Peminat boleh menjangkakan pasukan bola sepak bawah 22 tahun akan berada dalam persediaan terbaik untuk Sukan SEA 2025.
Itulah jaminan yang diberikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Chew Chun-Liang, ketika memberi taklimat di sidang media pada 6 Februari.
Menurutnya, FAS akan mempersiapkan pasukan itu seperti pasukan bola sepak negara ketika menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2024, seperti mengadakan kem latihan intensif.
“Apabila anda melihat Sukan SEA, rentak (permainannya) seperti Piala Mitsubishi Electric.
“Anda mesti pastikan pemain dapat mengekalkan rentak itu tanpa sebarang kecederaan. Itu amat penting,” ujar beliau.
Chew menambah FAS sudah mula mempersiapkan pasukan bawah 22 tahun.
Kini, mereka dalam proses melantik ketua jurulatih dan kakitangan pasukan bagi kejohanan tersebut.
Pemain juga sedang dikenal pasti, dengan FAS akan turut melihat pada segmen yang lain seperti pemain bawah 21 tahun dan di serata Singapura yang mempunyai potensi.
Sidang media di Stadium Jalan Besar itu turut menampilkan ketua jurulatih pasukan bola sepak lelaki dan wanita Singapura - Tsutomu Ogura dan Karim Bencherifa.
Ia bertujuan mengetengahkan perancangan FAS bagi mempersiapkan pasukan bola sepak negara untuk 2025.
Tahun tersebut akan menampilkan beberapa kejohanan besar seperti Kelayakan Piala Asia 2027 serta Sukan SEA 2025, yang akan diadakan di Thailand dari 7 hingga 19 Disember.
Chew turut berkongsi FAS sedang melihat kepada pelbagai usaha untuk menyokong dan memperbaiki kualiti pasukan Sukan SEA, antaranya meraih manfaat daripada Kelayakan Piala Asia bawah 23 tahun yang dijadualkan berlangsung pada September.
Beliau berkongsi ia “mampu menjadi persekitaran pertandingan yang sangat baik” untuk pemain.
Jadual Liga Perdana Singapura (SPL) juga akan disesuaikan untuk pemain.
“Apabila kita melihat jadual perlawanan SPL, kita juga boleh membuat penyesuaian pada jadual tersebut agar kita dapat menyokong pasukan ketika beraksi di jendela Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).
“Dan sudah tentu, perlu seimbangkan dengan kepadatan jadual perlawanan serta memastikan ia adil buat kelab SPL,” tambahnya.
Dalam pada itu, Chew turut mengetengahkan persiapan awal itu juga memberikan mereka peluang untuk menetapkan lokasi perlawanan pasukan senior di Stadium Negara.
Singapura ditempatkan di Kumpulan C bersama India, Hong Kong dan Bangladesh untuk kelayakan Piala Asia 2027, dengan perlawanan pertama akan berlangsung pada 25 Mac menentang Hong Kong.
Digelar ‘Road to Riyadh’ oleh FAS, ia akan melihat anak didik Ogura bersaing merebut tempat untuk beraksi di Kejohanan berprestij Asia itu.
Di sidang media itu, Ogura sempat mengulas persembahan Singa khusunya di Piala AFF MItsubishi Electric 2024 sambil berkongsi persiapannya untuk Piala Asia.
Ogura, yang dilantik menjadi jurulatih skuad Singa pada Februari 2024, akur ia merupakan satu cabaran, lantas akan memfokuskan pada kecergasan pemain tanpa menukar gaya permainannya.
“Saya tahu lebih mendalam (mengenai pemain) berbanding 2024, dan pada saya ia merupakan kelebihan,” ujar jurulatih asal Jepun itu.
Jurulatih pasukan bola sepak wanita, Karim Bencherifa, juga sempat merenung kembali prestasi anak didiknya.
Seperti skuad lelaki, pasukannya juga menghadapi kejohanan yang sama.
Sesuai dengan itu, beliau mengemukakan usaha dalam mencapai kecemerlangan.
Antaranya, FAS akan memudahkan persiapan Liga Perdana Wanita Deloitte (WPL) dengan hanya mengadakan latihan berpusat ketika musim sedang berehat.
Ini akan membenarkan pemain untuk terus kekal bersama kelab mereka ketika jendela Fifa sedang berlangsung – Februari dan April – untuk persiapan pra-musim dan permulaan WPL.
Bencherifa turut berkata pemain yang beraksi di luar negara juga akan dipantau dan akan diberikan jadual tahunan agar mereka dapat turut beraksi bersama pasukan negara, lantas atasi masalah kekurangan pemain di kejohanan penting.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg