Topik diikuti
Pergi ke BHkuSinga tumbang 3-1, misi bangkit di Bangkok semakin getir
Rembatan Ilhan beri sinar harapan tetapi belum cukup untuk Singa ‘baham’ Gajah Perang
Pasukan Singa bakal berdepan cabaran lebih besar di Bangkok apabila mereka tewas 1-3 kepada Thailand di Stadium Jalan Besar.
Di hadapan 5,358 penonton, termasuk Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Puan Jane Ittogi, Singa pada awalnya tampil penuh keyakinan sebelum ketajaman dan kecekapan Thailand akhirnya menghukum kesilapan tuan rumah.
Kekalahan itu bermakna tugas Singapura kini jauh lebih berat apabila mereka berkunjung ke Bangkok dengan kekurangan dua gol untuk aksi kedua di Stadium Rajamangala pada 18 Ogos.
Pasukan Singa memulakan perlawanan dengan penuh keyakinan, malah tidak sekadar selesa menguasai bola apabila mereka turut menjadi pasukan yang lebih agresif mencipta peluang dalam 10 minit pertama.
Namun, Thailand pantas menunjukkan mengapa mereka hadir sebagai antara pasukan pilihan kejohanan.
Kehilangan bola di bahagian tengah padang dihukum apabila Seksan Ratree memanfaatkan ruang dan menghantar bola kemas kepada Teerasak Poeiphimai di dalam kotak penalti.
Penyerang itu mengawal bola dengan kemas sebelum melepaskan rembatan yang berjaya melepasi Izwan Mahbud untuk meletakkan Thailand di depan.
Singapura terus cuba bertindak balas, tetapi Thailand sekali lagi menunjukkan ketajaman mereka di depan gol.
Poeiphimai akhirnya menemui gol keduanya apabila dibiarkan tanpa kawalan di dalam kotak penalti, sebelum memanfaatkan hantaran lintang Waris Choolthong untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Namun, Singapura enggan mengalah dan hampir merapatkan jurang menerusi situasi bola mati.
Balingan jauh Lionel Tan, dengan Irfan Fandi berani menyentuh bola tersebut untuk menghidupkan semula serangan.
Bola kemudian terkena Shawal Anuar sebelum jatuh kepada Jacob Mahler, tetapi percubaannya tersasar.
Pemeriksaan VAR, bagaimanapun, mendapati Shawal ditolak oleh Yotsakon Burapha semasa perebutan bola, lalu pengadil menghadiahkan penalti kepada Singapura.
Namun, percubaan Shawal diselamatkan oleh penjaga gawang Thailand, Kampon Phatomakkakul, dan kedudukan kekal 2-0 apabila separuh masa kedua berakhir.
Jurulatih Singa, Gavin Lee membuat perubahan awal dengan mengeluarkan Glenn Kweh dan memasukkan Ilhan Fandi, dengan harapan kehadiran penyerang itu mampu memberikan Singapura lebih ancaman di bahagian hadapan.
Tetapi hanya enam minit selepas separuh masa bermula, Thailand kembali menghukum kesilapan Singapura.
Sekali lagi kehilangan bola di bahagian tengah memberi ruang kepada Thailand melancarkan serangan sebelum hantaran silang menemui Ratree yang menyempurnakan peluang tersebut untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Pada minit ke-59, Ilhan berjaya melepasi penjaga gol Thailand dan kelihatan mempunyai peluang untuk merapatkan jurang, tetapi penjaga gol pelawat pantas mendapatkan semula bola.
Bintang penyerang itu memberikan penyokong dan pasukan sedikit sinar harapan apabila beliau menjaringkan gol hebat dari luar kotak penalti untuk merapatkan jurang 3-1.
Walaupun pasukan Singa terus mengasak, benteng pertahanan kekal kukuh untuk mempertahankan kelebihan dua gol mereka.
Kita nantikan sahaja detik Singa bakal berkunjung ke Bangkok untuk aksi timbal balik di Stadium Rajamangala pada 18 Ogos, di mana mereka perlu mendapatkan kemenangan dan mengatasi kelebihan dua gol Thailand.
