Sejak bertapak di sini lebih dua dekad lalu, kelab Liga Perdana Singapura (SPL) Albirex Niigata Singapore telah membina sokongan yang kukuh di kawasan barat.

Dijenamakan semula sebagai FC Jurong mulai musim 2026-27, kelab itu kini mahu mengembangkan lagi hubungan mereka dengan masyarakat selepas memeterai kerjasama pada 16 Mei dengan SKASports Investments dari India, yang akan menyertai sebagai pemegang saham minoriti.

Melalui perjanjian itu, matlamatnya adalah untuk memacu pertumbuhan dalam bidang seperti kerjasama antarabangsa, pembangunan pemain muda dan prestasi bola sepak.

Pada sidang media di Stadium Jurong East pada 16 Mei, pengerusi kelab Daisuke Korenaga, berkata:

“Matlamat kami adalah untuk membina sebuah kelab yang akan bertahan selama 100 tahun.

“Sebuah kelab yang mempunyai hubungan mendalam dengan masyarakat tempatan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat. Kami percaya inilah nilai sebenar sesebuah kelab bola sepak.

“Kelab bola sepak bukan hanya wujud di atas padang, ia juga merupakan platform bagi pemain, peminat, masyarakat tempatan, perniagaan dan budaya berkumpul dan FC Jurong mahu menjadi tempat sebegitu, di mana pelbagai pihak bertemu, berhubung dan mencipta kemungkinan baru.”

Melalui kerjasama itu, pengarah SKASports, Encik Sudhir Menon, berharap dapat mendekati masyarakat India dan membawa mereka menjadi penyokong dalam mengharungi fasa seterusnya bagi kelab yang berasal dari Jepun itu. 

Beliau berkata: “Dalam fasa pertama, kami mahu memperluaskan kesedaran jenama FC Jurong kepada masyarakat India, baik di India mahupun di Singapura.

“Dalam fasa kedua, kami mahu membawa FC Jurong kepada perhatian masyarakat perniagaan India di sini serta syarikat India di India yang mempunyai kehadiran di Singapura, yang akan melibatkan aspek komersial dan pembangunan.

“Kami juga mahu mendapatkan akses kepada pasaran India, menjalankan program khusus, menyasarkan mereka (pemain) dan kemudian mencari bakat terbaik untuk dibawa ke sini.”

Perjanjian itu tercetus apabila Korenaga mengembara ke Kemboja pada Disember 2025 dan Menon menghubunginya untuk membincangkan potensi kerjasama.

“SKASports juga memiliki pegangan minoriti dalam kelab Liga Perdana Kemboja, Angkor Tiger FC.

Walaupun ia satu perkembangan positif, mereka tidak bercadang mengikut jejak langkah pencabar dan juara SPL, Lion City Sailors, yang pada 2020 menjadi satu-satunya kelab liga yang diswastakan.

Kelab itu disokong oleh firma teknologi tempatan Sea Limited, yang pengasas, pengerusi dan ketua pegawai eksekutifnya, Forrest Li, juga merupakan presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Korenaga berkata: “Sailors dan FC Jurong adalah kelab berbeza. Mereka mempunyai pelan yang berbeza, manakala kami lebih ke arah pelan masyarakat… Ceritanya berlainan, tetapi kadangkala (kami mempunyai matlamat yang sama).”

Setiausaha Agung FAS, Badri Ghent, berkata: “Ini merupakan satu pencapaian yang sangat penting, bukan sahaja untuk kelab bahkan juga untuk SPL.

“Bagi FC Jurong, mereka sentiasa berada di hadapan dalam inovasi, menolak sempadan dan khususnya dari aspek penglibatan masyarakat, dan untuk mereka benar-benar berakar sebagai sebuah kelab Singapura sekarang, saya fikir ia satu kejayaan besar.

Sejak bermula di sini pada 2004 sebagai pasukan satelit kelab Jepun Albirex Niigata, mereka telah memenangi enam gelaran liga, empat Piala Singapura dan empat Perisai Masyarakat.

Selama 20 tahun, mereka mengekalkan pasukan yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar universiti dari Jepun dan pemain akademi daripada Liga J1.

Pada 2024, kelab itu beralih menjadi pasukan tempatan, yang bermakna mereka mengikuti peraturan pertandingan yang sama seperti pasukan tempatan lain, termasuk kuota pemain asing.

Mereka juga layak bermain dalam pertandingan serantau seperti Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekiranya berjaya melayakkan diri.

Pada April, kelab itu menunjukkan cita-cita mereka dengan menandatangani bekas pemain antarabangsa Jepun Keisuke Honda untuk musim 2026-27.