Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, menamatkan perjalanan beliau di Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo pada 17 September, selepas gagal mara ke separuh akhir acara 200 meter wanita.
Atlet berusia 28 tahun itu mencatat masa 23.13 saat untuk menduduki tempat keempat dalam saringan pertama di Stadium Nasional Tokyo.
Anavia Battle dari Amerika Syarikat (22.07 saat) menduduki tempat pertama, diikuti Marie-Josee Ta Lou-Smith dari Ivory Coast (22.39 saat) dan Polyniki Emmanouilidou dari Greece (22.92 saat).
Tiga pelari teratas setiap saringan, serta enam pelari terpantas seterusnya akan layak ke peringkat seterusnya.
Pereira menamatkan perlumbaan di tempat ke-30 daripada keseluruhan 47 pelari.
Catatan masa Pereira lebih pantas berbanding atlet pecut China, Chen Yujie (23.26 saat) dan Li Yuting (23.64 saat).
Chen menewaskan Pereira untuk meraih pingat emas 200 meter di Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea Selatan pada Mei, manakala Li meraih gangsa.
Catatan masa Pereira dalam acara itu 0.56 saat lebih lambat daripada rekod kebangsaan 22.57 saat beliau yang dicatat pada edisi terakhir Kejohanan Dunia 2023 di Budapest.
Pada kejohanan itu, beliau menjadi warga Singapura pertama yang mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia, lapor The Straits Times (ST).
Mengimbas perjalanan beliau di Tokyo, Pereira berkata:
“Sudah tentu saya berharap dapat mencatat masa dan kedudukan yang lebih baik pada hari ini, rasa sakit juga bila gagal mara ke separuh akhir kali ini.
“Tetapi secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi saya, dan yang paling penting, saya sihat dan berpeluang mewakili negara sekali lagi di pentas dunia. Perkara itu sentiasa bermakna buat saya.”
Pereira, yang menyertai kejohanan dunia buat kali kelima, kini akan menumpukan perhatian kepada Sukan SEA yang berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Thailand, di mana beliau dijangka menjadi pilihan utama untuk mengekalkan gelaran 100 meter dan 200 meter.
“Saya akan berehat seketika, kemudian meneruskan latihan untuk Sukan SEA, yang amat saya nantikan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg