Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Formula Satu 2024 diharap lebih sengit

Max Verstappen mungkin jadi pemandu kelima menang sekurang-kurangnya empat kejohanan dunia berturut-turut
Dec 26, 2023 | 11:20 AM
TETAP HEBAT: Pemandu Red Bull, Max Verstappen, meraih kemenangan ke-19 beliau daripada 22 perlumbaan di Grand Prix Abu Dhabi. Ramai berharap pada Formula Satu musim 2024, pemandu daripada pasukan lain dapat mencabar dan mengalahkan beliau agar perlumbaan lebih seronok.
TETAP HEBAT: Pemandu Red Bull, Max Verstappen, meraih kemenangan ke-19 beliau daripada 22 perlumbaan di Grand Prix Abu Dhabi. Ramai berharap pada Formula Satu musim 2024, pemandu daripada pasukan lain dapat mencabar dan mengalahkan beliau agar perlumbaan lebih seronok. - Foto-foto fail

LONDON: Max Verstappen berkemungkinan menjadi pemandu Formula Satu (F1) kelima memenangi sekurang-kurangnya empat kejohanan dunia berturut-turut pada musim seterusnya, tetapi beliau dan pasukan Red Bull akan mendapati sukar untuk menguasai seperti 2023.

Peminat F1 akan mengharapkan persaingan lebih mendebarkan bagi tempat teratas apabila perlumbaan bermula semula di Bahrain pada Mac 2024.

Sama ada ia akan berlaku atau tidak, tiada siapa tahu, sebelum kereta mereka diuji dan ketidaktentuan ini menimbulkan sedikit ketegangan sebelum tempoh rehat musim sejuk bermula.

“Saya rasa demi kami semua dan demi F1, dan untuk Red Bull juga secara jujur, kami perlukan bukan McLaren sahaja, bahkan Ferrari, Aston Martin, Mercedes dan semua merapatkan jurang,” kata pengulas media yang juga bekas pelumba, Martin Brundle.

Perubahan besar tidak boleh diharapkan jika hanya Verstappen, yang berusia 26 tahun, semakin baik dan rakan sepasukannya, Sergio Perez, tidak memberikan Verstappen cabaran.

Namun, Red Bull juga sedar bahawa keadaan ini mungkin tidak berlaku lagi.

Ketua pasukan Red Bull Racing, Christian Horner, yang melihat pasukannya memenangi 21 daripada 22 perlumbaan 2023, berkata: “Dengan persaingan yang kuat juga, saya pasti tahun depan (2024) akan lebih sengit.”

Hanya Juan Manuel Fangio, Sebastian Vettel dan Lewis Hamilton berjaya memenangi empat kejohanan berturut-turut, manakala Michael Schumacher menang lima sejak kejohanan ini bermula pada 1950, tetapi Verstappen sudah layak dibandingkan dengan beliau.

Verstappen meraih lebih banyak mata, menghabiskan lebih banyak perlumbaan di tempat ketiga teratas.

Beliau mendahului pada lebih pusingan dalam satu kempen berbanding pelumba lain dalam sejarah dan kadar kemenangannya, 86.3 peratus, lebih tinggi daripada kadar kemenangan 85.7 peratus Alberti Ascari yang dicatat pada 1952.

Musim depan akan merupakan musim terpanjang sejauh ini dengan 24 perlumbaan, dengan enam perlumbaan jarak pendek – dengan Miami dan Shanghai menjalankan format itu buat kali pertama.

Perlumbaan di Singapura pula akan berlangsung pada 22 September.

Situasi yang diimpikan ialah pasukan Ferrari, yang tidak pernah menang sejak 2008, mencabar pemandu lebih berprestasi dan Fernando Alonso daripada Aston Martin, yang akan berusia 43 tahun pada Julai, kembali ke tangga teratas selepas lebih 10 tahun sejak kali terakhir beliau menang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg