LOS ANGELES: Dengan kelebihan padang sendiri, kumpulan yang ‘menguntungkan’, dan skuad berbakat yang digelar ‘generasi emas’ Amerika Syarikat, jurulatih Mauricio Pochettino berani mencabar peminat untuk bertanya, “Kenapa bukan kami?”

Walaupun kuasa besar dunia itu secara sejarahnya dianggap sebagai pemain sampingan dalam dunia bola sepak, sukan itu telah berkembang pesat sejak Amerika menjadi tuan rumah pada 1994, dan kini tuan rumah bersama itu bukan lagi sekadar mengisi kuota semata-mata. 

Pemain muda Amerika kini menerajui beberapa kelab terkemuka di Eropah, daripada Christian Pulisic dan Weston McKennie di Serie A AC Milan dan Juventus, sehinggalah kepada kapten Tyler Adams di Bournemouth dalam Liga Perdana England (EPL).

“Saya berada di sini kerana saya percaya bahawa kita boleh menang,” kata Pochettino, pengurus asal Argentina yang mengambil alih tugas mengendalikan pasukan tuan rumah itu pada akhir 2024.

“Kenapa bukan kami? Kita perlu benar-benar percaya bahawa kita boleh berada di sana.”

Sudah tentu, tiada siapa yang menyebut Amerika dalam peringkat yang sama dengan pasukan unggul seperti Perancis, Sepanyol dan Argentina.

Antaranya, Amerika – yang akan berdepan Paraguay, Australia dan Turkey dalam Kumpulan D – pasti perlu mengalahkan pasukan terbaik dari Eropah atau Amerika Selatan untuk melangkah jauh ke peringkat akhir kejohanan. 

Walaupun pasukan Pochettino berjaya menewaskan Uruguay dan Paraguay pada 2025, monumen itu terhenti pada Mac apabila mereka dikalahkan 5-2 oleh Belgium dan 2-0 oleh Portugal, sekali gus mendedahkan kelemahan lama mereka apabila berdepan dengan pasukan kuat dunia. 

Kerisauan tentang prestasi Pulisic bersama Milan turut membayangi impian Amerika untuk melangkah jauh. Penyerang itu kini seolah-olah hilang taring – tiada jaringan gol sejak Disember 2025 dan tidak lagi menjadi pilihan utama.

Pochettino sendiri baru-baru ini mengakui bahawa skuadnya tidak mempunyai seorang pun pemain dalam senarai 100 pemain terbaik dunia. Pengakuan itu sudah tentu tidak membantu semangat Pulisic.

Namun begitu, Amerika membawa skuad termuda kedua dalam kejohanan ke Piala Dunia Qatar yang lalu, di mana mereka berjaya mencapai pusingan 16 pasukan terbaik dengan agak memberangsangkan.

Tuan rumah bersama itu berhasrat mahu melangkah lebih jauh di tanah air sendiri, mengetahui bahawa pemain seperti pemain sayap Marseilles, Timothy Weah, terus menunjukkan peningkatan sejak 2022. – Agensi berita.