Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurulatih Albirex ingin tebus kekecewaan musim lalu

Seramai 13 pemain baru direkrut, termasuk dari Korea Selatan, Jepun dan S’pura
Aug 21, 2025 | 5:30 AM
Ketua jurulatih kelab bola sepak Albirex Niigata, Keiji Shigetomi, 46 tahun,  merupakan penolong jurulatih pasukan utama sebelum mengambil alih kelab itu pada Julai 2024.
Ketua jurulatih kelab bola sepak Albirex Niigata, Keiji Shigetomi, 46 tahun, merupakan penolong jurulatih pasukan utama sebelum mengambil alih kelab itu pada Julai 2024. - Foto BH oleh KHALID BABA

Albirex Niigata menempuh kempen Liga Perdana Singapura (SPL) yang paling mengecewakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kelab yang mendapat julukan Angsa Putih itu hanya mampu menduduki tangga keenam antara sembilan pasukan pada musim SPL 2024/25.

Ia satu keputusan mengecewakan jika dibandingkan dengan pencapaian Albirex, yang pernah menjadi juara berturut-turut pada musim SPL 2022 dan 2023.

Albirex juga pernah memenangi enam daripada lapan kejuaraan SPL sejak 2016, dengan pasukan yang sebilangan besarnya terdiri daripada pemain Jepun.

Penganalisis mengaitkan penurunan prestasi Albirex kebelakangan ini dengan proses peralihan mereka menjadi kelab bola sepak tempatan pada 2024 dan juga kepada jadual SPL yang baru.

Ketua jurulatih, Keiji Shigetomi, terpaksa mengambil alih kelab itu pada Julai 2024 dalam tempoh tidak menentu tersebut akibat pemergian jurulatih sebelumnya, Kazuaki Yoshinaga.

Kini, Angsa Putih bukan lagi terdiri daripada pemain Jepun sahaja, bahkan telah memperkenalkan lebih ramai pemain tempatan.

“Saya rasa silaturahim para pemain musim lepas lemah, pemain Jepun dan tempatan tidak dapat menjalin persefahaman dengan lancar,” kongsi Shigetomi, 46 tahun, dalam sesi wawancara bersama Berita Harian (BH) pada 13 Ogos.

Namun, Shigetomi menggunakan kelemahan itu sebagai peluang untuk membina semula pasukannya buat musim SPL 2025/2026.

“Kali ini, saya dan pasukan jurulatih mempunyai sepenuh jangka masa pramusim untuk mengendalikan para pemain dan membuat persiapan dengan lebih teliti,” kata Shigetomi.

Seramai 13 pemain baru telah direkrut, termasuk dari Korea Selatan, Jepun dan Singapura. Usia mereka juga lebih kurang sebaya.

Pendekatan menggandingkan pemain matang dengan muda itu membolehkan Shigetomi membina semula pasukan dengan menumpukan perhatian pada asas permainan yang baik dan melestarikan taktik baru dengan lebih lancar.

“Cabaran utama musim akan datang adalah membangunkan pemahaman terhadap taktik pertahanan untuk seluruh pasukan,” jelas Shigetomi.

Shigetomi, yang pernah menjadi jurulatih di sekolah bola sepak Sanfrecce Hiroshima di Jepun dan memenangi anugerah jurulatih SPL terbaik pada 2020, berazam mengurangkan jumlah pasukannya dibolosi di gawang sendiri.

Pada musim SPL 2024/2025, Angsa Putih dibolosi sebanyak 71 kali di gawang sendiri dan hanya menjaringkan 55 gol.

Menurut Shigetomi, pasukan yang lebih muda turut memudahkan proses memupuk rentak bola sepak lebih intensif yang memfokus kepada pertahanan yang lebih kukuh, iaitu dengan menekan pihak lawan lebih dekat dengan kawasan pertahanan mereka.

“Pemain muda lebih bertenaga dan agresif, tetapi pengalaman dan bimbingan daripada pemain matang seperti Hassan Sunny dan Delwinder Singh, juga sangat penting untuk membawa kesimbangan,” kata Shigetomi.

Penjaga gawang veteran, Hassan Sunny, sudah bermain sebanyak 18 musim di SPL, manakala Delwinder Singh telah bermain lebih daripada 200 perlawanan di SPL.

Silaturahim antara pemain juga aspek yang diberi banyak fokus oleh Shigetomi.

Beliau gemar menganjurkan sesi latihan fizikal di luar Stadium Jurong East, seperti di Lakeside dan Bukit Timah, untuk merapatkan jurang antara pemain tempatan dengan asing.

Pemain baru Albirex Niigata, Jared Gallagher, yang turut hadir di sesi wawancara, berkata: “Kami dapat mengenali satu sama lain serta membantu pemain asing biasakan diri dengan kejiranan Singapura... hubungan erat di luar padang membantu kami meraikan prestasi yang lebih hebat sewaktu perlawanan.”

Ketua jurulatih Keiji Shigetomi (kiri) dan pemain tengah Jared Gallagher ketika sesi wawancara bersama Berita Harian (BH) Stadium Jurong East pada 13 Ogos.
Ketua jurulatih Keiji Shigetomi (kiri) dan pemain tengah Jared Gallagher ketika sesi wawancara bersama Berita Harian (BH) Stadium Jurong East pada 13 Ogos. - Foto BH oleh KHALID BABA

Shigetomi juga menekankan kepentingan komunikasi, seperti memberi ruang kepada pemain dan jurulatih menganggap satu sama lain sebagai rakan untuk mendorong perkongsian maklum balas dengan lebih jelas dan terbuka.

“Musim ini, saya ada lebih banyak sokongan daripada para jurulatih untuk menyampaikan arahan dan maklum balas dengan lebih jelas, terutama sekali kerana saya tidak begitu mahir berbual bahasa Inggeris,” kata Shigetomi.

Shigetomi menekankan azam Angsa Putih untuk menjadi juara sekali lagi, tetapi mengakui yang pasukannya masih dalam proses pembaikan.

“Musim yang lalu sangat mengecewakan tetapi kami teruja untuk pamerkan permainan bola sepak yang lebih menarik dan berkongsi kegembiraan kemenangan bersama para penyokong kami,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg