Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Foden sedih Southgate hadapi tekanan

Jul 4, 2024 | 2:48 PM
Penyerang England, Phil Foden, belum menjaringkan gol dalam Euro 2024 dan bergelut untuk mencontohi prestasinya dalam Liga Perdana England.
Penyerang England, Phil Foden, belum menjaringkan gol dalam Euro 2024 dan bergelut untuk mencontohi prestasinya dalam Liga Perdana England. - Foto EPA-EFE

JERMAN: Penyerang England, Phil Foden, berkata pemain “perlu juga dipersalahkan” atas prestasi pasukan di Euro 2024 dan beliau kesal pengurus, Gareth Southgate, kini mengalami tekanan.

Pasukan Southgate mara ke pusingan kalah mati kejohanan dengan menduduki tangga teratas kumpulan sebelum menewaskan Slovakia selepas waktu tambahan dalam kelompok 16 pasukan terakhir.

Namun, gaya permainan mereka telah dikritik dengan soalan yang bertanya mengenai pemilihan pemain dan taktik. 

“Pemain juga harus dipersalahkan,” kata Foden.

“Perlu ada beberapa pemimpin untuk menyatukan pasukan dan mencari penyelesaian mengenai mengapa kami tidak beraksi dengan baik.

“Pengurus tidak boleh melakukan semuanya. Beliau menetapkan anda dalam satu sistem dan memberitahu anda bagaimana anda meletakkan tekanan pada lawan.

“Jika ia tidak dilaksanakan seperti yang diharapkan, anda perlu mencari jalan,” tambah beliau.

Ketika ditanya mengenai tekanan terhadap Southgate semasa kejohanan dan menjelang suku akhir menentang Switzerland pada awal pagi 7 Julai (waktu Singapura), pemain Manchester City itu menambah: “Saya rasa sedih bagi Gareth.

“Semasa latihan, beliau mengarah kami supaya meletakkan tekanan dan berkedudukan di bahagian pertahanan lawan. Saya fikir ada kalanya keinginan ini harus datang daripada pemain.

“Kami harus menjadi pemimpin. Dalam perlawanan, kami mungkin boleh berkumpul dan mencari penyelesaian.

“Ya, kami telah berbincang mengenainya. Jika ia berlaku sekali lagi dalam perlawanan, kami akan berkumpul dan mencari jalan, melihat kesilapan apa yang berlaku dan menyesuaikan cara kami meletakkan tekanan pada lawan.”

Foden merupakan Pemain Terbaik Musim Liga Perdana England dan diundi sebagai Pemain Terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak bagi kempen 2023-24 kerana sumbangannya membantu City menjuarai gelaran liga.

Namun beliau belum menjaringkan gol dalam Euro 2024 dan bergelut untuk meniru prestasinya dalam Liga Perdana England.

“Saya bukan pemain terbaik dalam Liga Perdana yang datang ke sini dan tidak menunjukkan kehebatan saya,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

“Tetapi, setiap perlawanan saya melangkah sedikit ke hadapan dan, mudah-mudahan, saya boleh mempamerkan persembahan yang baik untuk England. Ia sentiasa menjadi matlamat saya untuk menunjukkannya bagi pasukan nasional,” tambah beliau.  – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg