Ketua Jurulatih Geylang International, Noor Ali, dilaporkan sedang menerima rawatan pada 23 September.
Dalam satu hantaran di Facebook, Geylang International (GIFC) memaklumkan bahawa atas nasihat doktor, beliau akan berehat seketika daripada tugasan kejurulatihan, termasuk Piala Sultan Selangor (SOS) yang dijadual berlangsung pada 27 September, untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihannya.
“Jurulatih Noor akan kembali beraksi tidak lama lagi, namun buat sementara waktu, Penolong Ketua Jurulatih Hasrin Jailani dan Jurulatih Nor Azli akan mengendalikan pasukan sepanjang ketiadaannya,” menurut kenyataan yang dikeluarkan GIFC pada 23 September.
“Kami semua menyokong Jurulatih Noor dan mendoakan agar beliau pulih dengan lancar dan segera.”
Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 23 September juga, Noor kini bercuti sakit setelah mengalami kecederaan.
Namun kenyataan FAS dan GIFC tidak menjelaskan apakah jenis rawatan atau kecederaan yang dialaminya.
Berita Harian (BH) telah menghubungi Noor untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Bekas pemain Singa itu, yang menjaringkan gol untuk Singapura dalam perlawanan Veteran Piala SOS pada 2024 walaupun tewas 1-2, berkata adalah satu penghormatan untuk dilantik sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Pilihan Liga Perdana Singapura (SPL) untuk piala tersebut.
Namun akibat cuti sakit, beliau akan digantikan oleh Ketua Jurulatih Albirex Niigata, Keiji Shigetomi.
Kecederaan Noor juga bermakna beliau tidak akan beraksi untuk pasukan veteran semasa Piala SOS, yang masih mempunyai legenda bola sepak Singapura seperti Fandi Ahmad, Malek Awab, Indra Sahdan, Nazri Nasir dan lain-lain lagi.
Edisi Piala SOS 2025 akan diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, yang pernah menjadi tempat berlangsungnya pelbagai perlawanan klasik Piala Malaysia dari era 1970-an hingga 1990-an, menjadikan lokasi itu sangat sesuai sebagai latar bagi acara berprestij itu.
Noor sejauh ini telah membimbing Geylang International ke kedudukan keempat SPL dengan empat mata.
Beliau memulakan musim dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang BG Tampines Rovers pada 24 Ogos, namun pasukannya kemudian kalah 2-0 kepada Albirex Niigata pada 12 September.
Pasukan beliau berjaya memperoleh kemenangan sekali lagi pada 19 September setelah menundukkan Hougang United 2-0.
Perlawanan seterusnya bagi Geylang adalah pada 18 Oktober menentang Tanjong Pagar, dan ia diharapkan Noor dapat pulih dan pulang membimbing pasukannya bagi perlawanan tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg