Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya.
Itulah yang terlintas dalam fikiran pemain sayap Singapura, Adam Swandi, yang sedang menyesuaikan diri dengan persaraan mendadak daripada dunia bola sepak.
Pada usia 28 tahun, beliau terpaksa meninggalkan bola sepak – yang selama ini menjadi sebahagian besar hidupnya – dan menggantung but disebabkan masalah jantung yang dipanggil kardiomiopati.
Kardiomiopati ialah penyakit otot jantung yang menyebabkan ia menghadapi kesukaran mengepam darah ke seluruh badan.
Ia boleh menyebabkan masalah jantung yang serius dan, dalam kes yang lebih teruk, boleh membawa kepada kegagalan jantung.
Pada mulanya, apabila Adam diberitahu bahawa beliau tidak boleh lagi bermain bola sepak, beliau masih berharap ia hanya langkah pencegahan dan masih ada jalan bagi beliau untuk kembali.
“Pada mulanya saya fikir ia cuma langkah berjaga-jaga,” katanya, mengenang proses tersebut.
Hanya selepas beberapa pakar kardiologi – termasuk pakar-pakar dari luar negara – mengesahkan diagnosis yang sama, barulah beliau benar-benar merasai beratnya keadaan tersebut.
“Saya tahu bahawa saya akan bersara daripada bola sepak satu hari nanti... Tetapi saya tak pernah bayangkan saya akan bersara begini,” katanya.
Keluarga Adam sentiasa menjadi sumber kekuatannya sepanjang kerjaya bola sepaknya, dan sokongan mereka tidak pernah pudar walaupun semasa beliau terpaksa bersara.
Apabila berita itu tersebar, orang di sekelilingnya terkejut kerana kerjaya bola sepaknya adalah sesuatu yang telah menjadi sebahagian besar hidup mereka.
Adam meluahkan rasa terima kasih kepada isterinya, Nurul Izzati, yang menyuntik ketenangan dalam diri beliau apabila menghadapi cabaran itu.
“Isteri saya menerima berita ini dengan tenang dan memberi saya keyakinan bahawa perkara yang paling penting adalah kesihatan saya,” kenangnya.
Anaknya yang berusia empat tahun, Ayden Noah, membuatnya berfikir secara rasional dan positif demi masa depan si kecil.
Peralihan daripada seorang pemain kepada peranan lain adalah satu cabaran besar.
Tetapi Adam mendapat sokongan penuh daripada kelabnya, Lion City Sailors (LCS) untuk membimbingnya.
Walaupun masih mempunyai baki setahun setengah dalam kontraknya, LCS tetap mengekalkan kontrak tersebut dan menggalakkannya untuk mencuba peranan baru dalam kelab tersebut.
“LCS sangat menyokong saya. Mereka memberi saya ruang untuk mencuba perkara baru, dan saya tidak perlu bersusah payah menghadapi cabaran ini sendirian,” kata Adam dengan penuh rasa terima kasih.
Beliau kini memegang peranan sebagai jurulatih individu untuk pemain akademi dan profesional.
Pengalaman luas dan latar belakang teknikalnya menjadikannya seorang pembimbing yang ideal untuk generasi muda, dan beliau sungguh bersemangat untuk menyumbang kembali kepada sukan yang membentuknya.
“Kelab mencadangkan saya menjalankan latihan individu, dan saya rasa ini adalah cara terbaik untuk terus berhubung dengan sukan ini.
“Tetapi saya juga menyuarakan minat untuk mencipta kandungan media sosial, yang mereka sokong sepenuhnya,” katanya dengan ghairah.
Beliau juga berperanan sebagai duta kelab, mengendalikan pemasaran dan kandungan media sosial.
“Ini adalah peranan baru yang saya bincangkan dengan kelab, dan mereka terbuka untuk saya mencubanya,” kata Adam.
Beliau teruja dengan babak baru itu yang membolehkan dirinya terus terlibat dalam bola sepak sambil membangunkan kemahiran baru dan membina masa depan di luar padang.
Melihat ke hadapan, Adam kekal optimis tentang masa depannya.
Walaupun menyifatkan bola sepak sebagai ‘hidupnya’ sejauh ini, beliau sedar ada cara lain untuk kekal terlibat dalam bola sepak.
“Apabila kontrak saya tamat, realiti akan tiba dan mungkin saya perlu mencari pekerjaan lain,” akui Adam.
Namun, beliau tidak membataskan dirinya hanya kepada kejurulatihan.
Adam terbuka untuk mencuba bidang pentadbiran, media, atau apa sahaja yang dapat mengekalkannya dalam dunia bola sepak.
Selain daripada usaha berkaitan bola sepak, Adam telah menceburi dunia perniagaan.
Jenama pakaiannya, Kurung by Adam Swandi, telah beroperasi selama sekitar empat tahun.
Apa yang bermula sebagai satu percubaan sahaja kini telah berkembang menjadi jenama baju kurung yang popular.
Walaupun beliau belum mempunyai perancangan mengembangkan perniagaan itu, beliau meluahkan hasratnya untuk mengekalkan perniagaan itu buat masa yang lama.
“Saya bersyukur kerana dengan perniagaan ini saya masih boleh berhubung dengan orang ramai, terutamanya mereka yang menyokong saya semasa kerjaya saya bermain bola sepak,” katanya.
Merenung kembali perjalanan bola sepaknya, Adam tidak berasa kesal.
Impiannya untuk bermain secara profesional dan mewakili Singapura telah tercapai.
Satu perkara yang sangat dihargai oleh Adam adalah pengorbanan yang dilakukan oleh keluarganya.
Bola sepak sering kali memerlukan masa yang lama dan menjauhkan diri daripada orang tersayang, dan Adam tahu bahawa ketika beliau di padang, keluarganya juga membuat pengorbanan.
“Bola sepak memang sukar, dan ia memerlukan pengorbanan, bukan hanya daripada pemain bahkan juga daripada keluarga,” katanya.
Isteri, ibu bapa, dan anaknya semua membuat pengorbanan, dan beliau menghargai sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi, terutamanya kini setelah beliau bersara.
Persaraan telah memberi Adam perspektif baru dalam hidup.
Beliau bersyukur atas segala yang telah diberikan oleh bola sepak, tetapi teruja dengan apa yang akan datang.
“Bola sepak pernah menjadi sumber rezeki saya, tetapi rezeki datang dalam pelbagai bentuk,” katanya sambil tersenyum.
Peluang baru, masa bersama keluarga, dan kesempatan untuk meneroka minat-minat baru membuatkan Adam lebih optimis tentang masa depannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg