Penyerang Singa, Ilhan Fandi muncul wira sekali lagi apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Singapura memulakan kempen Piala Asean Hyundai dengan kemenangan 2-1 ke atas Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo pada 24 Julai.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila skuad kendalian Gavin Lee terpaksa bangkit selepas melepaskan kelebihan yang dimiliki pada separuh masa pertama.

Singapura memulakan perlawanan dengan penuh keyakinan dan hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua.

Glenn Kweh menghantar bola berbahaya melintasi pintu gol, namun tidak berjaya temui Shawal Anuar.

Pada minit ke-16, Singapura sekali lagi menyangka mereka sudah berada di depan apabila Harhys Stewart berjaya meletakkan bola ke dalam gawang.

Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan selepas Shawal didapati ofsaid semasa gerakan tersebut.

Usaha Singapura akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-22.

Hantaran kemas daripada Lionel Tan menemui Shawal, yang mengawal bola dengan baik sebelum melepaskan rembatan dari sudut sempit untuk menewaskan penjaga gol Kemboja, Hul Kimhuy.

Jaringan itu merupakan gol antarabangsa ke-20 buat Shawal bersama skuad kebangsaan.

Namun, kelebihan tersebut gagal dipertahankan apabila Kemboja tampil lebih agresif pada separuh masa kedua.

Pada minit ke-55, Kemboja berjaya menyamakan kedudukan selepas Singapura gagal mengawal ancaman hantaran Kemboja.

Pemain sayap tuan rumah, Ouk Sovann, pantas menyambar bola sebelum melepaskan rembatan padu yang melepasi Izwan Mahbud.

Gol itu menyuntik semangat baharu kepada Kemboja, yang mula menguasai rentak permainan dan hampir mendahului pada minit ke-65.

Satu hantaran kemas berjaya menemui Sa Ty, namun Izwan bertindak cemerlang dengan menyelamatkan percubaan satu lawan satu bagi memastikan kedudukan kekal seimbang.

Melihat pasukannya bergelut mencari semula rentak, Gavin Lee melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Farhan Zulkifli menggantikan Glenn, sebelum Ilhan Fandi mengambil alih tempat Shawal Anuar.

Kemboja bagaimanapun tidak mengalah.

Pada minit ke-77, pemain sayap Kemboja Rado Mon, berjaya melepasi dua pertahanan Singapura sebelum menghantar bola berbahaya ke dalam kotak penalti, namun Izwan sekali lagi bertindak pantas mematahkan ancaman tersebut.

Pasukan Singa sekali lagi sangka mereka temui gol kemenangan pada minit ke-87, tetapi ia dibatalkan sekali lagi.

Selepas semakan VAR yang mengambil masa agak lama, jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid, mengekalkan kedudukan 1-1.

Namun, Ilhan sekali lagi tampil sebagai wira apabila pasukan amat memerlukannya.

Beliau mengawal bola dengan kemas di dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan hebat untuk menjaringkan gol kemenangan.

Gol tersebut memuktamadkan perlawanan, sekali gus memastikan skuad Singa meraih tiga mata berharga dan memulakan kempen Piala Asean Hyundai dengan kemenangan.

Singa akan berdepan Timor Leste di Stadium Jalan Besar pada 27 Julai untuk perlawanan seterusnya.