Menjelang permulaan rasmi Liga Perdana Singapura 2025/26 pada 23 Ogos, Berita Harian menampilkan kelab yang bakal bertanding satu per satu.
Hari ini, kami mengetengahkan harapan dan cabaran yang dipikul oleh Young Lions dan jurulatih mereka, Firdaus Kassim.
Walau masa permainan yang diperoleh setiap pemain adalah penting, gabungan pemain tempatan dan import yang seimbang dapat mewujudkan suasana berdaya saing yang kondusif untuk perkembangan Young Lions.
Lantas, Ketua Jurulatih Young Lions, Firdaus Kassim, berpendapat keseimbangan antara kedua-duanya amat penting dalam pembangunan anak didiknya.
Menurutnya, kehadiran pemain import bukan sahaja mampu memacu tahap pasukan, malah turut menjadi contoh teladan yang baik di dalam dan di luar padang.
Dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH), Firdaus menjelaskan bagaimana pembentukan skuad untuk musim Liga Perdana Singapura 2025/26 – yang akan membuka tirai pada 23 Ogos – dapat meningkatkan tahap pasukan.
“Matlamatnya ialah untuk mewujudkan suasana kompetitif di mana para pemain muda sentiasa belajar dan diberi ‘push’ (dorongan kuat) untuk berkembang.
“Masa permainan memang penting, tetapi pendedahan harian kepada standard yang lebih tinggi juga sama pentingnya, dan kami percaya keseimbangan ini adalah kunci kepada pembangunan,” ujar beliau yang sedang giat mempersiap anak didiknya untuk musim yang panjang.
Musim terbaru SPL akan menyaksikan beberapa perubahan termasuk setiap pasukan boleh menurunkan seramai tujuh pemain import dalam satu perlawanan.
Setakat ini, BH masih menantikan pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengenai pemain import yang diperoleh Young Lions.
Firdaus dilantik menjadi ketua jurulatih kelab itu sejak Jun dan berkata tumpuannya pada musim ini adalah untuk menetapkan asas yang kukuh untuk pasukannya.
“Sejak mengambil alih, fokus kami ialah untuk memperbaiki struktur pasukan, membina keyakinan, dan mewujudkan suasana harian yang profesional.
“Para pemain memberikan respons yang positif – terdapat persaingan sihat untuk merebut tempat, dan motivasi juga tinggi menjelang musim baru,” katanya.
Firdaus memikul tugas besar untuk mengembalikan mutu permainan Young Lions.
Musim SPL 2024/25 menyaksikan Young Lions mengakhiri di tangga kelapan daripada sembilan pasukan.
Mereka mengutip 29 mata daripada 32 perlawanan, dengan pertahanan mereka dibolosi 89 kali, berbanding hanya menjaringkan 47 gol.
“Kami sedar masih banyak yang perlu dilakukan, khususnya dari segi pertahanan, dan itulah yang menjadi keutamaan dalam persiapan kami.
“Saya tidak terlibat pada musim lalu, tetapi dengan skuad baru yang telah kami bentuk ini, tumpuan kami ialah pada penambahbaikan secara beransur-ansur di semua bahagian padang – daripada pertahanan, transisi dalam permainan, dan sepakan percuma – dan semua usaha ini akan berteraskan disiplin serta komitmen.
“Itu asas yang tidak boleh dikompromi,” katanya.
Pasukan Young Lions, yang dianggotai pemain bawah 22 tahun negara mendapat tumpuan tambahan baru-baru ini selepas Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (Snoc) mengumumkan pada 6 Ogos ia tidak akan menghantar skuad bola sepak lelaki bawah 22 tahun ke Sukan SEA – kali pertama ini berlaku sejak 1969.
Ini kerana ia tidak memenuhi kriteria kelayakan, walaupun FAS berkata ia akan mengemukakan rayuan kepada Snoc untuk menterbalikkan keputusan tersebut.
Namun bagi Firdaus, tugasnya harus diteruskan sementara pentadbir bola sepak dan pihak berkuasa yang terlibat mencari huraian berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, beliau akan meneruskan usaha mempersiapkan anak didiknya supaya bersedia untuk bersaing jika sebarang peluang muncul.
Di samping itu, beliau turut berhasrat kembali merapatkan hubungan dengan para penyokong melalui corak permainan pasukan, usaha gigih di padang, serta keterlibatan yang lebih meluas dalam masyarakat.
Young Lions akan membuka tirai SPL menentang Balestier Khalsa pada 21 September di Our Tampines Hub.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg