Singapura menjangkakan perlawanan yang sengit dan penuh emosi menentang Malaysia - dan mereka mempunyai pengalaman veteran yang diperlukan untuk menangani tekanan tersebut.

Safuwan Baharudin dijangka kembali beraksi selepas selesai menjalani penggantungan, dan mungkin digandingkan bersama Hariss Harun, rakan sepasukan yang sudah biasa berdepan Malaysia sepanjang sedekad lalu.

Apa yang menjadikan perlawanan ini lebih menarik ialah kebiasaan mendalam pasangan ini dengan pihak lawan, termasuk beberapa rakan pasukan Safuwan di Selangor dan bekas rakan pasukan Hariss di Johor Darul Ta’zim (JDT).

Walau bagaimanapun, mereka sedar perkara ini bersifat dua hala: sedang mereka memahami corak permainan pihak lawan, pemain-pemain Malaysia juga mengenali permainan mereka dengan sama baik.

Berada di hadapan mereka kelak adalah tonggak-tonggak utama seperti Faisal Halim, Arif Aiman dan Bergson da Silva, antara beberapa yang lain.

Mereka mungkin mempunyai pembacaan yang baik tentang pergerakan dan kecenderungan pihak lawan, tetapi pihak lawan turut mengenali mereka.

Kedua-dua tonggak pertahanan Singa itu menegaskan bahawa pasukan Singa perlu sentiasa berwaspada sepanjang perlawanan untuk terus bersaing.

Pemain pertahanan Singa, Safuwan Baharudin, berkata walaupun pasukan Singa mengenali corak permainan pasukan Malaysia, mereka tetap perlu berwaspada kerana Malaysia juga dijangka tahu tentang kelemahan dan kekuatan pasukan Singa.
Pemain pertahanan Singa, Safuwan Baharudin, berkata walaupun pasukan Singa mengenali corak permainan pasukan Malaysia, mereka tetap perlu berwaspada kerana Malaysia juga dijangka tahu tentang kelemahan dan kekuatan pasukan Singa. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Bagi Safuwan, pengetahuan tentang pemain Malaysia bakal membantu, tetapi beliau enggan menganggapnya sebagai kelebihan besar.

“Saya rasa semua perlawanan akan berbeza. Apa kelebihan yang kita boleh gunakan dalam perlawanan ini ialah saya sudah biasa dengan beberapa pemain, saya rasa ada enam atau tujuh rakan sepasukan saya di Selangor (FC) yang bersama saya setiap hari.

“Harapnya itu mungkin membantu sedikit dari segi mengetahui pergerakan mereka atau persefahaman antara pemain Malaysia. Tetapi perlawanan kelab dan perlawanan antarabangsa sangat berbeza,” katanya.

Malah, Safuwan mengakui pengetahuan itu boleh menjadi pedang bermata dua.

“Bukan semua kelebihan itu akan memihak kepada kita. Kita perlu ambil setiap minit dan setiap situasi dan lihat bagaimana kita boleh mengatasinya,” katanya.

Keperluan untuk mengawal emosi dan tekanan menjadi semakin penting kerana Singapura perlu menang untuk meneruskan perjuangan kejohanan mereka.

Kapten Singapura, Hariss Harun mengingatkan rakan sepasukan agar kekal tenang dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan tanpa terlalu memikirkan tekanan di luar kawalan.
Kapten Singapura, Hariss Harun mengingatkan rakan sepasukan agar kekal tenang dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan tanpa terlalu memikirkan tekanan di luar kawalan. - Foto FAS

Hariss mengakui situasi itu bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila hanya ada satu peluang untuk mendapatkan keputusan yang diperlukan.

Namun, beliau mahu pasukan tidak terlalu memikirkan perkara yang berada di luar kawalan mereka.

“Kita kawal apa yang kita boleh kawal, iaitu prestasi, bagaimana kita turun ke padang, sejauh mana fokus kita dan apa yang kita perlu perhatikan di padang,” katanya.

Pasukan Singa mencipta beberapa peluang menentang Bangladesh tetapi gagal menambah gol selepas jaringan pembukaan.

“Menentang Malaysia, kita perlu lebih tenang. Akan ada banyak pengaruh, tetapi kita perlu kekal tenang dan harungi apa jua yang mungkin berlaku,” kata Hariss.

Jika Singa berjaya menjaringkan gol pembukaan, ia tentunya memberikan mereka platform yang lebih baik.

Tetapi Hariss menegaskan pasukan tidak boleh hilang arah sekiranya perkara sebaliknya berlaku.

“Kita perlu kekal fokus sepanjang 90, 95 minit, atau berapa lama pun perlawanan itu berlangsung. Kita perlu bermula dengan baik, itu paling penting. Tetapi jika perkara berlaku sebaliknya, kita masih perlu kekal dalam permainan,” katanya.

Bagi Hariss juga, pencapaian lalu pasukan boleh memberikan keyakinan, tetapi tidak boleh menjadi sandaran.

Selain pencapaian kelayakan Piala Asia di Hong Kong, beliau mengimbau kemenangan 3-0 Singapura di Bukit Jalil pada 2012 serta keputusan seri pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Asean Hyundai 2024 yang membantu Singapura mara.

Namun, pengalaman tersebut tidak menjamin apa-apa bagi perlawanan kali ini.

“Perlawanan-perlawanan itu adalah bukti bahawa kita mampu melakukannya. Tetapi itu semua sudah berlalu. Sekarang kita perlu melihat ke hadapan dan mendapatkan keputusan menentang Malaysia,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti