Pelayar Muda Terbaik Dunia dari Singapura, Maximilian Maeder, meraikan pencapaiannya dengan menghidangkan epok-epok kepada peminat di Soon Soon Huat Curry Puff di East Coast Road pada 7 November.
Atlet berusia 18 tahun itu menunaikan janjinya untuk bekerja sehari menjual epok-epok jika beliau mendapat anugerah daripada Sukan Kapal Layar Dunia itu.
Maeder tiba awal sebelum kedai dibuka dan bersemangat untuk bekerja, dengan memakai baju Soon Soon Huat.
Selepas diterangkan tentang hal-hal kerja bersama kakitangan lain, pintu kedai itu dibuka pada 7.30 pagi, dan sudah ada pelanggan yang beratur.
Beberapa peminat juga membawa peralatan untuk ditandatangani Maeder.
“Saya sangat gemar epok-epok,” kata Maeder kepada media.
“Kami (beliau dan keluarganya) kerap datang ke sini… mereka (Soon Soon Huat) sangat baik membenarkan saya melakukan ini,” tambahnya.
Maeder menyifatkan pengalaman pertamanya bekerja di sebuah kedai sebagai “sangat meriah” dan “sangat menyeronokkan”.
“Saya harap saya tidak lakukan terlalu banyak kesilapan dan saya lebih banyak membantu daripada membebankan,” katanya.
Bos Soon Soon Huat Curry Puff, Cik Tay Mui Lan, memuji Maeder.
“Max hebat. Tiada pesanan yang salah. Sangat mantap,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg