SEVILLE (SEPANYOL): Gol lewat oleh Antony menghalang Nottingham Forest daripada mengatasi Real Betis dalam perlawanan Liga Europa yang pertama untuk kelab England itu sejak musim 1995/96.
Rembatan Antony pada minit ke-85 dalam kotak penalti memaksa keputusan seri 2-2 di kubu Real Betis, Stadium Villamarin, pada 24 September, manakala Roma mengatasi Nice 2-1.
Forest, yang diurus oleh Ange Postecoglou yang menjuarai Liga Europa bersama Tottenham Hotspur pada musim 2024/25, kembali ke Liga Europa selepas tidak membuat penampilan selama 30 tahun.
Forest sepatutnya bertanding dalam Liga Persidangan, tetapi menerima kelayakan bertanding dalam Liga Europa.
Ini selepas Crystal Palace disingkirkan daripada saingan Liga Europa kerana melanggar peraturan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) berhubung isu pemilikan pelbagai kelab
Naib juara Liga Persidangan musim 2024/25, Betis, menjaringkan gol pertama pada minit ke-15 apabila hantaran tepat oleh Antony dikawal oleh Cedric Bakambu dalam kotak penalti. Bakambu mengelak benteng Forest lalu menendang bola ke bumbung gawang.
Tiga minit kemudian, benteng Betis dibolosi jaringan jarak dekat penyerang Brazil, Igor Jesus, yang menerima hantaran lintang rendah Morgan Gibbs-White dari kanan.
Jesus, yang dibeli daripada kelab Brazil, Botafogo, semasa jendela perpindahan musim panas lalu, meletakkan Forest di hadapan dengan menanduk masuk bola daripada tendangan sudut Douglas Luiz pada minit ke-23.
Anak didik Postecoglou terus menguasai perlawanan pada separuh masa pertama, namun Jesus gagal menjaringkan hatrik dan percubaan Callum Hudson-Odoi terkena tiang.
Betis berjaya merapatkan jurang pada lima minit terakhir dalam babak kedua permainan apabila percubaan Antony melepasi penjaga gawang Matz Sels.
“Saya sepatutnya bangga dengan usaha bersemangat pemain saya. Tempat ini memang mencabar. Namun, kami gagal sempurnakan peluang jaringan untuk memenangi perlawanan ini,” jelas Postecoglou, yang masih mengejar kemenangan pertamanya bersama Forest sejak mengambil alih jawatan daripada Nuno Espirito Santo.
Dalam aksi lain, Roma dari Italy mencapai kemenangan pertama dalam Liga Europa setelah menewaskan tuan rumah, Nice, 2-1.
Roma, yang dibimbing Gian Piero Gasperini, pernah mara ke pusingan separuh akhir tiga kali dalam lima musim lalu.
Roma mempamerkan sekilas kecemerlangannya untuk mendahului pasukan Liga 1 Perancis itu melalui dua gol kilat pada minit ke-52 dan ke-55 yang dijaringkan oleh Evan Ndicka dan Gianluca Mancini.
Terem Moffi berjaya merapatkan jurang dengan menjaringkan sepakan penalti untuk Nice pada minit ke-77, namun Roma mempertahankan kedudukan mereka.
Dalam satu lagi perlawanan, Celtic dari Scotland, yang kembali ke Liga Europa sejak 2021, seri dengan kelab Serbia, Red Star Belgrade, yang merupakan bekas juara Eropah.
Kelechi Iheanacho meletakkan Celtic di hadapan apabila menjaringkan gol pada minit ke-55, tetapi Red Star menyamakan kedudukan pada minit ke-65 apabila hantaran lintang Franklin Tebo Uchenna dimanfaatkan Marko Arnautovic.
Di Croatia, Dinamo Zagreb menewaskan Fenerbahce dari Turkey 3-1, manakala pasukan Jerman, Freiburg, mengatasi Basel dari Switzerland 2-1, di padang sendiri. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg