Kurang tiga bulan selepas firma pemasaran sukan dan pembangunan pemain berpangkalan di Singapura, Red Card Global, memeterai perjanjian untuk memperoleh FK Riteriai pada 20 Januari, ia kini dibatalkan.
Ini membuat kelab Liga Utama Lithuania itu sekarang di ambang muflis.
Masalah kelab itu akan juga menjejas pemain bola sepak Singapura Ryhan Stewart, yang baru-baru ini meninggalkan pasukan Liga Premier Singapura (SPL), Albirex Niigata, untuk menyertai Riteriai dengan kontrak dua musim dan penampilan pertama pada 5 April.
Menurut The Straits Times (ST) pada 7 April, Red Card Global berkata:
“Kami bertanggungjawab kepada rakan pelabur kami, termasuk rakan kongsi institusi, dan kami mengambil tanggungjawab itu dengan serius.
“Keputusan membatalkan perjanjian ini dibuat dengan mempertimbangkan kepentingan terbaik mereka, berdasarkan fakta yang ditemui.”
Ia menambah bahawa firma itu juga akan memulakan tindakan undang-undang terhadap penjual kerana salah nyata fakta, pelanggaran perjanjian dan penggunaan dana yang tidak dibenarkan.
“Kami bekerjasama rapat dengan penasihat undang-undang untuk memastikan kedudukan kami dipertahankan dan pemulihan sesuai diambil,” tambahnya.
Pada 4 April, Riteriai menyatakan di laman web mereka bahawa mereka sedang menghadapi masalah kewangan dan menyalahkan situasi itu kepada “pelabur yang gagal memenuhi kewajipan”.
Mereka mendakwa menurut perjanjian mereka dengan Red Card Global, yang diwakili oleh pengasasnya, bekas pemain antarabangsa Singapura R. Sasikumar, “pelabur diwajibkan memindahkan 150,000 euro ($222,000) untuk pembayaran semasa kelab, tetapi hingga kini, 50,000 euro belum dipindahkan”.
“Selain itu, pelabur juga telah memberikan jaminan sebanyak 350,000 euro, tetapi kewajipan ini juga belum dipenuhi,” tambah kelab itu.
Kelab itu mendakwa mereka tidak dapat membayar gaji pemain, jurulatih, dan kakitangan, dan menuntut agar “pelabur segera memindahkan baki 50,000 euro dan menyediakan dana yang dijamin supaya kelab dapat meneruskan kegiatannya”.
Sehari selepas kenyataan kelab itu, satu laporan di laman web Baltic Football News memberikan versi berbeza tentang apa yang berlaku di belakang tabir.
Berdasarkan sumber, laporan itu menyebut bahawa wang tersebut telah dipindahkan ke akaun bank kelab, tetapi Riteriai tidak membayar gaji atau perbelanjaan penginapan pemain “sejak sekurang-kurangnya Februari”.
Red Card Global dalam satu kenyataan berkata mereka telah membayar 150,000 euro kepada kelab untuk proses mengambil alih pada 21 Januari.
“Namun, tiada saham yang pernah dipindahkan atau didaftarkan secara sah atas nama kami. Namun, kami secara tidak sah dirujuk sebagai pemilik baru kelab dalam pelbagai komunikasi dan laporan media,” ujarnya.
Ia menambah bahawa sebahagian daripada dana mereka telah digunakan untuk melunaskan kewajipan sedia ada, yang berada di luar skop perjanjian mereka.
“Ini berlaku tanpa kelulusan jelas kami di bawah proses kawalan kewangan yang telah dipersetujui,” katanya.
Red Card turut menambah bahawa gaji Februari kelab telah dibayar sepenuhnya melalui pembiayaan mereka.
Mantan pengarah sukan Riteriai, Vytautas Masaitis, memberitahu ST “setakat pengetahuan saya” pembayaran pertama sebanyak 150,000 euro telah dilakukan oleh Red Card Global.
Menyatakan bahawa “situasi kelab ini sukar sejak tahun lalu”, beliau berkata Sasikumar telah dibawanya masuk sebagai pelabur.
Beliau menambah: “Audit mendedahkan maklumat tentang hutang kelab yang mungkin lebih tinggi daripada yang dinyatakan sebelum ini.
“Keadaan ini, yang mana pelabur tidak diberi maklumat sepenuhnya, menimbulkan keraguan yang wajar terhadap ketepatan maklumat yang disampaikan oleh pemilik lama dan menyebabkan penghentian keseluruhan proses bagi mencari kejelasan.”
Dalam satu temu bual dengan TV3 Lithuania, Presiden Persekutuan Bola Sepak Lithuania, Edgaras Stankevicius, berkata:
“Terdapat sedikit kebenaran di kedua-dua pihak. Saya sekarang sedang melakarkan pelbagai pilihan untuk membantu Riteriai, tetapi keadaan kewangannya tidak baik, dan kewajipan yang dijamin… sebahagiannya telah dipindahkan, tetapi ia tidak mencukupi, ia sudah dibelanjakan.”
Dalam pada itu, masa depan Stewart masih belum pasti.
Pemain berusia 25 tahun itu, yang bermain sebagai bek kanan atau sayap dan telah beraksi 25 kali bagi pasukan Lions, berada di bangku simpanan ketika Riteriai tewas 1-2 kepada FC Hegelmann pada 29 Mac.
Beliau membuat penampilan pertamanya pada 5 April apabila dimasukkan pada minit ke-65, menggantikan Andrius Kaulinis dan membantu dalam kemenangan 3-1 ke atas FK Panevezys.
Itu adalah kemenangan pertama Riteriai musim ini dan keputusan itu melonjakkan mereka ke tangga ketujuh dalam liga 10 pasukan dengan lima mata daripada lima perlawanan, tujuh mata di belakang pendahulu Hegelmann.
Apabila dihubungi ST, Stewart berkata beliau gembira bermain kali pertama di Eropah, tetapi perlu mendapatkan gambaran lebih jelas tentang situasi kelab itu sebelum membuat kenyataan lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg