Atlet angkat berat Singapura, Farhanna Farid, memecahkan rekod dunia ‘deadlift’ bukan satu kali, bukan dua, bukan tiga, tetapi sembilan kali.
Beliau lega berjaya mencapai matlamat beliau selama ini walau baru mengatasi kecederaan pada bahagian belakangnya.
“Untuk memperbaiki rekod dunia ‘deadlift’ sentiasa menjadi keutamaan saya apabila menyertai apa jua pertandingan, tidak kira skalanya. Namun begitu, perasaan terkejut dan kesedaran bahawa rekod dunia tercatat tidak pernah pudar,” kata atlet berusia 31 tahun itu.
“Saya biasanya tidak mencapai jumlah ini semasa latihan, jadi untuk mencapainya pada hari pertandingan selalu mendatangkan rasa lega dan sukar untuk percaya,” tambah beliau.
Beliau berjaya mencatatkan rekod apabila beliau menyempurnakan ‘deadlift’, atau angkat biasa, 209 kilogram – satu kilogram lebih berat daripada rekodnya sebelum ini – semasa Kejohanan Angkat Kuasa Klasik Terbuka Dunia di Druskininkai, Lithuania pada 16 Jun.
Sudah tentu banyak tenaga dan usaha dicurahkan untuk mencapai tahap ini.
“Saya biasanya berlatih (latihan ‘angkat berat’) empat kali seminggu bersama kardio intensiti rendah empat kali seminggu juga,” kongsi Farhanna.
“Kekerapan saya berlatih semasa latihan di luar musim adalah sama seperti semasa saya bersiap untuk pertandingan tetapi dan tentunya menjadi lebih besar semasa latihan persiapan pertandingan,” tambah atlet tersebut.
Beliau juga berkongsi bahawa pemakanan beliau juga terjaga, mengikut keperluan badannya.
Ketika ditanya Berita Harian bagaimana beliau dapat kekal bermotivasi untuk berlatih dan berjuang, Farhanna berkata ia sebahagian daripada tabiat dan rutinnya.
“Saya sangat suka apa yang saya lakukan dan saya rasa saya sentiasa mempelajari lebih tentang diri saya sendiri dalam perjalanan ini, jadi ia tidak pernah membosankan saya,” kongsi beliau.
“Ia juga mungkin hasil cara saya membesar yang menyebabkan saya mempunyai keperluan dan keinginan untuk mendapatkan dan melakukan lebih banyak lagi,” tambahnya.
Farhanna berkata tanggapan terhadap wanita dalam sukan bahawa mereka mempunyai sifat kasar adalah tanggapan atau fikiran lama.
“Apabila anda melihat sesi wanita ini, anda akan menyaksikan banyak keindahan dan keanggunan di samping pameran kekuatan mereka,” jelas beliau.
Farhanna berazam mahu menetapkan standard lebih tinggi bagi sukan ‘deadlift’ dan para wanita.
Beliau juga harap akan dicalonkan untuk Sukan Dunia pada tahun-tahun akan datang.
Beliau bersama dua atlet Singapura lain berada di Lithuania bagi melatih atlet lain di Kejohanan Angkat Berat Dunia Terbuka Klasik Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IPF).
Mereka mewakili Angkat Berat Singapura, yang merupakan persekutuan angkat berat tempatan.
Kejohanan Angkat Berat Klasik Asia di Uzbekistan menjadi tumpuan Farhanna seterusnya.
Tersemat harapan bahawa Farhanna akan memecahkan lagi rekod dalam bidang itu.
“
“Untuk memperbaiki rekod dunia ‘deadlift’ sentiasa menjadi keutamaan saya apabila menyertai apa jua pertandingan, tidak kira skalanya. Namun begitu, perasaan terkejut dan kesedaran bahawa rekod dunia tercatat tidak pernah pudar.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg