Topik diikuti
Pergi ke BHkuFifa bakal kongsi ‘dokumen penting’ tentang rancangan penjualan hak Piala Dunia
Fifa bakal kongsi ‘dokumen penting’ tentang rancangan penjualan hak Piala Dunia
LONDON: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) memaklumkan bahawa “dokumen penting” berkaitan rancangan gagal Presiden Gianni Infantino untuk menjual pegangan dalam Piala Dunia kepada pelabur swasta akan disediakan untuk diteliti anggota majlis Fifa.
Namun, akses kepada dokumen berkenaan tertakluk kepada “prosedur semakan yang ketat”.
Pada Oktober lalu, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) memberi Fifa sehingga 2 November untuk mendedahkan butiran mengenai cadangan Fifa Forward Enterprise (FFE) yang mencetuskan kontroversi besar itu, selain menjawab beberapa soalan berkaitan tadbir urus dan proses membuat keputusan organisasi berkenaan.
Desakan itu dibuat susulan satu mesyuarat majlis Fifa, apabila Infantino memohon maaf atas rancangan penjualan pegangan tersebut yang akhirnya dibatalkan.
Namun, beliau gagal memberikan penjelasan terperinci mengenai bagaimana cadangan itu dirangka dan meminta semua persoalan dikemukakan secara bertulis.
Hanya beberapa jam sebelum tempoh akhir yang ditetapkan Uefa tamat, Setiausaha Agung Fifa, Mattias Grafstrom, menghantar surat kepada anggota majlis badan induk itu yang memaklumkan bahawa mereka boleh meneliti “dokumen penting” berkenaan.
Tetapi, semakan hanya boleh dilakukan di ibu pejabat Fifa di Zurich.
Dalam surat itu, Grafstrom berkata dokumen berkenaan boleh diakses “tertakluk kepada prosedur semakan yang ketat bagi menjaga kerahsiaan”.
Anggota majlis Fifa diminta mendaftar untuk meneliti dokumen tersebut dalam tempoh dua minggu akan datang. Namun, masih belum jelas dokumen mana yang akan disediakan untuk semakan.
Fifa menganggap tempoh dua minggu yang diberikan Uefa untuk menjawab lebih 100 soalan sebagai tidak realistik.
Ini kerana Fifa baru-baru ini memberi tumpuan kepada persiapan menganjurkan Piala Dunia Remaja baharu di Azerbaijan serta persediaan untuk kongres luar biasa yang dijadualkan berlangsung pada penghujung November.
Sumber turut memaklumkan bahawa keupayaan Fifa untuk menjawab sebahagian daripada soalan itu terhad berikutan tindakan undang-undang yang dimulakan Uefa di Amerika Syarikat pada Oktober lalu.
Tindakan itu bertujuan mendapatkan pendedahan bukti dan dokumen berkaitan, selain memberi amaran bahawa Uefa mungkin membuat aduan jenayah di Switzerland.
Pada Oktober, Uefa memberitahu Fifa bahawa badan induk bola sepak dunia itu masih gagal menjawab “beberapa persoalan asas”.
Surat berkenaan mengandungi lapan halaman soalan yang merangkumi pelbagai isu.
Ia termasuk cadangan FFE, penyaluran dana kepada persatuan bola sepak kebangsaan, penganugerahan Anugerah Keamanan Fifa yang kali pertama diperkenalkan kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, serta penggantungan hukuman larangan bermain yang kontroversi terhadap penyerang Amerika, Folarin Balogun, pada Piala Dunia. – Agensi berita.