PARIS: Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele, meraih anugerah Ballon d’Or pertamanya serentak dengan kejayaan kelab Perancis itu menyapu bersih dua lagi anugerah utama dalam acara di Paris itu.
Dembele mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Pemain Terbaik itu selepas musim menakjubkan bersama PSG, yang berjaya menjulang tiga kejuaraan utama – Liga Juara-Juara, Ligue 1 (liga utama Perancis) dan Piala Perancis.
Penyerang berusia 28 tahun itu menjaringkan 35 gol dan mencipta 14 bantuan jaringan dalam 53 penampilan musim lalu.
Beliau turut berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak dalam Ligue 1 dengan 21 gol, dan dinamakan Pemain Terbaik Ligue 1 serta Pemain Terbaik Liga Juara-Juara.
Dembele turut membantu PSG mara ke final Piala Dunia Kelab, sebelum tewas kepada Chelsea di New Jersey, Amerika Syarikat.
Beliau menewaskan bakat muda sensasi Barcelona, Lamine Yamal, untuk memenangi anugerah bola sepak tertinggi itu, dan hadir dengan penuh emosi dalam majlis penyampaian anugerah tersebut.
Kehadirannya di pentas Ballon d’Or bersama ibunya menyentuh hati ramai.
“Apa yang saya alami ini sungguh luar biasa. Saya tidak ada kata-kata untuk menggambarkan segalanya. PSG telah membuka lembaran baru dalam hidup saya,” kata Dembele sambil menitiskan air mata.
“Saya sangat terharu. Sukar untuk memenangi trofi ini, dan menerima anugerah daripada legenda bola sepak seperti Ronaldinho adalah sesuatu yang amat istimewa.”
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada PSG yang mendapatkan saya pada 2023. Ia bukan sekadar kelab, tetapi satu keluarga yang luar biasa.”
“Presiden Nasser (Al-Khelaifi, Presiden PSG) seperti seorang ayah kepada saya. Jurulatih juga sangat penting dalam perkembangan saya – beliau juga seperti seorang ayah. Dan sudah tentu rakan sepasukan saya, kami telah mencapai segalanya bersama,” ujarnya.
Kejayaan itu menandakan kebangkitan semula kerjaya Dembele, yang sebelum ini tidak pernah menjaringkan lebih 10 gol dalam musim kempen liga sejak zaman remajanya di Rennes, Perancis.
Ketua Jurulatih PSG, Luis Enrique – yang turut dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik – memainkan peranan besar dalam kebangkitan prestasi Dembele apabila beliau mengubah posisi pemain itu dari sayap kanan ke penyerang pada pertengahan Disember.
Ketika itu, Dembele hanya menjaringkan lima gol, tetapi selepas perubahan tersebut, beliau menjaringkan 30 gol lagi hingga tamat musim.
Akhirnya, Dembele berjaya membuktikan mengapa Barcelona pernah sanggup membayar lebih 96 juta paun ($166 juta) untuk mendapatkannya daripada Borussia Dortmund pada 2017.
Namun PSG dianggap membuat pembelian bijak apabila mendapatkannya hanya dengan 43.5 juta paun pada 2023.
Musim ini, beliau turut menjaringkan dua gol untuk skuad kebangsaan Perancis dalam tujuh penampilan.
Dembele kini menjadi warga Perancis keenam memenangi Ballon d’Or, dan hanya yang kedua meraih kejayaan itu dalam abad ke-21 selepas Karim Benzema pada 2022.
Yamal, 18 tahun, menduduki tempat kedua dan turut memenangi Trofi Kopa sebagai Pemain Muda Terbaik.
Lima pemain PSG berada dalam senarai 10 terbaik Ballon d’Or tahun ini (2025), termasuk Vitinha (tempat ketiga), Achraf Hakimi (keenam), Gianluigi Donnarumma (kesembilan), dan Nuno Mendes (ke-10).
Pemain Liverpool, Mohamed Salah, berada di tempat keempat, manakala pemain muda Chelsea dan England, Cole Palmer, menduduki tempat kelapan.
Pemenang pada 2024, Rodri daripada Manchester City dan Sepanyol, tidak disenaraikan kali ini selepas musim yang terjejas akibat kecederaan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg