Dalam arena sukan, ramai yang bersaing untuk menang dan menandingi orang lain.
Namun bagi atlet angkat berat Singapura, Farhanna Farid, persaingannya bukan dengan orang lain – sebaliknya, beliau bersaing dengan dirinya sendiri.
Dan kali ini, beliau muncul sekali lagi sebagai pemenang.
Atlet angkat berat negara itu sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya memecahkan rekod dunia deadlift miliknya buat kali ke-10 sejak tahun 2022.
Pada 10 Jun 2025, di Kejohanan Dunia IPF Classic Open di Chemnitz, Germany, Farhanna mengangkat 209.5 kilogram (kg) dalam kategori 52kg, 0.5kg lebih berat daripada rekodnya dahulu.
Pencapaian itu bukan sekadar mengangkat berat – ia merupakan lambang kekuatan mental, fokus, dan keazaman Farhanna.
Senyuman yang terukir di wajahnya setelah berjaya memecahkan rekodnya sendiri itu tidak menceritakan cerita sebenar di sebalik pentas.
Farhanna berkata persiapannya ke kejohanan kali ini datang dengan beberapa cabarannya tersendiri.
“Sejujurnya, saya lebih rasa lega daripada gembira,” kata atlet berusia 32 tahun itu kepada laman Must Share News.
“Latihan saya tidak berjalan lancar. Setiap kali angkat lebih daripada 200kg, saya asyik hilang pegangan dan imbangan saya.”
Menurut video yang dimuatnaikkan oleh SBDapparel di TikTok, setelah berjaya memecahkan rekodnya, Farhanna berlari memeluk suaminya, James Barcelo.
James juga merupakan handler – individu yang bertanggungjawab mengurus keperluan atlet sepanjang hari pertandingan – Farhanna.
Perjalanan Farhanna untuk mencuri tumpuan di dunia angkat berat bermula pada Jun 2022 di Sun City, Afrika Selatan, apabila beliau buat kali pertama memecahkan rekod dunia dengan angkatan 197kg dan kemudian 200.5kg – dua kali dalam satu hari.
Sejak itu, tahun demi tahun, beliau terus mencatat semula sejarahnya sendiri.
Pada Disember 2023, walau mengalami kecederaan belakang yang berpanjangan dan masalah lutut yang baru muncul, Farhanna tetap berjaya memecahkan rekod dunia dua kali lagi – 203.5kg dan 208kg – di Asian Classic Powerlifting Championships di Johor Bahru.
Kemudian pada Jun 2024, beliau angkat 209kg di Lithuania. Dan kini, hanya setahun kemudian, beliau mengangkat 209.5kg untuk memecahkan rekod sendirinya lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg