PARIS: Pemain badminton Singapura, Yeo Jia Min, menewaskan pemain ranking ke-93 dunia dari Mauritius, Kate Foo Kune, dengan kemenangan meyakinkan 21-12, 21-6 dalam perlawanan Kumpulan I pada 30 Julai.
Dengan kemenangan itu, Yeo menjadi pemain badminton negara pertama mara ke pusingan 16 pemain terakhir Sukan Olimpik sejak Gu Juan tewas di peringkat sama kepada pemain Taiwan, Cheng Shao-chieh, di temasya London 2012.
Perseorangan wanita nombor 20 dunia itu turut menewaskan pemain Pasukan Pelarian, Dorsa Yavarivafa, di Arena Porte de la Chapelle pada 27 Julai dan mara sebagai juara kumpulan.
Yeo, 25 tahun, berkemungkinan berdepan pemain ranking ke-10 Jepun, Aya Ohori – yang tidak pernah beliau kalahkan dalam tiga pertemuan – pada 1 Ogos ini untuk merebut tempat ke suku akhir, lapor The Straits Times (ST).
Dalam perseorangan lelaki pula, rakan senegara dan pemain nombor 13 dunia, Loh Kean Yew dijadual menentang pemain ranking ke-50 dunia dari El Salvador, Uriel Canjura, pada 31 Julai.
Beliau hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk menyaksikannya mengungguli Kumpulan M dan menetapkan pertembungan pusingan 16 pemain terakhir yang menarik dengan pemain nombor enam dunia dari China, Li Shifeng, pada hari berikutnya.
Beregu campuran Singapura, Terry Hee dan Jessica Tan, yang berada di ranking ke-17 dunia, tersingkir pada 29 Julai selepas mereka sekadar menduduki tempat ketiga Kumpulan D, dengan hanya dua pasukan teratas daripada empat kumpulan mara ke suku akhir.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg