PEMAIN sayap berbakat Singapura, Farhan Zulkifli, bersedia membuka lembaran baharu dalam kerjayanya selepas sah menyertai juara bertahan Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors, dengan kontrak selama dua tahun menjelang musim 2026/2027.

Perpindahan pemain berusia 23 tahun itu hadir selepas beberapa musim cemerlang bersama Hougang United, apabila kelajuan, larian agresif serta keupayaannya melepasi benteng pertahanan lawan menjadikannya antara pemain sayap paling berbahaya dalam liga.

Bakat Farhan mula menyerlah sejak usia muda apabila beliau menjaringkan gol hanya 12 minit selepas membuat penampilan sulung dalam SPL menentang Home United pada Jun 2019. Ketika itu, beliau muncul sebagai penjaring kedua termuda dalam sejarah liga pada usia 16 tahun 231 hari.

Sejak itu, Farhan telah membuat lebih 100 penampilan sepanjang tujuh musim dalam SPL dan membantu Hougang United muncul juara Piala Singapura 2022. Prestasi konsistennya sepanjang musim 2025/2026 turut menyaksikan beliau dicalonkan bagi anugerah Pemain Muda Terbaik SPL.

Pengarah Bola Sepak Lion City Sailors, Luka Lalić, berkata Farhan merupakan antara bakat terbaik yang dimiliki bola sepak Singapura ketika ini.

“Kelajuan dan corak permainannya yang lebih langsung akan memberi dimensi baharu kepada jentera serangan kami. Kami percaya beliau mempunyai keinginan serta mentaliti untuk terus berkembang dalam persekitaran di sini.

“Beliau akan membawa keterujaan menerusi gaya permainannya dan kami yakin beliau mampu menjadi pemain yang lebih baik, bukan sahaja untuk kelab tetapi juga skuad kebangsaan Singapura,” katanya.

Farhan, yang telah membuat 11 penampilan bersama skuad nasional, turut teruja untuk beraksi bersama beberapa rakan sepasukan kebangsaan di Lion City Sailors, termasuk menghadapi cabaran dalam Liga Juara-Juara AFC Two serta Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup.

Mengulas perpindahannya, Farhan melahirkan penghargaan kepada Hougang United kerana memberinya peluang membina kerjaya sejak awal.

“Saya amat berterima kasih kepada Hougang United kerana memberi saya platform untuk berkembang sebagai pemain dan juga sebagai individu. Kini saya bersedia menyahut cabaran baharu bersama Lion City Sailors.

“Saya mahu belajar daripada pemain-pemain terbaik di sini, meningkatkan lagi tahap permainan saya dan memainkan peranan penting dalam membantu pasukan memburu setiap kejuaraan yang disertai,” katanya.