Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gallagher berazam bukti kemampuan, wakili S’pura

Aug 21, 2025 | 5:30 AM
Pemain tengah baru di Albirex Niigata, Jared Gallagher, yakin mampu meningkatkan semangat dan tempo permainan, serta kehadiran fizikal kepada pasukannya.
Pemain tengah baru di Albirex Niigata, Jared Gallagher, yakin mampu meningkatkan semangat dan tempo permainan, serta kehadiran fizikal kepada pasukannya. - Foto BH oleh KHALID BABA

Albirex Niigata telah menggunakan tempoh pramusim untuk membina semula pasukan utama setelah menyaksikan musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2024/2025 yang mengecewakan.

Seramai 13 pemain baru dibawa masuk oleh ketua jurulatih, Keiji Shigetomi, untuk melestarikan rentak bola sepak yang lebih pantas, intensif dan memberi fokus pada pertahanan.

Antara pemain yang direkrut untuk menyempurnakan matlamat itu ialah Jared Gallagher, 23 tahun.

Gallagher, yang bapanya warga Ireland dan ibunya warga Singapura, kini menyarung jersi warna jingga untuk musim keempatnya di SPL.

Beliau mulai perjalanannya di SPL dengan Young Lions pada 2021 sebelum berpindah ke BG Tampines Rovers untuk musim SPL 2024/2025. Beliau juga berpindah ke Balestier Khalsa FC buat sementara sebagai pemain pinjaman pada Jan 2025.

Sebagai pemain tengah, Gallagher yakin dapat membawa intensiti dan kehadiran fizikal kepada kelab Angsa Putih, nama julukan Albirex, terutama di kawasan tengah padang.

“Saya agresif tidak kira mempunyai bola atau tidak... Saya cuba memberi kepimpinan sebagai pemain tengah dengan melantangkan suara dan kekalkan intensiti ketika mengaturkan pasukan sewaktu perlawanan,” kata Gallagher, dalam sesi temu ramah dengan Berita Harian (BH) pada 13 Ogos.

Ketua jurulatih, Keiji Shigetomi (kiri) dan pemain tengah, Jared Gallagher (kanan) sewaktu sesi temu ramah bersama Berita Harian (BH) pada 13 Ogos di Stadium Jurong East.
Ketua jurulatih, Keiji Shigetomi (kiri) dan pemain tengah, Jared Gallagher (kanan) sewaktu sesi temu ramah bersama Berita Harian (BH) pada 13 Ogos di Stadium Jurong East. - Foto BH oleh KHALID BABA

Menurut Gallagher, beliau akan berusaha keras untuk merampas kembali bola daripada pasukan lawan di mana-mana pun bahagian padang.

Ciri-ciri ini diperhalusi melalui pengalaman bola sepak beraksi secara kompetitif untuk kelab Active Kids Shanghai selepas berhijrah ke sana pada 2010.

Beliau seterusnya berhijrah ke Hong Kong pada 2018 untuk menyertai pasukan belia kelab Kitchee.

“Semasa di Hong Kong dan Shanghai, saya masih muda dan perlu bermain dalam liga yang ada ramai orang dewasa... persekitaran fizikal seperti itu menjadikan saya lebih lasak,” kongsi Gallagher.

Sejak kembali ke Singapura pada 2020, beliau meraih pengalaman bersama Young Lions, BG Tampines Rovers dan Balestier Khalsa FC, yang menyaksikan setiap kelab memberinya bimbingan untuk memperhalusi bakatnya.

“Di Tampines, saya didedahkan kepada persekitaran bola sepak lebih kompetitif, seperti di pertandingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2)... saya bersyukur diberi peluang seperti ini untuk mendorong saya bekerja lebih keras,” tambah Gallagher.

Walaupun baru berusia 23 tahun, Gallagher meraih  banyak pengalaman daripada bola sepak kompetitif di Hong Kong dan kelab SPL seperti Young Lions, BG Tampines Rovers dan Balestier Khalsa FC.
Walaupun baru berusia 23 tahun, Gallagher meraih banyak pengalaman daripada bola sepak kompetitif di Hong Kong dan kelab SPL seperti Young Lions, BG Tampines Rovers dan Balestier Khalsa FC. - Foto BH oleh KHALID BABA

Azam kuat untuk melakukan yang terbaik untuk Angsa Putih juga didorong impiannya mewakili pasukan bola sepak Singapura sekali lagi, setelah dipanggil buat pertama kali pada Mac 2024.

“Saya dapat merasainya tahun lepas tetapi saya tidak selalu dipanggil. Jadi matlamat utama saya tahun ini adalah untuk mendapatkan panggilan dengan lebih tetap dan mengekalkan tempat saya dalam pasukan Singa.

“Satu-satunya cara untuk mencapainya adalah dengan beraksi secara terbaik untuk Albirex,” kata Gallagher.

Sejak persiapan pramusim bermula, Gallagher gembira dapat manjalin hubungan baik bersama ahli sepasukannya yang baru.

“Semua orang berlatih dengan wajah senyum, sifat positif ini selalu mendorong saya memberi lebih tenaga,” katanya.

Beliau teruja kerana didedahkan kepada falsafah bola sepak dan amalan budaya Jepun, seperti mencapai kesempurnaan dan menghormati para penyokong selepas setiap perlawanan.

Berada di samping pemain matang, seperti Hassan Sunny, turut memberinya wawasan untuk menjadi atlet lebih profesional dan hebat.

“Ternyata, setiap tahun di dalam SPL membuahkan hasil untuk pembaikan saya, tetapi musim ini saya mahu mengambil langkah menjadi pemimpin untuk ahli sepasukan saya”

Di luar padang, Gallagher telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan budaya dan kejiranan Singapura kepada ahli sepasukannya yang berwarga asing, untuk membantu mereka menjadi selesa dengan persekitaran baru di SPL dan di Singapura.

Menjelang perlawanan SPL yang pertama menentang Balestier Khalsa FC pada 23 Ogos, Gallagher berazam menjadikan Stadium Jurong East kubu kuat Albirex yang sukar ditembusi pasukan lawan.

“Sebagai pemain pasukan lawan dulu, saya sedar para penyokong Albirex boleh menghidupkan suasana yang menakutkan buat pihak lawan.

“Kami sepasukan telah bekerja keras setakat ini dan teruja menunjuk para penyokong kebolehan kami,” ujar Gallagher.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg