Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Impian Singa layak ke Piala Asia kekal membara

Kemenangan penting 2-1 ke atas India bagi kelayakan Kumpulan C pamer keberanian taktikal jurulatih sementara Gavin Lee, ketajaman serangan
Oct 15, 2025 | 3:41 PM
bola sepak, Singapura, India, Kelayakan Piala Asia, Song Ui-young
Pemain tengah Singapura, Song Ui-young (dua dari kanan), muncul wira dengan dua jaringan beliau dalam kemenangan 2-1 Singapura ke atas India dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Pandit Jawaharlal Nehru di Goa pada 14 Oktober. - Foto FAS

Impian Singapura untuk layak ke Piala Asia kekal membara selepas meraih kemenangan penting 2-1 ke atas India dalam saingan kelayakan Kumpulan C.

Perlawanan tersebut mempamerkan keberanian taktikal jurulatih sementara, Gavin Lee, serta ketajaman jentera serangan Singapura yang berjaya memanfaatkan peluang terhad dengan berkesan.

“Pertama sekali, kami sangat berpuas hati dengan tiga mata ini yang mengembalikan peluang kami dalam kempen kelayakan,” ujar Lee selepas perlawanan.

Walaupun ketinggalan seawal minit ke-14 melalui jaringan hebat Lallianzuala Chhangte, skuad Singa bangkit menyamakan kedudukan melalui Song Ui-young sebelum tamat separuh masa pertama.

Namun, Lee tidak berpuas hati dengan keputusan seri itu dan beliau membuat keputusan berani untuk terus memburu gol kemenangan yang amat diperlukan, dan usaha itu ternyata membuahkan hasil.

Lee membuat keputusan meletakkan pemain sayap kiri, Glenn Kweh, di posisi bek kiri dan menggantikan Amirul Adli dengan pemain penyerang, Ilhan Fandi.

Bukan itu saja, walaupun Kweh dan Ilhan mengutip kad kuning awal separuh masa kedua, Lee memilih untuk tidak menggantikan mereka, mempamerkan keyakinan padu terhadap disiplin dan daya mental pasukannya.

Walaupun Kweh kelihatan tidak selesa bermain di posisi tersebut, ketekunan dan tenaga beliau sepanjang perlawanan patut dipuji.

Kehadiran tonggak pertahanan, Safuwan Baharudin (dua dari kanan), menjadikan barisan pertahanan Singapura teguh ketika menentang India.
Kehadiran tonggak pertahanan, Safuwan Baharudin (dua dari kanan), menjadikan barisan pertahanan Singapura teguh ketika menentang India. - Foto FAS

Di barisan pertahanan, Safuwan Baharudin sekali lagi membuktikan betapa pentingnya beliau dalam skuad.

Tanpa kehadiran beliau, tidak memeranjatkan jikalau Singa dibolosi dengan lebih mudah lagi.

Bacaan permainan yang tajam serta tindakannya menolak keluar bola dari garisan gol telah mempertahankan peluang Singapura untuk bangkit dan akhirnya menang perlawanan tersebut.

Gandingan beliau dengan kapten pasukan, Hariss Harun, menyekat serangan India sepanjang perlawanan.

India menguasai sebahagian besar permainan sehingga memaksa Singapura kehilangan bola berkali-kali di kawasan tengah akibat tekanan tinggi yang konsisten.

Tetapi Singa tidak goyah.

“Dalam 25 minit pertama, kami mendapati sukar untuk membina serangan dari barisan pertahanan. Tapi selepas itu, kami sedar tekanan mereka semakin perlahan, dan ruang mula terbuka,” kata Song, yang menjadi wira perlawanan dengan dua jaringan beliau.

“Paling penting, para pemain kekal tenang dan teruskan dengan pelan yang dirancang,” tambahnya.

Serangan India yang rancak terus menemui jalan buntu, dipatahkan oleh susunan pertahanan Singapura yang mantap.

Walaupun kurang dominan dari segi penguasaan, pasukan negara jauh lebih handal di depan gol, dan itu membezakan kedua-dua pasukan.

Namun, ada ruang untuk diperbaiki sebelum perlawanan penting mereka menentang Hong Kong pada 18 November.

Barisan tengah dan serangan Singa kelihatan agak terpisah, dengan gerakan sering terputus sebelum mencapai kawasan berbahaya.

Percubaan mengatur serangan dari barisan pertahanan juga beberapa kali dipatahkan oleh tekanan agresif India, tetapi India tidak cukup kuat untuk memanfaatkan peluang tersebut.

Namun, kini nasib Singa masih di tangan mereka sendiri.

Singapura kini terikat dengan Hong Kong di tangga teratas Kumpulan C dengan lapan mata, selepas Hong Kong tercicir mata apabila seri 1-1 dengan Bangladesh.

Hanya pasukan teratas daripada enam kumpulan kelayakan akan melayakkan diri ke pertandingan benua di Arab Saudi.

“Saya tahu betapa peritnya kekalahan dalam perlawanan pertama, lebih-lebih lagi apabila bermain di tempat sendiri dan gagal mendapatkan tiga mata,” luah Lee.

“Jadi untuk bangkit hari ini selepas ketinggalan satu gol, saya sangat bangga dengan para pemain.”

Perlawanan tersebut menjadi bukti bahawa semangat juang dan perancangan berani mampu mengatasi segala rintangan.

“Setiap perlawanan sekarang ibarat hidup atau mati. Tiada apa yang berubah. Perlawanan seterusnya – itulah tiga mata yang kami buru,” tegas Lee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg