Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Geylang International rai jubli emas dengan pelancaran buku, kumpul dana

Nov 30, 2024 | 10:58 PM
Penasihat Geylang International, Encik Ben Teng (tiga dari kanan), menyampaikan jersi kepada Presiden Tharman Shanmugaratnam (tiga dari kiri) di majlis jamuan malam sempena jubli emas kelab bola sepak itu bersama (dari kiri) pengasas, Encik Colin Ng; pengerusi, Encik Thomas Gay; serta mantan pengerusi, Encik Patrick Ang dan Encik Leong Kok Fann.
Penasihat Geylang International, Encik Ben Teng (tiga dari kanan), menyampaikan jersi kepada Presiden Tharman Shanmugaratnam (tiga dari kiri) di majlis jamuan malam sempena jubli emas kelab bola sepak itu bersama (dari kiri) pengasas, Encik Colin Ng; pengerusi, Encik Thomas Gay; serta mantan pengerusi, Encik Patrick Ang dan Encik Leong Kok Fann. - Foto ZAOBAO

Kelab bola sepak Liga Perdana Singapura (SPL) Geylang International meraikan jubli emasnya dengan pelancaran buku bertajuk, ‘Soaring Through 50 Years Of Football’, di sebuah majlis jamuan malam yang juga bertujuan mengumpul dana di Singapore Island Country Club pada 29 November. 

Majlis itu turut dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Ditubuhkan oleh ahli perniagaan Encik Colin Ng sebagai kelab bola sepak International Contract Specialists, kelab yang juga dikenali sebagai Eagles itu membuat penampilan sulung mereka dalam Divisyen Tiga Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) 1974 dan tidak dapat ditewaskan apabila mereka menjadi juara liga dan Piala Presiden.

Bintang bola sepak setempat dan luar negara seperti legenda Singapura Samad Allapitchay, Fandi Ahmad serta penjaring gol Piala Dunia 1998 Iran, Hamid Reza Estili, pernah menyertai kelab itu, meraih pelbagai penghormatan dalam era amatur, separa profesional dan profesional.

Selepas Liga-S profesional (kini dikenali sebagai Liga Perdana Singapura) bermula pada 1996, Geylang meneruskan kejayaan mereka dengan menjuarai liga itu pada 1996 dan 2001, serta Piala Singapura 2009.

Mengenang legenda seperti Samad dan Allahyarham Dollah Kassim, Tuan Presiden berkata:

“Geylang International merupakan sebahagian sejarah bola sepak di Singapura.

“Ia sebuah kelab dengan pemain yang sangat terkenal dan memiliki semangat yang hebat, tetapi ia juga kisah bola sepak Singapura yang bermula dengan tidak banyak sumber... bermain di mana-mana rumput yang ada.

“Kami harus menghormati semangat itu, gabungan bakat, daya tahan yang hebat dan keberanian melakukan sesuatu.”

Dengan sokongan peminat dan penaja, beliau melahirkan rasa yakin bahawa bola sepak Singapura boleh menghasilkan generasi baru dengan bakat dan semangat yang sama.

Penasihat Geylang, Encik Ben Teng, berkata Geylang berbangga menjadi salah satu kelab bola sepak di Singapura yang telah wujud selama 50 tahun.

“Perjalanan kami dipenuhi banyak kenangan yang terpahat dalam minda masyarakat bola sepak dan peminat bersemangat yang setia bersama kelab ini melalui suka dan duka,” ujarnya.

Detik-detik ini, serta 50 profil individu yang telah memainkan peranan dalam perjalanan kelab itu, dirakam dalam buku, ‘Soaring Through 50 Years Of Football’, tulisan bekas editor sukan, The Straits Times (ST), Encik Godfrey Robert; koresponden kanan sukan ST, Encik David Lee; dan karyawan perhubungan awam, Encik Calvin Koh.

Buku itu boleh dibeli pada harga $25 semasa hari perlawanan Geylang di Stadium Jalan Besar.

Kelab itu juga telah mendermakan $20,000 hasil kutipan dana acara golf sempena ulang tahun jubli emasnya kepada Cabaran Presiden.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg