Sedang musim Liga Perdana England bagi 2024/25 bermula, perhatian akan tertumpu ke Stamford Bridge apabila pasukan Chelsea menjadi tuan rumah kepada juara EPL musim lalu, Manchester City pada 18 Ogos 2024.
Perlawanan ini dianggap penting bagi permulaan kempen kededua pasukan, lantas menjadikannya salah satu perlawanan yang dinantikan dalam perlawanan minggu pertama.
Selaku penyandang juara, Manchester City sudah pasti tidak sabar-sabar untuk mempertahankan gelaran mereka dan dijangka mempamerkan penguasaan permainan di bawah kebijaksanaan Pep Guardiola. Musim lalu City mencatat sejarah menjadi pasukan pertama yang memenangi empat kejuaraan EPL berturut-turut. Mungkinkah musim ini kali kelima?
Skuad yang sarat dengan pemain berbakat, seperti Erling Haaland dan Kevin De Bruyne, sememangnya mampu untuk mencapai satu lagi kempen yang berjaya.
Sebaliknya, Chelsea, di bawah kepimpinan baru Enzo Maresca, berazam untuk merebut semula kedudukan mereka dalam kalangan pasukan elit.
Menyusuli musim panas kali ini yang padat dengan pembelian pemain dan persiapan pra- musim yang sengit, Chelsea yang juga dikenali sebagai The Blues tampak bersedia untuk mencabar kejuaraan teratas.
Perlawanan pembukaan ini lebih daripada sekadar permainan; ia bak kenyataan penting daripada dua gergasi bola sepak England ini.
Pasukan ini menjalani musim panas yang sibuk, dengan memperkukuh skuad mereka menerusi muka-muka baru yang terkenal.
Antara pemain utama yang diperoleh mereka termasuk pemain ‘midfield’, Kiernan Dewsbury-Hall dari Leicester City dan Omari Kellyman dari Aston Villa, serta pemain penyerang Barcelona, Marc Guiu, Filip Jorgensen dari Villarreal dan Renato Veiga dari FC Basel.
Pemain-pemain ini yang berusia bawah 25 tahun, bukan sahaja diharap dapat membuat sumbangan serta-merta tetapi pada dapat mengukuhkan skuad dan corak permainan Chelsea untuk tahun-tahun akan datang.
Berbanding Chelsea, Manchester City kurang sibuk membeli pemain selain membawa masuk pemain sayap Brazil berusia 20 tahun, Savinho.
Walaupun tanpa pemain pertahanan kanan, Yan Couto dan pemain ‘midfield’, Claudio Echeverri, City kekal sebagai pasukan utama yang perlu ditewaskan.
Para pemain yang akan terus menyarung jersi City termasuk Ederson, Kyle Walker, Ruben Dias, Jack Grealish, Kevin De Bruyne, dan penyerang handalan dunia, Erling Haaland.
Perlawanan pra-musim Chelsea agak mengecewakan.
Meskipun menundukkan pasukan Mexico, Club America, 3-0 pada 1 Ogos, The Blues tewas empat lagi perlawanan pra-musim mereka ketika menentang Wrexham, Celtic, Real Madrid dan Manchester City.
Semasa tewas 4-2 kepada City, pemain Chelsea, Raheem Sterling dan Noni Madueke saling menjaringkan gol berturut-turut, dan masing-masing tidak sabar-sabar untuk memberi impak serupa pada 18 Ogos.
Perlawanan pra-musim Manchester City, pula agak tidak menentu.
City berjaya menewaskan Chelsea dan seri menentang Barcelona, namun tewas 4-3 kepada Celtic dan 3-2 kepada AC Milan.
Yang pasti, Erling Haaland terus mengancam di hadapan pintu gawang lawan setelah menjaringkan gol secara konsisten dalam setiap perlawanan pra-musim, termasuk jaringan hatrik semasa menentang Chelsea.
Chelsea, di bawah pengurus baru, Enzo Maresca, berkemungkinan menerapkan corak permainan yang memberi tekanan hebat, memanfaatkan kelincahan mereka di bahagian sayap dan mengeksploitasi sebarang kelemahan dalam pertahanan City.
Dengan barisan pertahanan yang kuat dan serangan pemain yang pantas, Chelsea akan cuba mengganggu rentak permainan City yang berasaskan penguasaan bola.
Manchester City pula akan berpegang kepada corak penguasaan bola, mengawal permainan melalui para pemain ‘midfield’ mereka.
Taktik permainan yang fleksibel oleh Guardiola bermakna City boleh menyesuaikan diri dengan corak permainan yang berbeza, menjadikan mereka pesaing yang sukar.
Kehadiran Savinho dijangka mengukuhkan lagi jentera serangan pasukan itu.
Sedang Chelsea dilihat telah membuat penambahbaikan kepada skuad mereka, kualiti dan permainan yang konsisten oleh Manchester City dijangka menyukarkan The Blues untuk menang.
Perlawanan ini diramal sengit namun City pasti dapat menyaingi lawan mereka dengan kemenangan tipis, 2-1.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg