Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah memperbaharui struktur tiket yang menawarkan harga dimampui dan fleksibiliti untuk peminat yang ingin menyaksikan aksi pasukan lelaki kebangsaan dalam Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 (Piala ME) di Stadium Negara.
Harga tiket ditawarkan bermula daripada $8 semasa tempoh jualan awal atau ‘early bird’, yang menawarkan diskaun bagi tiga kategori utama.
Selain itu, bagi menggalakkan ibu bapa menonton bersama anak-anak mereka, terdapat juga tiket Zon Keluarga, untuk seorang dewasa dan seorang kanak-kanak (berusia 16 tahun ke bawah) yang dijual pada harga $20 sepanjang tempoh jualan.
Pasukan Lions bakal bertanding dalam dua perlawanan di Stadium Negara, menentang Cambodia pada 11 Disember diikuti dengan perlawanan bersama pasukan Thailand pada 17 Disember.
Menurut satu kenyataan media pada 24 November, FAS berkata bahawa harga tiket yang berpatutan adalah sebahagian daripada inisiatif mereka untuk lebih melibatkan peminat bola sepak Singapura.
Antara inisitatif lain termasuk Kod Etika Stadium yang menyediakan akses lebih mudah untuk sepanduk dan alat muzik di stadium, serta peluang untuk ke sesi latihan Lions secara terbuka yang dihoskan oleh Ketua Jurulatih Tsutomu Ogura.
Selain itu, FAS mengatakan bahawa harga tiket berbeza bergantung pada tempoh jualan, dengan diskaun besar semasa fasa jualan awal untuk memberi fleksibiliti bagi peminat.
Jualan tiket akan dibuka dalam dua fasa:
– Fasa jualan awal ‘early bird’: 25 November, 12 tengah hari hingga 1 Disember, 11.59 malam
Pada tempoh ini, tiket akan dijual pada harga antara $8 dan $20, bergantung kepada kategori.
– Fasa biasa: 2 Disember, 12 pagi hingga 17 Disember, 9.45 malam
Tiket dijual semasa tempoh ini dikenakan harga $33 (Kategori 1), $23 (Kategori 2), dan $12 (Kategori 3).
Ada juga harga khas bagi pembeli secara berkumpulan. Selain dalam talian, tiket juga akan dijual di pejabat tiket Box Office Hab Sukan Singapura di Kallang Wave Mall mulai 3 petang pada hari perlawanan.
Namun FAS menggalak peminat supaya membeli tiket dalam talian untuk memastikan mereka mendapat tiket dan mengelak daripada sebarang kekecewaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg