Topik diikuti
Pergi ke BHkuFarhanna tetap unggul catat rekod dunia baru dalam ‘powerlifting’ meski galas tugas tambahan sebagai jurulatih
Farhanna tetap unggul catat rekod dunia baru dalam ‘powerlifting’ meski galas tugas tambahan sebagai jurulatih
Farhanna tetap unggul catat rekod dunia baru dalam ‘powerlifting’ meski galas tugas tambahan sebagai jurulatih
Di Kejohanan Powerlifting Classic Terbuka Dunia baru-baru ini, atlet Singapura, Farhanna Farid, memikul dua peranan serentak sebagai peserta pertandingan dan juga jurulatih kepada rakan sepasukannya.
Walaupun tanggungjawab berganda itu memerlukan beliau membahagikan fokus dan beralih peranan sepanjang kejohanan, ia ternyata menjadi satu kelebihan apabila beliau berjaya mencatat rekod dunia ke-14 dengan angkatan ‘deadlift’ seberat 220.5kg dalam kategori wanita 52 kilogram pada 14 Jun.
‘Deadlift’ merujuk kepada situasi di mana atlet perlu mengangkat bebanan yang berada dalam keadaan ‘kaku’ di atas lantai tanpa sebarang momentum awal atau bantuan lantunan.
Usaha Farhanna di kejohanan Persekutuan Powerlifting Antarabangsa (IPF) di Lithuania itu menyaksikannya memecahkan rekod terdahulunya, iaitu 217.5 kilogram, yang dicatat pada Disember 2025 di Kejohanan Powerlifting Wanita Masters dan Terbuka Asia di Istanbul.
Farhanna berkata: “Menariknya, peranan sebagai jurulatih menjadikan saya atlet yang lebih baik, dan sebagai atlet pula menjadikan saya jurulatih yang lebih baik.
“Apabila dapat merasai kedua-dua peranan ini, ia memberikan saya perspektif yang lebih luas dan pemahaman yang lebih mendalam tentang keperluan atlet, baik dari segi teknikal mahupun emosi.”
Di Kompleks Sukan LSC di Druskininkai, beliau berjaya mengangkat 202.5 kilogram pada percubaan pertama, 215 kilogram pada percubaan kedua, sebelum mencatat rekod dunia 220.5 kilogram untuk merangkul emas bagi acara ‘deadlift’.
Farhanna, yang turut mencatat angkatan bercangkung 145 kilogram dan bench press (tekan tubi bangku) 72.5 kilogram, menduduki tempat kelima keseluruhan, dengan atlet New Zealand, Megan-Li Smith, muncul juara dengan jumlah keseluruhan angkatan 486.5 kilogram.
Beliau menambah: “Tidak kira berapa kali saya melakukannya, setiap rekod masih terasa seperti sesuatu yang tidak nyata, dan setiap percubaan memecah rekod tetap terasa sama sukarnya seperti yang pertama saya usahakan. Yang berubah hanyalah perspektif.
“Di sebalik pencapaian itu sendiri, muncul rasa syukur dan pengesahan yang mendalam terhadap semua masa, tenaga dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang proses ini. Perasaan itu tidak pernah benar-benar hilang.”
Rekod terbaharu ini membawa makna istimewa buat Farhanna, yang melalui tahun mencabar apabila beliau berasa keletihan dari segi fizikal dan mental.
Namun, ia tidak mematahkan semangatnya apabila sasaran untuk memecahkan rekod dunia kekal menjadi matlamat utama menjelang kejohanan tersebut.
Diundi sebagai peserta pilihan kelima, Farhanna melihat peluang bersaing merebut kedudukan podium, sekali gus mendorongnya memberi lebih tumpuan kepada peningkatan dalam pusingan bercangkung dan tekan tubi bangku.
Beliau berkata: “Kejayaan ini mungkin lebih bermakna daripada kebanyakan yang lain kerana ia memberi saya harapan saya masih boleh terus berada dalam sukan ini untuk tempoh yang lebih lama, walaupun berasa letih secara fizikal dan mental sepanjang tahun lalu.”
Ia juga menjadi peringatan penting untuk mengambil rehat yang lebih panjang antara pertandingan.
Farhanna berkata: “Jika saya mahu terus menikmati latihan dan pertandingan, saya perlu memberi diri saya masa dan ruang untuk pulih dengan betul dalam setiap aspek – bukan sahaja fizikal, tetapi juga mental dan emosi.
“Di luar sasaran prestasi dan pertandingan, saya rasa untuk kembali menikmati proses latihan serta membina semula hubungan yang lebih sihat dengan latihan adalah keutamaan.
“Selebihnya akan menyusul secara semula jadi selepas itu.”
