Topik diikuti
Pergi ke BHkuGavin Lee sambut baik pengiktirafan buat jurulatih
Gavin Lee sambut baik pengiktirafan buat jurulatih
Kerjasama lima tahun SNOC dan EFGH lihat jurulatih terima pengiktirafan, perkukuh ekosistem sukan negara
Gavin Lee sambut baik pengiktirafan buat jurulatih
Ketua jurulatih bola sepak Singapura, Gavin Lee, menyambut baik pengenalan anugerah merit khas bagi jurulatih, sambil menyifatkannya sebagai pengiktirafan yang wajar terhadap golongan yang sering berkorban demi kejayaan seseorang atlet.
Gavin, yang tersenarai antara lapan finalis bagi anugerah Jurulatih Terbaik 2026, berkata peranan jurulatih sering kali melangkaui aspek teknikal dan taktikal.
“Jurulatih memainkan peranan yang sangat penting kerana tahap yang dicapai atlet atau pemain banyak dipengaruhi oleh bimbingan mereka.
“Bukan sahaja di peringkat prestasi tinggi, malah jurulatih di peringkat akar umbi juga memainkan peranan sama penting dalam membentuk generasi atlet akan datang.
“Jika mereka tidak menjalankan tugas dengan baik, kita tidak akan mempunyai atlet yang berjaya pada masa depan,” kata jurulatih berusia 35 tahun itu.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dan Embed Financial Group Holdings (EFGH) mengumumkan kerjasama penajaan selama lima tahun pada 12 Jun.
Antara lain, kerjasama itu menyaksikan pengenalan anugerah merit baharu untuk mengiktiraf jurulatih yang telah memberikan sumbangan besar kepada sukan Singapura.
Buat julung-julung kalinya, penerima anugerah merit itu akan menerima sijil penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah $2,000 menerusi sokongan EFGH.
Selain Gavin, finalis lain bagi anugerah Jurulatih Terbaik 2026 ialah Eugene Chia Kin Weng (renang); Sherman Cheng Feng Yuan (kapal layar); Luis Filipe Vitorino Cunha (olahraga); Rasic Lazar (bola keranjang); Joel Lye Jun Hao (tinju tendang); Ng Boon Hock (wushu); dan Zhang Zhen (gimnastik).
Pemenang anugerah tersebut akan diumumkan pada majlis Anugerah Sukan Singapura pada 3 Julai di Pusat Konvesyen dan Expo Sands di Marina Bay Sands.
Mengulas pencalonannya, Gavin merendah diri apabila menegaskan kejayaan yang diraih skuad negara sepanjang tahun lalu adalah hasil usaha seluruh pasukan.
“Saya berasa bangga dan berbesar hati dengan pencalonan ini.
“Tetapi pada masa yang sama, saya hanya mendapat peluang ini kerana pasukan berjaya mencatat keputusan yang baik.
“Pujian harus diberikan kepada para pemain. Mereka juga dicalonkan bagi anugerah Pasukan Terbaik 2026 dan saya rasa menerusi usaha mereka, mereka berjaya menyatukan rakyat Singapura,” katanya.
Menurut Gavin, tugas seorang jurulatih sering kali tidak disedari ramai kerana ia turut melibatkan aspek di luar gelanggang atau padang.
“Kadangkala jurulatih perlu menjadi seorang bapa, rakan, ahli psikologi dan juga individu yang menegur pemain apabila perlu.
Dalam pengumuman yang sama, SNOC dan EFGH turut memeterai kerjasama penajaan selama lima tahun yang akan menyokong penyertaan atlet Team Singapore di temasya utama termasuk Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA, dari 2026 hingga 2030.
Setiausaha Agung SNOC, Mark Chay, berkata kerjasama itu akan membantu memperkukuh ekosistem sukan negara dan membolehkan atlet serta jurulatih terus mengejar kecemerlangan di pentas antarabangsa.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EFGH, Dennis Ng, pula berkata syarikat itu mahu memastikan sumbangan jurulatih diberikan pengiktirafan yang setimpal.
“Jurulatih mengubah kehidupan seorang atlet satu demi satu.
“Sudah sekian lama sumbangan mereka dirasai, namun tidak pernah diiktiraf secara rasmi.
“Melalui kerjasama dengan SNOC ini, kami berharap dapat memberikan pengiktirafan yang selayaknya kepada mereka, seiring dengan pingat dan kejayaan yang diraih para atlet,” katanya.
