PARIS: Selepas melakukan luncuran nollie noseblunt 270 dan meraih pingat emas, juara dua kali papan selaju lelaki dalam Olimpik kali ini, Yuto Horigome ditanya sebab Jepun begitu mahir dalam sukan tersebut sehingga membuatkan para pemenang kategori itu ketawa semasa satu sidang akhbar.
“Soalan yang baik dan hebat,” kata pemenang pingat gangsa asal Amerika dan juara dunia enam kali, Nyjah Huston, sedang pemenang pingat perak, Jagger Eaton pula bersenda: “Ya, kami ingin tahu.”
Ia adalah jawapan yang diinginkan semua orang juga, kerana Jepun kini mempunyai lima daripada enam emas sejak papan selaju diperkenalkan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Horigome menjawab: “Tahap semua peserta telah meningkat sejak Sukan Olimpik Tokyo. Saya sentiasa berlatih sehingga tahap tertinggi, walaupun di tengah-tengah situasi yang tiada harapan.”
Beliau menawarkan alasan lain dalam wawancara awal oleh majalah papan selaju Amerika, Thrasher:
“Mungkin kami mempunyai tumpuan yang lebih baik. Jepun tidak mempunyai taman papan selaju yang hebat.
“Saya berpindah ke Los Angeles dan bakat saya menjadi lebih baik, sebab meluncur dengan mereka yang profesional.”
Pada 29 Julai, pemain berusia 25 tahun itu mempamerkan tumpuan dan sikap tidak mengalah dalam usaha mengekalkan gelarannya di Place de la Concorde, sebahagiannya telah diubah menjadi taman permainan bandar dengan 18 anak tangga, tebing, halangan tepi jalan, dan pemegang tangan sedang para atlet beraksi dalam musim panas kali ini.
Para atlet papan selaju dinilai berdasarkan sejauh mana mereka mengawal papan semasa melakukan aksi ligat semasa dua percubaan selama 45 saat dan lima aksi lain dengan masing-masing boleh menjamin maksimum 100 mata.
Jumlah markah termasuk percubaan terbaik seseorang dan dua aksi lain yang terbaik.
Dalam apa yang dianggap sebagai pertandingan akhir paling ‘ganas’, Horigome pada mulanya di kedudukan keempat selepas meraih 89.90 mata dalam aksi pertamanya, dan kemudian ketujuh semasa dalam aksi terakhir, selepas kurang baik dalam percubaan kedua, ketiga dan keempatnya.
Tetapi aksi nollie noseblunt 270 belakang yang menakjubkan di saat akhir memberikannya sejumlah 97.08 mata dan keseluruhan 281.14 mata – lantas mengenepikan Eaton dengan hanya 0.1 mata selepas kedua-dua pesaing Amerika itu jatuh dalam aksi terakhir mereka.
Kemenangan Horigome, serta emas oleh peserta muda Jepun, Coco Yoshizawa yang berusia 14 tahun dalam acara wanita, akan memberikan sukan itu satu lagi rangsangan di negara asal mereka selepas kejayaan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Walaupun Jepun mempunyai budaya papan selaju yang agak luas sejak 1970an, laman web berita Jepun, Nippon.com, menyatakan bahawa “sentimen orang ramai terhadap sukan itu agak negatif” sebelum Sukan Olimpik Tokyo.
Ini kerana pemain papan selaju dilihat sebagai memaparkan kenakalan dan gangguan yang boleh menyebabkan kecederaan kepada orang ramai yang lalu-lalang, atau merosakkan harta benda awam.
Namun Jepun memenangi tiga daripada empat emas bagi kategori taman dan jalanan menerusi Horigome dan dua remaja perempuan dalam penampilan sulung papan selaju di Tokyo 2020 membantu meningkatkan imejnya.
Horigome juga telah menjadi inspirasi kepada para pemain papan selaju yang lain.
Jurulatih Jepun, Daisuke Hayakawa berkongsi bagaimana anak didiknya mula bermain papan selaju pada usia tujuh tahun dan berpindah ke Los Angeles pada usia 16 tahun untuk meneruskan cita-citanya.
Hayakawa yang berusia 50 tahun, memberitahu Olympics.com: “Para atlet papan selaju profesional Jepun tidak pernah keluar negara dan berpuas hati dengan hanya menjadi profesional di Jepun.
“Kemudian datang seseorang seperti Yuto yang berasal dari generasi baru dengan impian besar.
“Dunia kini terbuka jadi mengapa tidak biarkan mereka pergi ke Amerika. Kini anda mempunyai anak-anak yang mengikuti pergerakan Yuto yang ingin menjadi bukan sahaja atlet nombor satu di Jepun, tetapi yang terbaik di dunia – dan itu merupakan perubahan paling penting dalam papan selaju Jepun,” katanya. – Agensi berita.
“
“Saya sentiasa berlatih sehingga tahap tertinggi, walaupun di tengah-tengah situasi yang tiada harapan. Mungkin kami mempunyai tumpuan yang lebih baik. Jepun tidak mempunyai taman papan selaju yang hebat. Saya berpindah ke Los Angeles dan bakat saya menjadi lebih baik, sebab meluncur dengan mereka yang profesional.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg