Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Max Maeder dinobat Pelayar Muda Terbaik Dunia

Atlet S’pura bersaing dengan tiga juara pelayaran dunia untuk memenangi anugerah yang iktiraf pencapaian sukan kapal layar bawah usia 21 tahun
Nov 6, 2024 | 2:16 PM
Atlet luncur lelayang, atau kitefoil, Singapura, Maximilian Maeder,   menerima anugerah Pelayar Muda Terbaik Dunia di majlis Anugerah Sukan Kapal Layar Dunia di Chijmes Hall pada 5 November.  Ia menutup tahun penuh cemerlang Maeder, yang memenangi pingat gangsa Olimpik di Paris 2024 serta meraih sembilan gelaran lain, termasuk juara dunia, Eropah dan Asia.  
Atlet luncur lelayang, atau kitefoil, Singapura, Maximilian Maeder, menerima anugerah Pelayar Muda Terbaik Dunia di majlis Anugerah Sukan Kapal Layar Dunia di Chijmes Hall pada 5 November.  Ia menutup tahun penuh cemerlang Maeder, yang memenangi pingat gangsa Olimpik di Paris 2024 serta meraih sembilan gelaran lain, termasuk juara dunia, Eropah dan Asia.   - Foto ST

Satu lagi detik indah bersejarah bagi Maximilian Maeder apabila beliau menjadi pelayar Singapura pertama dinobatkan sebagai Pelayar Muda Terbaik Dunia.

Bergaya dengan sut hitam, kemeja putih dan tali leher berwarna perak, atlet luncur lelayang, atau kitefoil, berusia 18 tahun itu menerima anugerah tersebut daripada Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, di majlis Anugerah Sukan Kapal Layar Dunia di Chijmes Hall, Victoria Street, pada 5 November.

Anugerah itu mengakhiri tahun cemerlang Maeder, yang memenangi pingat gangsa Olimpik di Paris 2024 dan meraih sembilan gelaran lain, termasuk juara dunia, Eropah dan Asia.

Setelah musim yang penuh dengan kemenangan, Maeder mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan dalam kejayaannya, lapor The Straits Times.

“Ia seperti menuang petrol ke atas api, ia memberi saya tenaga, memberi saya inspirasi untuk berkongsi, membawa kegembiraan, berhubung dan memberi impak positif.

“Saya sangat gembira dan saya bersyukur kerana (badan) Pelayaran Dunia mempromosikan belia dalam dunia pelayaran,” kata beliau.

Bagi anugerah terbarunya itu, yang mengiktiraf pencapaian pelayar bawah usia 21 tahun, Maeder bersaing dengan juara dunia belia dari Italy, Vittorio Bonifacio; pemenang pingat perak Olimpik iQFoil dari Australia, Grae Morris; dan Magnus Overbeck dari Denmark, yang memenangi SailGP Inspire dan mendapat gelaran antarabangsa di Waszp Games 2024.

Anugerah Pelayar Muda Dunia Terbaik 2024 adalah anugerah baru dalam meraikan bintang pelayaran berprestasi sebagai sebahagian daripada Anugerah Sukan Kapal Layar Dunia yang dilancarkan pada 1994.

Ewa Lewandowska dari Poland, yang memenangi kejuaraan dunia 29er bercampur bersama Krzysztof Krolik, dinobatkan sebagai Pelayar Muda Wanita Dunia Terbaik 2024.

Anugerah lain yang diberikan termasuk Pelayar Dunia Lelaki dan Wanita Rolex Terbaik, serta Anugerah Pasukan Terbaik.

Juara Olimpik 49er dari Sepanyol, Diego Botin dan Florian Trittel, memenangi Pelayar Dunia Lelaki Terbaik, manakala pelayar wanita dari Belanda, Marit Bouwmeester yang memenangi pingat emas laser radial wanita di Paris 2024, diiktiraf sebagai Pelayar Dunia Wanita Terbaik.

Juara Olimpik Nacra 17 dari Italy, Ruggero Tita dan Caterina Banti, dinobatkan sebagai Pasukan Tahun Ini.

Undian awam membentuk 50 peratus daripada keputusan akhir buat pemenang, dengan 50 peratus lagi daripada panel pakar badan Sukan Kapal Layar Dunia.

Maeder, yang Perkhidmatan Negara (NS) beliau ditangguh hingga 31 Ogos 2028 bagi membolehkannya membuat persiapan bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028, berkata beliau tidak berasa cemas kerana tidak melihat acara itu sebagai satu pertandingan, walaupun beliau teruja memenangi pingat.

Selepas menerima cek $250,000 bagi pingat gangsa Olimpiknya di majlis penyampaian Program Anugerah Sukan Utama Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura pada 23 Oktober, Maeder berjanji akan bekerja di sebuah gerai epok-epok sehari jika beliau memenangi anugerah Pelayar Muda Dunia Terbaik.

Maeder akan menunaikan janjinya itu sebelum beliau menuju ke Perth, Australia, bagi satu kem latihan pada pertengahan November.

Maeder mendedahkan bahawa beliau akan menyajikannya kepada pelanggan di gerai Soon Soon Huat di East Coast pada 7 November.

“Saya seorang yang menepati janji... Saya akan berada di sana seawal yang saya boleh dan selama yang saya boleh.

“Mereka mempunyai epok-epok yang sangat sedap dan saya menggemarinya, jadi saya memilih gerai itu.

“Malangnya, saya tidak mendapat sijil kebersihan makanan tepat pada waktunya (untuk membuat epok-epok), tetapi saya boleh menyajikannya kepada pelanggan dan akan mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan mereka.”

Presiden Persekutuan Sukan Kapal Layar Singapura, Lincoln Chee, mengucapkan tahniah kepada Maeder atas pencapaian luar biasanya dan berkata “beliau telah menjalani musim yang cemerlang”.

“Lebih penting lagi, beliau mewakili mutu yang kami ingin lihat dalam juara kami, iaitu keunggulan teknikal dan fizikal, watak, semangat kesukanan dan hubungan dengan negara serta masyarakat.

“Tahniah Max, anda sangat layak bagi anugerah ini dan Singapura bangga akan anda.”

Pada 2023, Maeder menjadi warga Singapura pertama dicalonkan bagi anugerah Pelayar Lelaki Terbaik di penyampaian anugerah tahunan badan dunia itu, selepas beliau menjadi juara dunia termuda dalam sembarang pertandingan pelayaran kelas Olimpik.

Anugerah itu akhirnya diberikan kepada Tom Slingsby buat kali ketiga, selepas beliau memimpin Australia meraih gelaran SailGP buat kali ketiga berturut-turut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg