Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah mula mengambil beberapa langkah bagi memperkukuh skuad bola sepak lelaki bawah 22 tahun dan skuad belia.
Ini menyusuli keputusan hambar pasukan Singa bawah 22 tahun dalam Sukan SEA di Bangkok, Thailand, baru-baru ini, kata Naib Presiden FAS, Tan Li Yu.
Dengan keputusan tersebut, ia menjadikannya temasya Sukan SEA keenam berturut-turut tanpa pingat bagi skuad Singa.
Tan berkata antara langkah yang akan diambil termasuk mempertingkat jumlah perlawanan antarabangsa bagi pemain semasa tempoh rehat perlawanan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Tempoh ini, yang berlangsung sekurang-kurangnya lima kali dalam setahun dan biasanya sepanjang lebih kurang seminggu, dikhaskan bagi perlawanan antarabangsa antara negara.
Beliau turut berkata FAS sedang meneliti idea kemasukan awal Perkhidmatan Negara (NS) bagi pemain muda yang berbakat.
Demikian umum Tan dalam satu sidang di Stadium Jalan Besar pada 26 Disember, yang dianjurkan bagi merungkai prestasi pasukan bola sepak lelaki dan wanita di Sukan SEA.
Kededua pasukan gagal mara ke pusingan seterusnya dan tersungkur di peringkat kumpulan.
Sidang media itu turut disertai ketua jurulatih skuad bola sepak lelaki bawah 22 tahun, Firdaus Kassim; Setiausaha Agung FAS, Badri Ghent; dan Anggota Jawatankuasa FAS, Yeong Sheau Shyan.
Tan berkata: “Salah satu perkara utama yang akan kami lakukan adalah dalam setiap tempoh (perlawanan antarabangsa) Fifa, kami bukan sahaja akan menganjurkan perlawanan bagi skuad senior kebangsaan.
“Kami juga akan mengadakan perlawanan (antarabangsa) bagi skuad bawah 22 tahun, bawah 19 tahun dan bawah 16 tahun.
“Mereka akan menerima pendedahan perlawanan antarabangsa secara kerap – ini sesuatu yang kami komited.”
Langkah ini diambil berikutan pemain muda kebangsaan kurang mendapat pendedahan kepada perlawanan antarabangsa.
Menukil laman statistik bola sepak transfermarkt, tempoh bermain dalam perlawanan antarabangsa bagi skuad Sukan SEA Thailand adalah sebanyak 12,772 minit, manakala Timor-Leste adalah sebanyak 9,639 minit – kedua-dua pasukan tergolong bersama Singapura dalam Kumpulan A di Sukan SEA yang lalu.
Ini berbanding 3,562 minit yang dicatatkan pasukan Singa Muda, di samping waktu permainan sebenar atas padang secara profesional oleh para pemain yang dianggap kurang, kata Firdaus.
Kedua-dua aspek tersebut, ujarnya, adalah antara cabaran utama yang membelenggu skuad muda Singapura.
Beliau, yang mengambil alih jawatan itu pada Jun 2025, berkata: “Sepanjang dua tahun lalu (sebelum mengambil alih jawatan), pasukan bawah 22 tahun tidak ada perlawanan antarabangsa.
“Malah daripada pemain yang tersenarai, sebahagian besar tidak mencatatkan masa perlawanan dalam skuad senior atau skuad utama.”
Sehubungan itu, Tan berkata persatuan itu sedang meneliti idea penyertaan NS awal bagi pemain berbakat agar mereka masih dalam lingkungan usia muda untuk kembali bermain secara profesional.
Pendekatan ini sejajar dengan usaha projek Unleash The Roar (UTR) – antara usahanya adalah mencungkil bakat-bakat muda dan menjadikan bola sepak sebagai kerjaya profesional.
“Salah satu perkara penting yang kami lakukan bersama UTR adalah untuk mendorong pemain berbakat yang ingin meneruskan kerjaya bola sepak sebagai kerjaya profesional untuk menyertai NS awal.
“Jika mereka melalui NS ketika berusia 17 dan 18 tahun, mereka akan tamat pada usia 19 tahun… dan bermain bola sepak profesional.
“Mereka bermain bola sepak profesional sepenuhnya selama empat tahun (selepas itu), dan boleh beraksi dalam Sukan SEA akan datang atau kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 22 tahun.
“Dengan ini, kita dapat lihat pemain sebenarnya tidak begitu terjejas dengan NS,” katanya, tanpa memberikan perincian lanjut.
Buat masa ini, lelaki warga Singapura berusia antara 16.5 tahun dengan 18 tahun boleh mendaftarkan diri untuk menyertai NS awal di bawah Skim Pendaftaran Awal Sukarela (Vees), menurut laman Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg