Beberapa ketika selepas Sukan Olimpik Paris 2024, seorang budak lelaki dilihat berlari-lari di pantai Taman East Coast, sambil memegang seutas tali yang diikat pada satu beg plastik.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, bertanya kepada budak lelaki itu apa yang dia lakukan, dan budak itu menjawab: “Saya sedang meluncur lelayang (kitefoil).”
Walaupun atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder, tidak menyaksikan peristiwa itu, ia menarik perhatiannya apabila diceritakan oleh Encik Tong.
Ia menyedarkan Maeder mengenai kesan yang beliau tinggalkan ke atas orang lain sejak memenangi pingat gangsa di temasya Olimpik Paris.
Atlet berusia 18 tahun itu berkata: “Apa yang diperlukan untuk memikat seorang budak lelaki sebagai menarik dan mengujakan adalah mengejutkan.
“Mula-mula, maklumat itu perlu sampai kepadanya, kemudian dia perlu menyukainya, dan kemudian dia perlu berasa terdorong olehnya.
“Peristiwa seperti di pantai itu menyentuh hati saya kerana ia bermakna saya mempunyai jangkauan mengejutkan yang saya tidak tahu.”
Atlet remaja itu menikmati musim cemerlang, memenangi hampir semua acara di litar luncur lelayang antarabangsa pada 2024, termasuk kejohanan Eropah dan dunia.
Pada Ogos, Maeder menjadi pemenang pingat Olimpik termuda Singapura apabila beliau memenangi pingat gangsa di Marina Marseille.
Atas pencapaiannya yang penuh inspirasi itu, Maeder – yang ibunya, Cik Teng Hwee Keng, seorang warga Singapura, dan bapanya, Encik Valentin Maeder, seorang warga Switzerland – terpilih menjadi salah satu finalis anugerah Tokoh Singapura 2024 anjuran akhbar The Straits Times.
Finalis lain termasuk ahli biologi marin, Cik Sam Shu Qin; pengasas perusahaan sosial Dignity Kitchen, Encik Koh Seng Choon; pengasas kumpulan sokongan amal CaringSG, Dr Lim Hong Huay; pengasas projek peti sejuk masyarakat, Cik Marlina Yased; dan pengasas kumpulan Fridge Restock Community, Encik Daniel Yap.
Anugerah itu diberi kepada warga Singapura, atau sekumpulan warganegara, yang telah memberikan sumbangan besar kepada masyarakat.
Ini termasuk pencapaian yang meletakkan Singapura di persada dunia, atau dengan melakukan lebih daripada panggilan tugas untuk meningkatkan kehidupan orang lain dalam masyarakat tanpa mementingkan diri sendiri.
Anugerah itu, kini memasuki tahun ke-10, disampaikan oleh UBS Singapore.
Memenangi pingat di Sukan Olimpik mengubah hidup Maeder dalam pelbagai aspek.
Perbezaan terbesar bagi juara dunia dua kali itu ialah ia memberinya wadah lebih besar untuk membawa kegembiraan kepada orang lain.
Maeder berkata: “Ia (perbezaan) ialah keupayaan membuat perkara yang saya lakukan itu membawa kesan positif yang lebih besar berbanding sebelum ini.
“Jika saya katakan saya mahu menyumbang, saya mahu berkongsi, saya mahu menaikkan semangat, saya benar-benar boleh melakukan sesuatu.
“Saya boleh menderma, atau memberi ceramah dan memberi inspirasi kepada orang lain...”
Menggunakan wadah itu untuk kebaikan adalah tanggungjawab yang dekat dengan hatinya juga.
Semasa berehat selama sebulan selepas Sukan Olimpik, jadualnya padat dengan sesi penglibatan termasuk menyampaikan ceramah dan sesi bertemu sapa.
Maeder memberi ceramah di prasekolah, institut pengajian tinggi dan acara korporat, dengan senyuman sentiasa terukir pada wajahnya.
Apabila ditanya berapa banyak acara beliau terlibat pada 2024, Maeder menganggarkan: “30 hingga 40.”
Apabila ditanya berapa banyak acara yang beliau terlibat pada 2023 pula, beliau menjawab: “Tiada acara.”
Namun, Maeder, yang dinobatkan sebagai Pelayar Muda Terbaik Dunia pada November, tidak menganggap dirinya sebagai suri teladan.
“Ia (menjadi suri teladan) bukan sesuatu yang saya mahukan secara aktif, dan saya rasa saya tidak layak kerana saya berusia 18 tahun, dan saya masih mencari jawapan dalam kehidupan,” kata Maeder, yang melihat ibu bapanya sebagai contoh teladannya.
“Tetapi jika anda berasa saya seorang teladan, saya pasti akan mencuba dan memenuhinya (jangkaan itu).”
Selepas musim yang penuh cemerlang, Maeder akan berehat pada Disember sebelum menyambung latihan pada Januari 2025.
Beliau, yang bercita-cita tinggi, tetap mempunyai rancangan yang sama, iaitu berlatih dan bersaing sebanyak mungkin untuk mengekalkan tahap prestasinya.
Pada usia 18 tahun, Maeder telah mempamerkan kematangan melebihi usianya untuk menangani tuntutan dan ketekunan menjadi seorang atlet elit.
Tetapi beliau menganggap dirinya bertuah, sambil menambah: “Mengalami perkara seperti ini adalah satu keistimewaan, ia bukan beban, ia bukan tugas.
“Saya tidak akan berkata ia mudah, tetapi ada lebih banyak perkara mencabar dan lebih banyak situasi sukar yang perlu dilalui.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg