NEW YORK: Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dituntut memberi penjelasan berhubung dakwaan “menaikkan harga secara sengaja” dan “mengelirukan penyokong” melibatkan penjualan tiket Piala Dunia 2026.

Perkembangan ini terjadi selepas Peguam Negara New York dan New Jersey melancarkan siasatan rasmi terhadap amalan Fifa.

Peguam Negara New Jersey, Jennifer Davenport, menyifatkan proses pembelian tiket berkenaan sebagai “mengelirukan, mewujudkan persepsi jumlah tiket semakin terhad dan dijual pada harga terlalu tinggi”.

Beliau menegaskan bahawa satu “siasatan menyeluruh terhadap kelakuan Fifa” akan dijalankan, dengan sepina telah dikeluarkan untuk menuntut badan induk tersebut mengemukakan maklumat terperinci.

Sepina mewajibkan pihak terbabit menyerahkan dokumen dalaman atau maklumat khusus yang diperlukan.

Pengumuman bersama itu dibuat oleh Davenport bersama Peguam Negara New York, Letitia James, dan Jabatan Perlindungan Pengguna dan Pekerja (DCWP) Bandar Raya New York.

Pesuruhjaya DCWP, Samuel AA Levine, berkata pihaknya memandang serius “dakwaan salah laku yang jelas memperdayakan pengguna” dan akan menyiasat isu berkaitan tindakan “menaikkan harga (tiket) secara sengaja”.

Secara khususnya, Fifa diminta memperjelaskan mengapa harga tiket bagi kejohanan kali ini “jauh lebih mahal berbanding mana-mana kejohanan Piala Dunia sebelum ini”.

Penyokong melaporkan mereka “dikelirukan” mengenai kedudukan tempat duduk, termasuk pengenalan kategori tiket barisan depan yang lebih mahal selepas jualan fasa pertama dibuka.

Fifa turut didakwa menggunakan kaedah harga berubah-ubah mengikut fasa jualan, yang membolehkan badan itu menaikkan harga tiket bagi sekitar 90 daripada 104 perlawanan, dengan purata peningkatan sebanyak 34 peratus.

Siasatan tersebut akan meneliti bagaimana jadual pelepasan tiket dan kenyataan awam telah mempengaruhi lonjakan harga tiket.

Sebelum ini, Fifa sering menguar-uarkan permintaan tinggi terhadap tiket perlawanan, malah Presiden Fifa, Gianni Infantino, mempertahankan kadar harga tersebut dengan berkata ia mencerminkan keterujaan “luar biasa” peminat terhadap kejohanan tersebut.

Peguam Negara berkenaan secara khusus mengetengahkan kos tiket bagi lapan perlawanan, termasuk aksi final, yang dijadualkan berlangsung di Stadium MetLife di New Jersey.

“Tiada sesiapa yang sepatutnya dimanipulasi untuk membayar harga tiket yang melambung tinggi, dan penyokong sepatutnya diberi keyakinan bahawa tiket yang dibeli adalah sama seperti yang mereka akan terima,” tambah James.

Dalam pada itu, Levine menegaskan bahawa penyokong berhak mendapat “ketelusan dan keadilan” apabila membeli tiket bagi kejohanan Piala Dunia tersebut.

“Laporan mengenai tindakan Fifa yang melanggar undang-undang perlindungan pengguna bandar raya ini – termasuk mengelirukan peminat tentang kedudukan tempat duduk dan menaikkan harga secara sengaja – adalah amat membimbangkan,” kata Levine.

Siasatan ini dilancarkan susulan tindakan Peguam Negara California, Rob Bonta, yang menghantar surat kepada Fifa awal bulan ini (Mei) bagi menyuarakan kebimbangan mengenai “amalan penjualan tiket yang berpotensi mengelirukan (pembeli)” – Agensi berita.