
“Saya yakin saya boleh memberikan persembahan yang lebih baik. Sepanjang setahun ini, saya berjaya meningkatkan bakat saya dengan ketara.
“Saya tidak sabar untuk mula berlatih semula bagi memperhalusi persembahan saya,” tambahnya.
Faiz menegaskan bahawa ‘reset’ ini penting untuk meredakan tekanan daripada bertanding pada tahap tinggi.
“Saya akan menilai semula teknik dan kelemahan saya, serta memperkukuhkan teknik asas saya semula.
“Saya juga ingin berski secara bebas buat seketika, menikmati sukan yang saya gemari ini… Ia akan membantu saya bangkit,” kongsinya.
Buat masa ini, Faiz menenangkan jiwanya di Singapura bersama keluarga dan kegiatan kegemarannya, termasuk bermain kasut roda selari atau ‘in-line skates’ pada hari pertama tiba di Singapura pada 16 Mac.
Beliau mengimbau kembali berlatih menggunakan kasut roda selari di trek larian di luar Stadium Negara apabila latihan terbatas akibat pandemik Covid-19 serta menjalani Perkhidmatan Negara (NS) pada 2020.
Yang lebih penting, beliau bersyukur dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarganya, pertama kali dalam hampir empat tahun.
Beliau juga memanfaatkan peluang ini untuk memanjakan diri dengan hidangan tempatan kegemarannya, termasuk nasi ayam kukus, mi soto, dan nasi lemak.
“Sebelum saya pulang, saya mesti makan asam pedas!” kata Faiz sambil tertawa.

