Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Farhanna catat lagi rekod dunia ‘deadlift’

Dec 15, 2023 | 05:20 PM



Antara matlamat terbesarnya dalam ‘powerlifting’ ialah dapat mengangkat seberat empat kali ganda berat badannya dan pada 15 Disember, atlet Singapura, Farhanna Farid, berjaya mencapainya.

Farhanna, 31 tahun, membawa keriuhan dalam dewan Hotel Trove di Johor Bahru, Malaysia, apabila beliau menyempurnakan ‘deadlift’, atau angkat biasa, 208 kilogram, sekali gus mencatatkan rekod dunia baru bagi kategori Terbuka Wanita Bawah 52 Kilogram di Kejohanan ‘Powerlifting’ Klasik Asia 2023.

Bahkan, jurulatih ‘powerlifting’ itu dua kali memecahkan rekod dunia – yang beliau catat sebelumnya dengan berat 203 kilogram pada Jun – dalam pertandingan serantau tersebut.

“Saya hanya rasa sangat lega,” kata Farhanna ketika dihubungi Berita Harian (BH) selepas detik membanggakan itu.


“Saya tidak dapat mengangkat lebih berat semasa latihan kerana tidak mahu mencederakan tulang belakang tubuh saya.

“Saya sebenarnya tidak pasti dengan prestasi saya hari ini, jadi saya gembira semuanya berjalan seperti yang dirancang,” kongsinya. 

Farhanna dengan selesa berjaya melakukan angkat biasa 190 kilogram pada percubaan pertama, sebelum memecahkan rekod dunianya dengan percubaan 203.5 kilogram.

Enggan mudah berpuas hati, beliau kemudian mencabar dirinya dengan mengangkat 208 kilogram untuk mencipta sejarah baru bagi cabang sukan itu.

“Percubaan kedua memang kami rancang untuk dapatkan rekod dunia dan yang ketiga adalah sekadar bonus.

“Kami sasar angkat empat kali ganda berat badan dan ia adalah sesuatu yang ingin saya... jadi, ia menakjubkan untuk dapat melakukannya,” ujar Farhanna.

Ini merupakan kali kelapan beliau memecah rekod dunia ‘deadlift’ dalam tempoh lebih setahun.

Rekod dunia pertamanya dicatatkan dalam Kejohanan Angkat Berat Klasik Terbuka Dunia di Afrika Selatan pada Jun 2022.

Pada waktu itu, beliau mengangkat seberat 197 kilogram dan 200.5 kilogram untuk memecahkan rekod dunia dua kali dalam satu kejohanan.

Farhanna turut berjaya memecahkan rekod dunia buat kali ketiga dengan mengangkat seberat 201 kilogram dalam Piala Asia Tenggara di Johor Bahru pada September 2022 sebelum sekali lagi memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali dalam Kejohanan Angkat Berat Klasik Asia di Dubai tiga bulan kemudian – beliau mengangkat 201.5 kilogram dan 202 kilogram.

Pada Jun, beliau mengangkat seberat 203 kilogram dalam Kejohanan Angkat Berat Klasik Terbuka Dunia di Malta.

“Rekod dunia ini benar-benar bermakna kerana ia bukan hanya untuk diri saya, malah Singapura dan Asia. Melebihinya, ia juga sentiasa melambangkan harapan dan kebolehan atlet dari negara kecil seperti Singapura,” kata beliau.

Pencapaian luar biasa itu lebih manis lagi buat Farhanna apabila beliau muncul juara keseluruhan di Kejohanan ‘Powerlifting’ Klasik Asia 2023 pada 15 Disember.

‘Powerlifting’ merangkumi tiga disiplin – ‘squat’, atau cangkung; ‘bench press’ atau juak baring; dan ‘deadlift’ atau angkat biasa. 

Farhanna mengatasi lapan pesaing lain dengan berat keseluruhan 415.5 kilogram.

Beliau mencangkung 135 kilogram, manakala juak baringnya adalah 72.5 kilogram dan angkat biasa adalah 208 kilogram.

Seorang lagi warga Singapura, Rozana Abdul Razak, turut mengharumkan nama Singapura di seberang Tambak.

Penjawat awam berusia 42 tahun itu menyapu kemenangan semua disiplin dalam kategori Masters 1 Wanita Lebih 84 Kilogram dan dinobat juara keseluruhan daripada tiga pesaing.

Rozana juga berjaya mencatat rekod baru Asia, 180 kilogram, bagi angkat biasa.

Ibu dua cahaya mata itu mencangkung 135 kilogram dan mengangkat 55 kilogram bagi juak baring untuk meraih sejumlah 370 kilogram.

Beliau membawa pulang empat pingat emas.

Rozana, yang mula bergiat dalam sukan ‘powerlifting’ sekitar 2018 atas sebab kesihatan dan kemudian beralih secara kompetitif pada 2022, berkata kemenangan itu adalah penutup 2023 yang baik baginya.

“Dalam pertandingan sebelumnya, saya tidak capai apa yang saya sasarkan. Jadi, saya gembira saya dapat berbuat demikian kali ini,” ujar beliau.

Rozana mendapat tempat kelapan dalam Kejohanan Klasik Wanita Masters Dunia di Ulaanbaatar, Mongolia, pada Oktober.

Namun begitu, beliau memperbaiki prestasi pingat peraknya pada 2022 di Kejohanan ‘Powerlifting’ Klasik Asia, iaitu pertandingan antarabangsa sulungnya.

Bangga dengan pencapaiannya, Rozana menambah:

“Ia bagaikan satu bulatan penuh… kemenangan ini mengingatkan saya kembali kepada waktu saya mula-mula bertanding.”

Singapura diwakili 57 atlet dalam edisi Kejohanan ‘Powerlifting’ Klasik Asia kali ini.

Pertandingan berlangsung sehingga 18 Disember. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >