KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengumumkan pelancaran satu kejohanan baru melibatkan kesemua 11 pasukan Asia Tenggara, pada 26 Oktober.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Fifa, Gianni Infantino, selepas menandatangani memorandum persefahaman (MOU) mengenai pembangunan bola sepak di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
“Kejohanan ini bertujuan memperkasa arena bola sepak serantau dengan menghimpunkan pemain terbaik selaras dengan jadual perlawanan antarabangsa Fifa, supaya dapat memberikan manfaat besar bukan sahaja di rantau ini, malah turut menyerlah di pentas dunia.
“Bola sepak menyatukan dunia, dan kini kami menyatukan dunia bersama 11 negara Asean ini.
“Piala Fifa Asean bakal mencatat kejayaan besar di rantau ini,” kata Infantino.
MOU itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi Asean 2025, dan Setiausaha Agung Asean, Dr Kao Kim Hourn dari Kemboja.
Infantino berkata Asia Tenggara merupakan salah satu rantau bola sepak paling dinamik di dunia dengan 700 juta penyokong, menjadikannya pasaran utama untuk pembangunan sukan tersebut.
Infantino tidak memberikan perincian mengenai kejohanan itu, termasuk tarikh ia akan bermula.
Mengenai MOU itu, Infantino menekankan tiga prinsip utama yang menjadi asas kerjasama:
“Tiang pertama, sudah tentu, adalah integriti dalam permainan.
“Tiang kedua adalah memastikan persekitaran yang selamat dan terjamin untuk perlawanan.
“Tiang ketiga adalah pendidikan, iaitu menggalakkan pembelajaran melalui bola sepak serta memupuk pembangunan kanak-kanak dan dewasa – lelaki dan perempuan – di seluruh rantau ini.
“Kini Asean mempunyai 11 negara, yang, seperti yang anda ketahui, merupakan ‘nombor ajaib’ dalam sukan.
“Sebuah pasukan bola sepak terdiri daripada 11 pemain, jadi kini pasukan itu lengkap – bersedia untuk menjuarai perlawanan – dan kami di Fifa menantikan untuk meneruskan kerjasama dengan Asean berdasarkan prinsip-prinsip utama ini,” jelas beliau.
Asia Tenggara sudah mempunyai kejohanan serantau yang dikenali sebagai Kejohanan Asean.
Ia dianggap sebagai pertandingan bola sepak utama di rantau ini, terutamanya selepas bola sepak Sukan SEA dijadikan pertandingan mengikut kategori umur.
Kejohanan itu telah berlangsung selama 29 tahun sejak 1996, merangkumi 15 edisi.
Pasukan paling berjaya dalam Kejohanan Asean, Thailand, telah merangkul tujuh kejuaraan, diikuti Singapura dengan empat – meskipun kali terakhir pasukan Singa merangkul kejuaraan adalah pada 2012.
Edisi seterusnya, iaitu edisi ke-16 kejohanan, dijadualkan berlangsung pada 2026.
Ia telah dinamakan semula sebagai Piala Asean Hyundai, selepas pengeluar kereta Korea Selatan itu menjadi penaja kelima kejuaraan tersebut pada Mei, lapor The Straits Times (ST).
Kejohanan itu dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).
Kesan Piala Asean baru yang disahkan Fifa terhadap Kejohanan Asean masih belum pasti.
Beberapa kejohanan Asean sebelum ini terjejas apabila sesetengah kelab enggan melepaskan pemain mereka ke pasukan kebangsaan masing-masing kerana kejohanan itu tidak berlangsung dalam tempoh jadual perlawanan antarabangsa Fifa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg