Perlawanan melibatkan pasukan Singapura dan Malaysia sering kali sengit, menarik perhatian ramai peminat dari kededua belah Tambak.
Tidak lama lagi, para penyokong ini boleh menantikan pertandingan bola sepak tahunan antara pasukan pilihan Singapura dengan Johor, serta perlawanan persahabatan melibatkan kededua skuad belia dan senior.
Ini adalah antara objektif utama dalam Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dengan Persatuan Bola Sepak Johor (JFA) di hotel Shangri-La Singapore pada Selasa.
Pada majlis itu, yang disaksikan oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kededua persatuan menandatangani persetujuan selama tiga tahun bertujuan untuk “memupuk hubungan dan kerjasama yang lebih erat” dalam pembangunan bola sepak.
Tunku Ismail sedang dalam lawatan rasmi ke Singapura, atas jemputan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Di bawah MOU itu, pemain belia dari kededua pihak juga akan terlibat dalam program pertukaran.
Kem latihan merentasi sempadan untuk kelab kededua pihak juga sedang dirancang.
Mungkin juga terdapat usaha komersial yang sejajar dengan objektif pihak masing-masing.
Pemangku presiden FAS, Bernard Tan, yang menandatangani MOU dengan presiden JFA, Ismail Karim, berkata adalah penting untuk memastikan bahawa “terdapat perkongsian yang saling menguntungkan untuk meningkatkan tahap bola sepak di kededua pihak”.
Beliau menambah: “Bersama JFA, kami komited sepenuhnya untuk secara aktif melaksanakan MOU bagi membangunkan program baru dan kami mengharapkan perkongsian yang bermanfaat dan berkekalan.”
Tunku Ismail, dalam catatannya di Facebook pada Selasa, mendedahkan bahawa satu kejohanan bola sepak antara pasukan pilihan Singapura dan pilihan Johor akan dianjurkan setiap tahun mulai 2024.
Catatan itu menyatakan: “DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, meluangkan masa menghadiri Majlis Hi-Tea bersama Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, di Hotel Shangri-La, Singapura pada 11 Julai 2023.
“Baginda seterusnya menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Persatuan Bola Sepak Johor dengan Persatuan Bola Sepak Singapura yang melibatkan kerjasama dalam pembangunan bola sepak termasuk pembentukan kejohanan acara bola sepak tahunan antara pasukan Pilihan Johor dan Pilihan Singapura mulai 2024. Allah Peliharakan Sultan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg