Sudah lebih sedekad berlalu sejak Singapura kali terakhir menjulang Piala Asean.

Namun menjelang kempen Piala Asean Hyundai 2026, buat kali pertama dalam beberapa tahun, keyakinan terhadap skuad Singa bukan sekadar bersandarkan nostalgia lalu.

Sebaliknya, ia dipacu oleh perkembangan semasa yang memberi harapan bahawa peluang untuk melakar satu lagi kempen cemerlang mungkin lebih terbuka berbanding edisi-edisi sebelum ini.

Selain dibekalkan keyakinan hasil kejayaan melayakkan diri ke Piala Asia 2027, landskap kejohanan kali ini juga sedikit berbeza.

Disebabkan pertandingan berlangsung di luar kalendar rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), beberapa kuasa besar bola sepak Asia Tenggara dijangka turun tanpa barisan terkuat selepas kelab luar negara tidak diwajibkan melepaskan pemain mereka.

Indonesia, misalnya, kehilangan beberapa pemain tonggak yang mendapat pewarganegaraan, yang beraksi di Eropah, manakala Malaysia, Filipina dan juga Singapura sendiri turut berdepan situasi sama.

Bagi Singapura, kehilangan penyerang utama, Ikhsan Fandi, yang baru memulakan lembaran baru bersama pasukan divisyen tiga Jepun, Thespa Gunma, serta ketiadaan pertahanan berpengalaman, Safuwan Baharudin, akibat komitmen kelab turut dirasai.

Namun, skuad Singa memasuki kejohanan ini dengan persiapan rapi selepas menjalani kem latihan intensif di Jepun, termasuk perlawanan menentang tiga kelab profesional Jepun yang dijadikan simulasi untuk tuntutan sebenar kejohanan.

Namun, bukan Singapura sahaja yang telah melalui persiapan rapi dan dipenuhi keyakinan menjelang pertandingan tersebut.

Kapten juara bertahan, Vietnam, Quang Hai, berkata pasukannya turut bersedia mahu mempertahankan kejuaraan mereka.

“Kami telah membuat persiapan sebaik mungkin dalam semua aspek, termasuk kecergasan fizikal, pendekatan taktikal serta tahap kesediaan pasukan secara keseluruhan,” kata beliau.

“Saya yakin kami kini benar-benar bersedia untuk mengharungi kejohanan ini.”

Bagi kapten Singapura, Hariss Harun, pula, kejayaan pasukannya melayakkan diri ke Piala Asia menjadi bukti bahawa Singapura sudah berada pada landasan yang betul untuk menumbangkan pasukan seperti Vietnam.

Namun beliau mengingatkan rakan sepasukannya bahawa pencapaian itu tidak akan membawa makna jika standard tersebut gagal dikekalkan.

“Pemain muda sudah melihat apa yang mereka mampu lakukan apabila mereka meletakkan standard tinggi terhadap diri sendiri dan saling menuntut prestasi terbaik antara satu sama lain,” katanya.

Walaupun beberapa pencabar utama tidak turun dengan skuad terbaik, Hariss enggan menganggap laluan Singapura akan menjadi lebih mudah.

Atas sebab itu, beliau menegaskan bahawa Singapura tidak boleh terlalu memikirkan untuk mengulang pencapaian edisi lepas di mana mereka mara ke separuh akhir.

Pendekatan ini juga ditekankan oleh ketua jurulatih Singapura, Gavin Lee.

“Perlawanan pertama merupakan perlawanan paling penting. Selepas itu, tumpuan kami akan beralih kepada perlawanan seterusnya sebagai perlawanan paling penting,” ujar Lee.

“Itulah mentaliti dan pendekatan yang akan kami pegang sepanjang kejohanan ini, dan itulah juga asas kepada segala persiapan kami.”

Empat kejuaraan pada 1998, 2004, 2007 dan 2012 menjadikan Singapura antara negara paling berjaya dalam sejarah kejohanan ini.

Namun lebih sedekad telah berlalu sejak piala terakhir dijulang.

Seperti yang diingatkan Hariss, sejarah mungkin meletakkan harapan yang tinggi terhadap Singapura.

Namun, beliau dan Lee sebulat suara menegaskan, skuad Singa kekal berdisiplin dan fokus perlawanan demi perlawanan, demi memenuhi impian tersebut serta mengharumkan nama negara sekali lagi.

Untuk mencapai matlamat itu, ia penting untuk mereka memulakan kempen mereka menentang Kemboja pada 24 Julai dengan kemenangan.

Dengan Piala Asia di Arab Saudi menghampiri, kejayaan dalam kejohanan ini bakal membentuk lonjakan momentum serta keyakinan buat skuad Singa untuk bersaing di pentas tertinggi Asia.