Musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2024/2025 paling mengecewakan untuk Albirex Niigata, yang menyaksikan mereka menduduki tangga keenam antara sembilan pasukan.
Kelab itu, yang pernah menjadi juara SPL sebanyak enam kali – pada 2016, 2017, 2018, 2020, 2022 dan 2023 – terpaksa mengharungi cabaran pertukaran jurulatih, peralihan daripada pasukan yang sebilangan besarnya terdiri daripada pemain Jepun kepada kelab tempatan dan jadual SPL yang baru.
Lantas, ketua jurulatih Keiji Shigetomi serta pasukan jurulatihnya telah bertungkus-lumus membawa masuk pemain muda yang bertenaga, dan berazam mencapai kecemerlangan, sambil memperkasakan pemain utama yang sudah ada.
Pemain baru Albirex, Takumi Yokohata, mempunyai ciri-ciri yang membuatnya sesuai menjadi pemain nombor 10 - nombor jersi yang dikaitkan dengan pemain yang mampu mengatur rentak serangan dengan cara kreatif dan hebat.
Penolong jurulatih, Jaswinder Singh, berkata dalam podcast The Silverfox Hustle pada 12 Ogos:
“Beliau (Takumi) boleh membuat hantaran bola yang tidak boleh dibayangkan sesiapa.”
Sentuhan dan kawalan bolanya apabila dikelilingi pemain pertahanan dikatakan seperti magik oleh rakan-rakan sepasukannya.
Walaupun dibawa masuk ke Albirex lewat dalam musim SPL 2024/2025, Shingo Nakano telah membuktikan dirinya sebagai ancaman di depan gawang lawan.
Beliau menjaringkan sebanyak 26 gol dalam 31 perlawanan dalam musim SPL 2024/2025 dan Piala Singapura 2025.
Nakano mempunyai kelajuan, kehadiran fizikal dan keyakinan untuk menjaringkan gol dari bahagian sayap serta hantaran tinggi.
Beliau juga mampu melakukan gerakan strategik yang mengelirukan pertahanan lawan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg