Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amorim: Fernandes tidak akan tinggalkan United

Pengurus berkata pemain terpenting Man U sudah diberitahu tidak dibenarkan bertukar angin ke pasukan lain
Apr 1, 2025 | 3:20 PM
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, memberitahu kapten pasukan, Bruno Fernandes, beliau tidak membenarkannya berpindah pada musim panas ini.
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, memberitahu kapten pasukan, Bruno Fernandes, beliau tidak membenarkannya berpindah pada musim panas ini. - Foto REUTERS

NOTTINGHAM: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, berkata beliau sudah memberitahu Bruno Fernandes bahawa beliau tidak akan dibenarkan pindah pada musim panas ini.

Kapten pasukan itu – yang menandatangani kontrak lanjutan hingga 2027 pada Ogos 2024 – menjadi pemain penting United pada musim 2024/25.

Awal sebelum ini, laporan mula tersebar mengaitkan pemain berusia 30 tahun itu dengan perpindahan ke Real Madrid.

“Tidak, ia tidak akan berlaku,” kata Amorim apabila ditanya mengenai desas-desus itu dalam sidang medianya sebelum perlawanan Liga Perdana England (EPL) menentang Nottingham Forest pada 2 April.

Apabila ditanya bagaimana beliau begitu yakin, bekas pengurus Sporting Lisbon itu menambah: “Beliau tidak akan ke mana-mana kerana saya sudah memberitahunya.”

Fernandes menjaringkan 16 gol dalam semua pertandingan musim ini. Tiada pemain United lain yang mencapai lebih daripada 10 gol.

Dalam minggu terakhir sebelum rehat antarabangsa baru-baru ini, Fernandes menjaringkan lima gol, termasuk hatrik dalam kemenangan pusingan ke-16 Liga Europa ke atas Real Sociedad.

Hanya Mohamed Salah (54 gol) dan Erling Haaland (33 gol) yang mempunyai jumlah gabungan gol dan bantuan jaringan lebih tinggi daripada Fernandes (31 gol) dalam EPL musim ini.

United tidak mempunyai musim memberangsangkan dalam saingan liga dan sekarang berada di tangga ke-13.

Ia akan berdepan Nottingham Forest, yang berada di tempat ketiga, di City Ground.

Amorim dan bekas pengurus United, Erik ten Hag, tetap mempertahankan Fernandes walaupun sering menerima kritikan, terutama sekali daripada bekas kapten United, Roy Keane.

Baru-baru ini, Keane mengkritik Fernandes dengan mengatakan beliau bukan seorang pejuang dan bakatnya tidak mencukupi untuk United.

“Saya mahu Bruno kekal kerana mungkin dalam saat-saat paling sukar musim ini, beliau…,” kata Amorim sebelum berhenti seketika dan menukar nada jawapannya ke arah yang lebih positif.

“Kami mahu memenangi Liga Perdana England sekali lagi, jadi kami mahu pemain terbaik terus bersama kami. B

“eliau berusia 30 tahun tetapi masih muda kerana beliau bermain 55 perlawanan setiap musim. Bagi bantuan jaringan serta gol, beliau sekurang-kurangnya menyumbang sebanyak 30.”

Amorim menambah bahawa mereka dapat mengawal keadaannya dan percaya Fernandes gembira di United dan memahami apa yang ingin dicapai.

“Kadangkala, rasa kecewa yang anda lihat (pada dirinya) dianggap sebagai sesuatu yang negatif bagi seorang kapten, tetapi ia adalah tanda bahawa beliau benar-benar menginginkannya.

“Inilah jenis pemain yang kami mahukan,” ujar Amorim. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg