Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Undangan rasmi pertama Nakamura sertai skuad Singa

Pemain kelahiran Jepun disertakan dalam skuad nasional bagi dua perlawanan persahabatan lawan Myanmar dan Chinese Taipei
Nov 6, 2024 | 6:06 PM
Pemain tengah BG Tampines Rovers, Kyoga Nakamura, diundang untuk sertai skuad Singa yang akan menentang Myanmar dan Chinese Taipei dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 14 dan 18 November.
Pemain tengah BG Tampines Rovers, Kyoga Nakamura, diundang untuk sertai skuad Singa yang akan menentang Myanmar dan Chinese Taipei dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 14 dan 18 November. - Foto FAS

Kurang sebulan selepas mendapat kerakyatan Singapura, Kyoga Nakamura berpeluang beraksi dalam perlawanan pertama dengan pasukan bola sepak nasional selepas disertakan dalam skuad Tsutomu Ogura bagi dua perlawanan persahabatan November ini.

Singapura bakal bertemu dengan Myanmar pada 14 November dan Taiwan pada 18 November, sebahagian persiapan menjelang Piala Asean Mitsubishi Electric (ME) yang akan berlangsung pada 8 Disember 2024 hingga 25 Januari 2025.

Nakamura, yang dikenali sebagai pemain kreatif yang boleh membuat umpanan berbisa di pelbagai bahagian padang, berkata beliau tidak sabar beraksi untuk negara.

“Saya ingin lakukan yang terbaik untuk kelab (BG Tampines Rovers) agar saya dapat menyumbang kepada pasukan nasional,” kongsi Nakamura.

Beliau juga luahkan keinginannya untuk bantu bangkitkan Singapura sebagai “pasukan bola sepak nombor satu di Asia Tenggara”.

Nakamura sebelum ini telah diundang menyertai skuad latihan negara oleh Ogura semasa permohonan kerakyatannya sedang diproses.

Beliau juga menyertai kem latihan Singa di Jepun pada Oktober.

Selain Nakamura, tujuh pemain lain – Safuwan Baharudin, Irfan Najeeb, Joel Chew, Nazrul Nazari, Lionel Tan, Christopher van Huizen dan Shawal Anuar – juga dinamakan antara 26 pemain yang diundang ke skuad nasional bagi dua perlawanan persahabatan ini.

Skuad Singapura akan berhimpun untuk memulakan latihan bersama pada 11 November.

Dalam kenyataannya, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata senarai pemain yang dipilih Ogura itu mencerminkan hasratnya menggabungkan pengalaman pemain lebih mapan dengan tenaga bakat muda.

“Tempoh November lebih daripada sekadar perlawanan persahabatan, ia merupakan persediaan kritikal bagi kempen Piala Asean kami... ia memberi kami peluang penting untuk menguji taktik kami dan menilai kecergasan para pemain,” kata Ogura.

Singapura ditempatkan dalam Kumpulan A bersama-sama Kemboja, Malaysia, Thailand dan Timur Leste dalam Piala Asean ME.

Pemain yang berpangkalan di luar negara tidak diundang ke skuad kali ini kerana FAS belum lagi mendapat pengesahan sama ada mereka akan dilepaskan oleh kelab-kelab masing-masing bagi Piala Asean ME, kata persatuan itu.

Trio anak Fandi Ahmad, iaitu Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi (BG Pathum) serta Irfan Fandi (Port FC), tidak dinamakan dalam skuad.

Namun, FAS berkata pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan kelab-kelab bola sepak yang terlibat untuk mendapatkan pengesahan yang diperlukan.

Ogura mengucapkan terima kasih kepada kelab-kelab yang telah membenarkan pemain mereka untuk sertai pasukan kebangsaan agar mereka dapat tumpukan perhatian mereka terhadap kejohanan yang akan berlangsung pada Disember.

“Kami kini tumpu pada persediaan sepenuhnya, dan para pemain sedang berebut tempat dalam skuad Piala ME, jadi saya ingin lihat persembahan yang mempamerkan kesediaan dan keinginan mereka untuk bermain demi bendera Singapura... demi peminat,” tambah Ogura.

Mereka yang berminat untuk menyaksikan perlawanan dua perlawanan persabatan akan datang ini boleh mendapatkan tiket di Ticketek (https://premier.ticketek.com.sg) ataupun FAS (fas.org.sg/tickets) atau di pejabat tiket Box Office Hab Sukan Singapura di Kallang Wave Mall pada hari perlawanan dari 3 petang hingga 9.45 malam.

Tiket berharga $12 (Kategori 3), $25 (Kategori 2) dan $40 (Kategori 1). Ada juga harga khas bagi pembeli secara berkumpulan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg