Faiz bertekad berski tanpa ragu, tingkat kemahiran
Satu-satunya wakil S’pura tidak melihat penyertaan sebagai beban tambahan, mahupun terlalu fikirkan jangkaan
Bagi Faiz Basha, melangkah ke pentas Sukan Olimpik Musim Sejuk bukan sekadar soal kelayakan atau pencapaian peribadi.
Bagi atlet berusia 23 tahun itu, perjalanan tersebut hadir bersama campuran emosi, rasa bangga dan syukur, namun pada masa sama, berat dengan kesunyian satu perjuangan yang panjang.
Ketika melangkah masuk ke arena bagi upacara pembukaan beliau turut rasa sedikit pilu apabila teringat rakan-rakan seperjuangan yang pernah berlatih bersamanya sejak usia muda, namun tidak berpeluang berada di pentas sama.
“Di kejohanan universiti atau peringkat awal, kami ramai. Masuk ke Kejohanan Dunia, bilangannya berkurang. Bila sampai ke Olimpik, ia jadi lebih kecil lagi,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Sebagai satu-satunya atlet ski ‘Alpine’ Singapura yang layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk, di Milan Cortino, Italy, Faiz berdiri sebagai perintis dalam satu bidang sukan yang tidak biasa diceburi warga negara tropika ini.
Namun, beliau tidak melihat kedudukan itu sebagai beban tambahan, mahupun terlalu memikirkan jangkaan luar.
“Bagi saya, ini bukan kemuncaknya. Ia hanyalah satu lagi pertandingan dalam perjalanan yang panjang,” katanya.
Perjalanan Faiz bermula seawal usia tiga tahun, ketika keluarganya berpindah ke Switzerland berikutan tugasan kerja bapanya.
Di sanalah beliau kali pertama mengenal ski, bukan melalui akademi elit atau program pembangunan atlet, tetapi melalui ibunya, Sharifah Ferdaus Ali Albar, yang mempelajari ski secara rekreasi.
“Ibu saya belajar ski dahulu, kemudian beliau yang ajar saya,” katanya.
Di Switzerland, ski bukan sukan eksklusif. Ia merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian dan sistem pendidikan.
Dalam kelas pendidikan jasmani, murid akan dibawa ke pergunungan untuk ski, menggantikan sukan lain yang lebih lazim di negara tanpa musim sejuk.
Menurutnya, ini bermakna persaingan dalam sukan tersebut amat sengit.
Apabila beliau berusia 11 tahun, beberapa jurulatih sekolah mula melihat potensi Faiz dan mencadangkan agar beliau menyertai pasukan perlumbaan.
Keputusan itu membuka pintu kepada dunia baru, dunia sukan kompetitif yang asing buat keluarganya.
“Kami tidak mempunyai latar belakang sukan. Kami belajar segalanya dari mula, tentang pertandingan, sistem mata, peralatan, dan cara menyediakan peralatan ski,” jelasnya.
Sepanjang perjalanannya, Faiz berdepan pelbagai rintangan besar termasuk kecederaan membahayakan kepada ususnya apabila beliau berusia 14 tahun.
Faiz Basha juga beraksi di Sukan Asia Musim Sejuk di Harbin, China, pada 2025. Beliau menduduki tempat ke-12 dalam acara slalom.
Beliau juga gagal melayakkan diri ke Olimpik Belia Lausanne 2020, latihan terhad akibat pandemik Covid-19, serta menjalani Perkhidmatan Negara (NS) yang mengehadkan peluang untuk mengumpul mata kelayakan ke Olimpik Beijing 2022.
Namun, di sebalik semua itu, keyakinannya terhadap diri sendiri tidak pernah benar-benar goyah.
“Ada satu musim di mana saya berlumba enam atau tujuh kali dan semuanya di tempat terakhir, bukan kalah satu saat sahaja, tetapi lima atau enam saat,” katanya.
“Itu sangat sukar dari segi mental. Tetapi saya tidak pernah meragui bahawa saya boleh bangkit ke tahap seterusnya.”
Kini, menjelang penampilan sulungnya di Olimpik Musim Sejuk, Faiz enggan meletakkan sasaran berdasarkan ranking semata-mata malah tekad untuk terus meningkatkan kemahirannya.
“Sasaran saya ialah untuk berski tanpa ragu, tanpa menahan diri. Bila saya lihat rakaman selepas itu, saya mahu kata: itulah cara saya berski,” ujarnya.
Persiapan ke Olimpik menuntut intensiti tinggi.
Faiz telah bertanding dalam acara giant slalom di Pusat Ski Stelvio di Bormio, Italy, pada 14 Februari.
Acara keduanya, slalom, dijadual berlangsung pada 16 Februari.
Dalam satu hari, beliau boleh menjalani dua sesi latihan dua jam yang intensif, dengan sehingga 13 luncuran, mengulangi pergerakan sama.
Namun, walaupun berdepan kesukaran dan detik-detik ingin mengalah, beliau sentiasa mengingatkan dirinya agar tidak menyesal di kemudian hari.
“Saya tanya diri sendiri, adakah saya mahu hidup dengan rasa menyesal kerana berhenti ketika saya masih mampu?” ujarnya.

