Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK SETEMPAT

FAS lancar program sokong pemain rancang kerjaya selepas bola sepak

Jun 22, 2023 | 07:44 PM



Pemain bola sepak nasional kini boleh menjangka lebih banyak sokongan dalam merancang langkah kerjaya selepas mereka ‘menggantung but’ atau mengakhiri kerjaya sebagai pemain.

Ini termasuk sokongan kewangan dan bimbingan dalam mencari pekerjaan baru, termasuk sebagai jurulatih bola sepak dan menyambung semula pengajian akademik.

Pada Khamis, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) melancarkan program FAS Players’ Concierge, atau Concierge Pemain FAS, yang antara lain bertujuan membantu pemain nasional membuat persediaan awal sebelum mereka bersara.


Program tersebut merupakan cetusan idea bekas pemain nasional, Baihakki Khaizan, kata FAS dalam kenyataannya pada 22 Jun.

Baihakki, 39 tahun, yang selepas bersara pada 2022 menyertai FAS sebagai Ketua Projek Khas dan Duta bola sepak sebelum menggalas peranan sebagai Perancang Strategik di Pejabat Divisyen Teknikal pada masa ini, berkata:

“Semasa kerjaya kami sebagai pemain, kami tidak mempunyai masa untuk benar-benar melihat pilihan lain, dan sebaik sahaja kami memutuskan untuk bersara, kami mungkin mendapati diri kami tidak pasti apa yang perlu dilakukan seterusnya.

“Saya berharap program ini dapat memberi manfaat kepada pemain nasional dulu dan sekarang, menerusi bimbingan dan melengkapkan mereka dengan keupayaan membuat persiapan menjalani hidup selepas bola sepak.”

Proses untuk membangunkan daya usaha itu mengambil masa enam bulan, kata Baihakki, yang 140 kali mewakili negara.

Concierge Pemain FAS, memberi tumpuan kepada enam teras sokongan yang dikenal pasti FAS untuk membantu pemain.

Empat daripada teras itu – Peluang Pekerjaan; Rakan Kongsi Pendidikan, Laluan Menjadi Jurulatih dan Sokongan Luar Negara – adalah teras sokongan baru.

Mereka menambah dua teras sokongan – bonus penampilan antarabangsa dan Kredit Biasiswa – yang sebelum ini diadakan menerusi Program Kebajikan Pemain Nasional sejak 2007.

Bonus penampilan antarabangsa memberikan ganjaran wang antara $1,000 bagi pemain yang mewakili negara antara 25 hingga 49 kali dengan $20,000 bagi pemain yang 100 kali berbuat demikian.

Kredit biasiswa pula membiayai sebahagian daripada kos pendidikan dengan memperuntuk biasiswa $4,000 hingga $16,000 kepada pemain – juga bergantung kepada kekerapan mereka dipilih mewakili negara.

FAS berkata, daripada sudut pekerjaan, program itu bertujuan menghubungkan bekas pemain dengan pelbagai sektor – termasuk sektor privet seperti hospitaliti, penghantaran dan kewangan.

Baihakki berkata perbincangan dengan pelbagai syarikat tentang peluang dan potensi bekas pemain bola sepak memasuki pasaran kerja di luar bola sepak telah diadakan.

Daripada sudut pendidikan, FAS turut bekerjasama dengan Politeknik Republic untuk membolehkan bekas pemain laluan pendidikan yang lebih pantas dengan menyediakan program diploma.

Pemain yang ingin terus berkecimpung dalam bola sepak sebagai jurulatih bertauliah juga akan diberi sokongan.

Program baru itu dilancarkan pada hari terakhir Program Peralihan Kerjaya Persekutuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), yang berlangsung dari 19 hingga 22 Jun di Hotel Peninsula Excelsior.

Seramai 25 pemain nasional dan pemain kelab setempat menyertai Program Peralihan Kerjaya Uefa itu.

Mereka termasuk kapten pasukan nasional Hariss Harun, rakan sepasukannya, Zulfahmi Ariffin dan bekas pemain nasional, Khairul Amri.

Amri, 38 tahun, yang beraksi 132 kali dengan pasukan nasional, menyambut baik program Concierge Pemain FAS.

“Kebanyakan pemain akan hilang daripada mata awam selepas bola sepak, dan pada masa itu, sebaik sahaja kami bersara, kami terkial-kial... untuk mendapatkan sumber pencarian baru.

“Mudah-mudahan, inisiatif ini dapat membantu pemain, terutamanya yang lebih muda untuk merancang masa depan mereka,” ujar Amri yang masih beraksi dalam Liga Perdana Singapura (SPL) bersama Tanjong Pagar United.

Memandang ke hadapan, Baihakki berkata beliau berharap dapat memperluaskan sokongan itu kepada pemain profesional setempat yang bukan pemain nasional.

“Dalam jangka masa panjang, saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai, terutamanya ibu bapa pemain bola sepak generasi akan datang, kerjaya bola sepak bukan jalan kerjaya buntu, tetapi boleh membuka peluang kerjaya baru selepas kerjaya sebagai pemain berakhir,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >